Jika Pkp Dilanjutkan Kerajaan Perlu Utamakan Kumpulan Bekerja Sendiri
                               KHAIRULANUAR YAHAYA                                

                 KERAJAAN perlu memberi keutamaan kepada kumpulan bekerja sendiri  dalam apa juga tindakan dan pemberian bantuan sekiranya Perintah Kawalan  Pergerakan (PKP).
 Ketua Penerangan UMNO Shahril Suffian Hamdan berkata, kerajaan perlu  menyesuaikan tindakan berasaskan data dan segala inisiatif perlu  bersasar kepada golongan yang memerlukan lebih daripada yang lain.
 Menurutnya, kumpulan bekerja sendiri sewajarnya diberikan keutamaan  berdasarkan hasil tinjuan pendapat Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan  Individu yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Negara (JPN).
   Tinjauan JPN itu mendapati lebih 70 peratus daripada responden yang  bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi kurang daripada  satu bulan sahaja.
 Berbanding 83 peratus pekerja swasta mempunyai simpanan sehingga dua  bulan. Manakala 79 peratus pekerja syarikat berkaitan kerajaan dan 75  peratus syarikat multinasional mempunyai simpanan sehingga 4 bulan.
 “Bermakna apa? Golongan yang bekerja sendiri perlu jadi perhatian pertama kerajaan.
   “47 peratus golongan yang bekerja sendiri sudah melaporkan hilang  pekerjaan sepenuhnya. Ini statistik yang amat mengejutkan,” kata  Shahrir.
 Selain itu, beliau juga berkata, berdasarkan perangkaan tersebut  kerajaan juga perlu memberi fokus terhadap mereka yang bekerja di sektor  pertanian dan perkhidmatan.
 “Kajian mendapati sektor Pertanian dan Perkhidmatan didapati mencatatkan peratusan kehilangan
pekerjaan yang lebih tinggi berbanding sektor lain, masing-masing 22% dan 15%.
 “Dalam kalangan sektor pertanian pekerja di sub sektor perikanan dan  pertanian dan perladangan masing-masing kehilangan pekerjaan sebanyak  33% dan 21%.
 “Pembaca boleh tafsir sendiri majoriti yang bekerja di sektor  perikanan, perladangan ini terdiri dari kelompok mana?” kata Shahril. 

Shahril berkata, kerajaan sudahpun membuat permulaan baik dengan pakej  prihatin dan prihatin tambahan bagi membantu rakyat berikutan situasi  yang dicetuskan oleh Covid-19.
 Langkah tersebut memberikan kerajaan masa untuk kaji data dan merangka langkah seterusnya.
 “Contoh, jika PKP terpaksa dilanjutkan, kerajaan sudah ada data menggambarkan golongan mana yang mesti diberi perhatian segera.
 “Kerajaan sudah mula ada data, sektor mana yang perlu perhatian lebih jika ekonomi kekal suram selepas PKP,” kata Shahril.-SM
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/jika-pkp-dilanjutkan-kerajaan-perlu.html