Jabatan Imigresen Nafi Pelarian Dapat Layanan Buruk
MALAYSIAKINI
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan seorang aktivis hak asasi manusia bahawa pelarian mendapat layanan buruk di depoh tahanan imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud merujuk hantaran Facebook pengarah NGO Refuge for the Refugees, Heidy Quah pada 5 Jun lalu yang mendakwa mengunjungi seorang wanita yang baru melahirkan anak dan mengadu mendapat layanan buruk di pusat tahanan berkenaan.
Quah juga menyebut mengenai serangan dan kematian yang dikatakan berlaku dalam depoh tahanan dan mendakwa para pelarian menghadapi masalah seperti makanan yang tidak mencukupi dan ketiadaan bekalan air bersih.
"JIM mengambil serius tuduhan-tuduhan ini. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac 2020 sehingga kini, tiada pelawat dibenarkan memasuki kawasan Depoh Imigresen.
"Sehubungan dengan itu, pemilik akaun Heidy Quah diminta menyatakan lokasi dan Depot Imigresen dimana beliau bertemu dengan wanita yang dimaksudkan dalam hantaran Facebook tersebut supaya siasatan dapat dijalankan," kata Khairul dalam satu kenyataan.
Khairul berkata pihak Imigresen menguruskan pelarian berdasarkan Nelson Mandela Rule berhubung syarat standard minimum semasa penahanan.
"Semua tahanan diberikan sajian makanan yang berkualiti dan penyediaan makanan adalah mengikut diet makanan yang telah ditetapkan dalam kontrak pembekalan makanan seperti yang telah disyorkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kos makan tahanan dalam depot secara purata ialah RM12.50 sehari untuk setiap tahanan. Bekalan air pula adalah daripada air bersih yang telah dirawat," jelasnya.
Khairul berkata agensi lain seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa juga sering melawatI depoh tahnanan terbabit.
Beliau juga berkata gambar yang digunakan dalam hantaran tersebut adalah gambar lama yang dirakam pada tahun 2008.
Bagaimanapun untuk rekod, Quah dalam hantarannya mengakui gambar tersebut adalah gambar lama, namun mendakwa keadaan yang disaksikan serupa dengan keadaan dalam gambar tersebut.
Khairul turut memberi amaran bahawa laporan polis akan dibuat jika maklumat-yang dimuat naik tersebut bersifat fitnah dan boleh menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.
Pada 5 Jun lalu, Quah berkongsi pengalaman menolong seorang wanita yang bertungkus lumus menjaga bayinya di pusat tahanan.
"Dia (wanita berkenaan) ditahan sejurus melahirkan bayi kecilnya.
"Sel sangat sempit sehingga tidak ada tempat tidur. Hampir tidak ada makanan untuk dimakan.
"Tidak ada akses kepada tuala wanita. Dia terpaksa berdarah melalui seluarnya setiap hari, dan mencucinya dengan air yang tidak bersih," kata Quah.
Quah mendedahkan bayi itu juga terpaksa menggunakan t-shirt untuk dijadikan lampin.
“Kita benar-benar bertuah tidak lahir dalam keadaan sama seperti mereka, tetapi bagaimana jika kita seperti mereka? Bagaimana kita mahu dilayan dan ditangani?” soalnya.
Selain itu Quah mendakwa wanita terbabit juga digari di meja ketika menemuinya, sambil bercakap dengannya melalui dinding plastik.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/jabatan-imigresen-nafi-pelarian-dapat.html