Jaheaik Nasihat Tangguh Dulu Majlis Akad Nikah
KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menasihatkan bakal pengantin yang ingin melangsungkan perkahwinan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac ini supaya menangguhkan dahulu majlis akad nikah.
Penolong Ketua Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam JAHEAIK, Mohd Suhaimi Mohamad berkata, bagi pasangan yang sudah mendapatkan kebenaran daripada pegawai agama dan tetap mahu majlis akad nikah diteruskan dinasihatkan supaya menghadkan kehadiran hanya melibatkan pihak yang wajib.
“Ketika ini semua pihak perlu sedikit bersabar kerana terikat dengan peraturan. Kita ingin menasihatkan serta menyarankan mereka yang bakal berkahwin bermula esok hingga 31 Mac supaya ditangguh dahulu.
“Bagi yang ingin meneruskan akad nikah juga perlu hadkan kehadiran jangan terlalu ramai. Seboleh-bolehnya pihak yang wajib seperti pengantin lelaki dan perempuan, wali serta saksi sahaja hadir untuk proses berkenaan bagi mengelak timbul masalah,” katanya.
Sebelum itu, JAHEAIK meminta mana-mana pasangan ingin berkahwin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hadir ke pejabat agama terdekat untuk permohonan kebenaran berkahwin.
Berdasarkan surat pekeliling itu, permohonan hanya diluluskan bagi pasangan yang sudah memenuhi syarat termasuk menghadiri kursus pra perkahwinan, saringan HIV dan disahkan anak mukim oleh imam mukim masing-masing.
Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac ini di seluruh negara.
Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Perintah itu membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
The post JAHEAIK nasihat tangguh dulu majlis akad nikah appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suaraviral.org/jaheaik-nasihat-tangguh-dulu-majlis-akad-nikah/