Jambu Susu Khasiat Keistimewaan Jambu Bol Botol
Pasti ramai yang menggemari buah jambu seperti jambu batu, jambu madu atau jambu air. Namun, pernahkah anda mencuba jambu susu?
Sesuai dengan namanya, jambu ini mempunyai isi serta kulit berwarna putih dan mempunyai bentuk yang lonjong.
Mungkin ada juga yang tidak pernah mendengar tentang buah ini kerana ia lebih banyak ditanam di kawasan kampung.
Sumber : Facebook Atasangin Lutfi
Ia juga agak sukar untuk dijumpai di pasaran berbanding jenis jambu yang ramai orang kenali seperti jambu air dan jambu batu.
Tambahan pula, ia jarang ditanam secara meluas seperti jambu komersial. Sebaliknya, ia sering ditanam di kawasan perkarangan rumah.
Anak pokok semaian biji akan mengeluarkan buah dalam masa 5 hingga 6 tahun. Musim buahnya pula dikatakan antara Jun hingga September.
Ada juga yang memanggil buah ini jambu gelas kerana warna putih susunya dan bentuknya yang besar dan memanjang seperti gelas.
Juga dikenali dengan nama lain seperti jambu botol dan jambu putih, buah ini mempunyai rasa yang masam dan sedikit kelat ketika muda.
Buah yang masak sepenuhnya pula akan gugur dari pokok. Ia dikatakan mempunyai bau yang harum dan rasa yang masam manis.
Isinya kurang kandungan air, tidak bersari dan mempunyai tekstur yang padat tetapi lembut.
Ada juga yang turut menyamakan tekstur buah ini seperti tembikai susu.
Biasanya buah ini dinikmati dengan cara dipotong halus dan dicicah bersama garam halus atau sambal kicap bercili.
Sumber : Facebook Mingguan Wanita
Jika ia terlalu ranum, isinya lebih berjus dan lembut.
Pada masa yang sama, buah jambu susu ini juga sesuai untuk dijadikan jeruk.
Jambu Susu dalam Bahasa Inggeris
Nama saintifik bagi buah jambu susu adalah Syngium spp dan ia juga tergolong dalam keluarga buah jambu lain. Buah ini dipercayai berasal dari negara sekitar Asia Tenggara.
Sesetengah sumber turut mendakwa bahawa jambu gelas berasal dari jambu bol (Syzygium malaccense).
Jambu bol mempunyai beberapa variasi warna buah seperti merah, merah jambu, merah jambu dengan ‘belang’ berwarna putih dan putih susu.
Dalam Bahasa Inggeris, jambu gelas lebih dikenali sebagai Malay apple atau white-fruited Malay apple.
Jambu bol / Sumber : sulang.org
Khasiat
Seperti buah-buahan lain, tentulah terdapat banyak keistimewaan dan khasiat dalam jambu susu ini.
Antaranya adalah kandungan seperti protein, lemak, serat, kalsium, fosforus, karoten, vitamin A, vitamin B1, B2, dan juga asid askorbik / vitamin C.
Salah satu kelebihan jambu susu ini adalah ia berpotensi mencegah anemia disebabkan kandungan zat besinya yang boleh membantu tubuh menghasilkan sel darah merah.
Selain itu, salah satu kandungan dalam jambu botol ini adalah niasin. Menurut sumber, dalam 100 gram jambu bol putih terdapat antara 0.21 hinggga 0.40 miligram niasin yang mampu menjaga kesihatan fungsi sistem saraf dan sistem pencernaan.
Yang Tak Pernah Cuba, Jom Cuba!
Sekarang anda sudah kenali satu lagi jenis jambu yang agak jarang dijumpai pada masa kini.
Buah ini memang sedap kalau dimakan mentah atau dijadikan minuman penyegar untuk meredakan demam.
Ia mempunyai rasa yang unik dan cukup berbeza berbanding jambu yang anda sering makan.
Jangan lupa untuk mencubanya bersama seisi keluarga apabila tiba musimnya nanti!
Sumber : Types of Jambu (Sulang Language Data and Working Papers : Topics in Lexicography, no,21) Facebook Group Kebun Kampung, utusantv.com, myagri.com.my, Anim Agro Technology
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/jambu-susu/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=jambu-susu