Jakim Perjelas Isu Merry Christmas Di Produk Logo Halal
Oleh AMREE AHMAD

 ABDUL AZIZ JUSOHPUTRAJAYA:  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan tiada peruntukan  mengenai isu perayaan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia  (Domestik) 2020.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh  berkata, ucapan perayaan adalah dibenarkan pada produk jika dibuat bukan  dengan tujuan untuk dipamerkan.
“Ini meliputi sekiranya tidak dipamerkan dalam premis yang  dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal,”  katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, manual berkenaan dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia  (MHMS) hanya terpakai untuk para pemohon dan pemegang Sijil Pengesahan  Halal Malaysia.
Kenyataan itu merujuk artikel isu ucapan ‘Merry Christmas’ yang tular  diperkatakan netizen setelah disiarkan menerusi sebuah portal berita  tempatan semalam.
Menurut laporan itu, ada pemilik kedai bakeri mendakwa kononnya tidak  dapat memenuhi permintaan pelanggan Kristian yang meminta ditulis  ‘Merry Christmas’ di kek yang dipesan.
Mereka memberi alasan ia adalah sebahagian daripada peraturan yang  ditetapkan oleh Jakim sebagai salah satu syarat permohonan bagi  mendapatkan sijil halal daripada agensi tersebut.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri turut memberi pencerahan mengenai  isu ini melalui ciapan akaun sosial Twitternya.
Sambil menafikan ucapan pada produk jualan itu akan membatalkan sijil  halal premis tersebut, beliau menjelaskan pemegang sijil boleh memenuhi  tempahan tanpa sebarang masalah.
“Ringkasnya, jika kedai berkenaan ada sijil halal dikeluarkan oleh  Jakim dan buat kek dengan ucapan perayaan agama tertentu untuk tujuan  pameran di dalam premis, itu tidak dibenarkan.
“Tetapi jika kedai itu pula hanya menyediakan kek yang ditempah beli  oleh pelanggannya dan ada ucapan perayaan agamanya pada kek tersebut, ia  adalah dibenarkan,” jelas Zulkifli.
Beliau seterusnya berkata, ‘ada sedikit salah faham’ dalam isu  berkenaan namun berharap dengan penjelasan yang diberikannya itu ia  dapat ‘meleraikan salah faham’ tersebut. – UTUSAN ONLINE
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/jakim-perjelas-isu-merry-christmas-di.html