Jodoh Syed Saddiq Sebelum Pilihan Raya
Oleh Juani Munir Bin Abu Bakar 

 Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Foto: NUR ALINA HASSANMUAR: “Insya-Allah, kita doakan sebelum pilihan raya.”
Demikian jawapan ringkas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditanya mengenai jodohnya.
Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu masih berteka-teki calon isterinya.
“Kita doakan sebelum pilihan raya, itu sahaja saya boleh cakap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq mendedahkan beliau pernah  berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua kali  selain turut menghantar mesej selepas kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan  (PH) pada Februari lalu.
Beliau menjelaskan, pertemuan itu menyentuh mengenai perbincangan  peruntukan kepada Parlimen Muar yang ditarik dan usaha menyelamatkan  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Angkatan Bersatu Anak  Muda (Armada).
“Saya tak nak kerana politik, jambatan silaturahim terkubur terus.  Lagi satu saya sebagai anak muda, masih terhutang budi kepada Tan Sri.
“Ya, saya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku tetapi sebagai anak  muda, saya tidak boleh sombong, tidak boleh angkuh, tidak boleh saya  kata sentiasa betul, kadang kala saya pun salah. Tetapi perbezaan  politik itu perlu diraikan,” katanya.
Tanpa memperincikan tarikh pertemuan itu, Syed Saddiq berkata, ketika  itu beliau masih ahli Bersatu dan Ketua Armada dan sedang mencari jalan  terbaik untuk menyelamatkan parti.
“Komunikasi (dengan Muhyiddin) sentiasa ada, saya hendak kekalkan (silaturahim) sampai bila-bila,” katanya.
Pada 28 Mei lalu, keahlian lima pemimpin Bersatu termasuk Syed Saddiq terhenti serta-merta kerana melanggar perlembagaan parti.
Empat yang lain ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir  Mohamad; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli  Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang  Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah. – UTUSAN ONLINE
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/jodoh-syed-saddiq-sebelum-pilihan-raya.html