Jalan Kampung Pun Boleh Kena Saman
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Anggota trafik IPD Kubang Pasu melakukan sekatan jalan raya di Jalan Air Hitam - Sanglang pada 1 Jun 2019.
JITRA: Jangan ingat menggunakan jalan raya kampung akan terlepas dari tindakan saman lalu lintas.
Demikian ingatan polis berikutan satu video tular yang mengundang banyak reaksi tidak senang dalam kalangan pengguna internet.
Ketua  Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata  pihaknya sudah meneliti video yang ditular dan mengesahkan ia berlaku di  Jalan Air Hitam - Sanglang di daerah ini, tahun lalu.
Beliau  berkata, kejadian berlaku ketika Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan  Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu melakukan sekatan  jalan raya di kawasan itu pada 1 Jun 2019.
“Bagaimanapun  ketika sekatan dilakukan, ada penunggang motosikal yang tidak memakai  topi keledar memintas masuk ke lorong kecil di kawasan itu untuk  mengelak disaman.
“Berikutan itu anggota trafik yang ada di  situ mengekori mereka dan mengeluarkan saman terhadap penunggang yang  tidak memakai topi keledar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd  Ismail berkata, polis hanya menjalankan tugas dan setiap penunggang  motosikal yang berada di atas jalan yang dilalui kenderaan awam perlu  memakai topi keledar untuk keselamatan mereka.
Beliau berkata, penunggang motosikal terbabit disaman mengikut Kaedah-kaedah motosikal (topi keledar) 1973.
“Selain  itu anggota trafik yang ditular dalam video berkenaan sudah membuat  laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu malam tadi untuk  tindakan lanjut.
“Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak  mudah menular apa-apa kes yang tidak benar di laman sosial dan mereka  boleh diambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, anggota  polis trafik itu ketika dihubungi berkata, dia hanya menjalankan tugas  ketika itu dan tidak menyangka video itu akan ditular.
Katanya, dia sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Semalam  satu video ditular di laman sosial mengundang kemarahan netizen selepas  seorang lelaki memuat naik video seorang anggota trafik mengeluarkan  saman terhadap penunggang motosikal kerana tidak memakai topi keledar di  jalan kampung.
Melalui video itu, kebanyakan netizen membalas komen berunsur negatif terhadap anggota polis terbabit.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/jalan-kampung-pun-boleh-kena-saman.html