Shine Muscat Sejarah Khasiat Cara Membersihkan Buah
Shine Muscat merupakan sejenis variasi buah anggur yang asalnya daripada negara Jepun. Buah ini mempunyai kulit yang lebih tebal dan rasa yang lebih manis daripada buah anggur biasa.
Bagi anda yang menggemari buah ini, berikut kami kongsikan kepada anda sejarah dan khasiat buah ini, untuk pengetahuan anda. Teruskan pembacaan untuk ketahui lebih lagi.
Apa itu Anggur Shine Muscat?
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Shine Muscat merupakan salah satu variasi buah anggur. Buah ini mempunyai kulit yang tebal dan rasa yang manis, dan sekarang ia merupakan antara buah yang menjadi permintaan ramai.
Untuk pengetahuan anda, buah ini merupakan gabungan dua jenis variasi anggur iaitu anggur Akitsu-21 dan anggur Hakunan. Kedua-dua anggur tersebut disenyawakan dan ciri-ciri terbaik kedua-dua anggur itu menghasilkan anggur “Shine Muscat”.
Kerana rasanya yang manis dan bentuk rupanya yang cantik, buah ini menjadi buah pilihan orang ramai di Jepun apabila ingin membeli buah tangan buat saudara mara mereka.
Di Malaysia, buah ini dijual dengan harga yang agak tinggi, kerana buah ini dieksport dari negara luar seperti Cina, Thailand, Korea dan Jepun.
Sumber: MBG Fruit Shop
Sejarah Shine Muscat
Untuk pengetahuan anda, anggur shine muscat ini merupakan variasi anggur yang boleh dikatakan baru sahaja dicipta. Anggur jenis ini telah dipekenalkan di Negara Jepun oleh National Agriculture and Food Research Organization, (NARO).
Pada akhir abad ke-20, NARO telah mengembangkan pembiakan anggur jenis ini, dan pada awal tahun 2000 ia telah diperkenalkan kepada pasaran Jepun. Kerana rasanya yag manis dan tekstur buah yang rangup, buah ini menjadi popular di Jepun.
Buah ini kemudiannya mula dieksport ke pelbagai negara antaranya ialah Korea Selatan, Cina, Thailand dan negara-negara Barat yang lain. Populariti buah ini menyebabkan negara-negara lain seperti Korea dan Cina mula menanamnya di negara mereka.
Baca juga: Susu Cair : Kalori, Kelebihan & Kegunaannya dalam Masakan
Khasiat dan Manfaatnya
Anggur Shine Muscat bukan sahaja terkenal kerana rasa dan teksturnya yang luar biasa, tetapi juga menawarkan pelbagai khasiat kesihatan. Berikut adalah beberapa manfaat kesihatan yang dapat diperoleh daripada anggur Shine Muscat:
Meningkatkan Sistem Imun
Kandungan vitamin C yang tinggi membantu meningkatkan sistem imun tubuh, membantu melawan jangkitan dan penyakit.
Kaya dengan Antioksidan
Anggur Shine Muscat mengandungi antioksidan yang dapat membantu melawan radikal bebas dalam tubuh, dan mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung.
Sumber Vitamin dan Mineral
Anggur ini mengandungi pelbagai vitamin dan mineral penting, termasuk vitamin C, vitamin K, dan kalium.
Mengandungi Serat
Serat dalam anggur Shine Muscat baik untuk kesihatan pencernaan. Serat membantu mencegah sembelit dan menjaga sistem pencernaan yang sihat.
Menjaga Kesihatan Jantung
Kandungan polifenol dan resveratrol dalam anggur ini mempunyai kesan positif terhadap kesihatan jantung.
Mereka membantu meningkatkan fungsi pembuluh darah, mengurangkan tekanan darah, dan mengurangkan risiko pembentukan plak di arteri.
Menjaga Kesihatan Kulit
Antioksidan dan vitamin C dalam anggur Shine Muscat dapat membantu menjaga kulit yang sihat.
Cara Membersihkan Buah Sebelum Makan
Baru-baru ini, rakyat Malaysia telah digemparkan dengan berita bahawa buah Shine Muscat yang diimport dari negara jiran mempunyai kandungan bahan kimia yang berbahaya.
Siasatan telah dilakukan dan didapati beberapa daripada buah tersebut telah melepasi ujian keselamatan yang ditetapkan. Namun begitu, langkah berjaga-jaga masih perlu kita ambil.
Berikut merupakan cara membasuh buah dengan baik, agar bahan kimia atau selaput lilin yang terlekat pada kulit buah dapat dihapuskan:
Basuh buah bersama sedikit air cuka.
Kemudian bilaskan buah dengan air bersih.
Seterusnya basuh buah bersama air campuran tepung gandum dan sedikit garam.
Basuh bersih-bersih sehingga kesan selaput lilin hilang.
Bilas buah dengan air bersih. Buah sudah boleh dimakan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/shine-muscat/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=shine-muscat