Jangan Benarkan Vip Skandal Sugarbook Terlepas Gesa Ngo Islam
 Mohamad Fadli

Terdahulu,  pengasas Sugarbook, Chan Eu Book mendedahkan antara pelanggan perkhidmatan itu adalah “mereka yang sangat berpengaruh dan berkuasa”, selain selebriti.PETALING JAYA: Dua NGO Islam menggesa pihak berkuasa memastikan orang  kenamaan yang menjadi “sugar daddy” kepada gadis rentan dan pelajar  menerusi perkhidmatan Sugarbook tidak terlepas daripada tindakan  undang-undang.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan pelanggan Sugarbook  tidak harus dibenarkan berselindung di sebalik undang-undang privasi dan  perlindungan data yang mencakupi perkhidmatan dalam talian.
Naib Presidennya, Zairudin Hashim, berkata hanya tindakan tegas  terhadap golongan VIP yang terbabit akan mematikan penggunaan platform  kontroversi itu di Malaysia.
“Selagi mana platformnya masih ada, maka punca utama membenarkan ia  dijalankan tidak akan dapat diselesaikan,” katanya kepada FMT.
Pada 5 April lalu, pengasas Sugarbook, Chan Eu Book, dalam temubual  dengan media AS, Vice News, mendedahkan antara pelanggan perkhidmatan  itu adalah “mereka yang sangat berpengaruh dan berkuasa”, selain  selebriti.
Bagaimanapun, Chan tidak mendedahkan identiti mereka kerana syarikatnya memandang serius data serta privasi penggunanya.
Pengasas berusia 34 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun  Keseksaan pada Februari tahun ini, selepas ditangkap untuk membantu  siasatan berhubung dakwaan rogol dan pelacuran.
Dia juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
   Siasatan bermula selepas Sugarbook mendedahkan ia menyaksikan  peningkatan 40% pelajar yang mendaftar menjadi “sugar baby” sejak  Januari, dengan 12,705 pelajar dari 10 institusi pengajian tinggi di  Lembah Klang menggunakan platform itu.
ABIM berkata semua pihak yang terlibat dalam langganan platform itu  perlu dibawa ke muka pengadilan, termasuk pelanggan VIP berkenaan.
Zairudin juga mahu identiti didedahkan.
“Sekiranya benar ada nama besar dan pengaruh terlibat sebagai ‘sugar  daddy’, maka perlu didedahkan tanpa rasa takut atau pilih kasih,”  katanya.
Sementara itu, Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) berkata  kesan perkhidmatan itu ke atas masyarakat menyebabkan alasan privasi dan  perlindungan data tidak boleh diguna pakai untuk melindungi pelanggan  Sugarbook.
“Kelompok ini telah mendedahkan ramai wanita dalam kalangan pelajar  kepada ‘sugar daddy’ di laman web, yang diambil kesempatan untuk  memancing mereka kepada hubungan yang tidak sihat,” kata Presidennya,  Mohd Azmi Abdul Hamid.
MAPIM berkata Malaysia akan menjadi sasaran platform seumpama  Sugarbook jika pihak berkuasa tidak bertindak terhadap “sugar daddy”  yang terlibat.
Tegasnya, kerajaan bertanggungjawab untuk “menghalang pelbagai jenayah yang boleh memangsakan golongan rentan”.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/jangan-benarkan-vip-skandal-sugarbook.html