Maritim Malaysia Aktifkan Operasi Carilamat Mangsa Bot Karam Di Perairan Langkawi
Maritim Malaysia Aktifkan Operasi Carilamat Mangsa Bot Karam Di Perairan Langkawi
ALOR SETAR, 9 Nov (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa di perairan Langkawi susulan insiden bot karam yang berlaku di Pulau Tarutao di kawasan perairan sebelum sempadan Thailand–Malaysia.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata operasi itu dilaksanakan selepas beberapa mangsa yang disyaki imigran dari Myanmar ditemukan di sekitar perairan Langkawi, semalam.
“Berdasarkan laporan yang diterima dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, dua lelaki dan seorang wanita disyaki imigran Myanmar ditemukan hanyut di perairan Tanjung Chincin. Mereka telah diselamatkan oleh kru sebuah kapal pada 8.30 pagi sebelum dibawa ke jeti dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Pada 2.05 petang, bot milik Maritim Malaysia, PETIR 81 menemukan mayat seorang wanita terapung di laut dan telah dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi. Selepas itu, aset sama turut mengesan seorang lelaki warga Bangladesh di atas sebuah kapal layar sebelum mangsa diselamatkan dan diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam operasi berasingan, aset BENTENG 7 turut menjumpai seorang wanita disyaki imigran Myanmar di atas sebuah vesel nelayan tempatan.
“Pada 11.45 malam tadi, bot PETIR 81 telah mengiringi sebuah kapal layar yang menemukan empat orang lelaki Myanmar, manakala seorang lagi mangsa yang turut disyaki dari Myanmar dijumpai terdampar di kawasan Kelab Golf Datai dan kesemua mereka telah diserahkan kepada pihak polis.
“Setakat ini, sebanyak 11 orang termasuk satu mayat telah dijumpai dan kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa baharu yang masih berada di laut. Berdasarkan maklumat risikan awal, bot yang dinaiki mangsa berlepas dari Buthidaung, Myanmar dengan anggaran 300 penumpang dan dipercayai telah karam tiga hari lepas di kawasan sempadan perairan Thailand–Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Romli menegaskan Malaysia bukannya transit bagi sebarang cubaan kemasukan tidak sah ke negara ini dan setiap cubaan untuk memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran akan dikesan dan diambil tindakan tegas.
“Sindiket rentas sempadan kini semakin aktif mengeksploitasi imigran dengan menjadikan mereka mangsa perdagangan manusia menggunakan laluan laut yang berisiko tinggi. Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia.
“Maritim Malaysia sedang melaksanakan Operasi Guard 5.0 bersama-sama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam usaha menjaga sempadan perairan Malaysia–Thailand serta mengekang kemasukan bot pendatang tanpa izin, khususnya dari Myanmar yang kebiasaannya dijangka memasuki perairan negara pada hujung tahun seperti sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata orang ramai diminta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia melalui talian 04-966 2750 atau 04-966 5307.
BACA: Ambulans Tak Dapat Lalui Jalan Rosak, Jenazah Dibawa Naik Motosikal
Sumber: Bernama
The post Maritim Malaysia Aktifkan Operasi Carilamat Mangsa Bot Karam Di Perairan Langkawi appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/11/09/maritim-malaysia-aktifkan-operasi-carilamat-mangsa-bot-karam-di-perairan-langkawi/