Isu Usir Pati Filipina Indonesia Beri Alasan Tak Cukup Penempatan
Khairul Dzaimee Daud (berdiri tengah) turut menyertai operasi menangkap PATI yang dijalankan di sebuah penempatan setinggan, di Likas, Kota Kinabalu, awal pagi tadi.KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, proses pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah sedikit lewat berikutan negara asal mereka belum sedia menerima kemasukan secara besar-besaran.
Katanya, negara seperti Filipina dan Indonesia sering memberi alasan penempatan tidak mencukupi sekiranya penduduk mereka yang ditahan di Sabah atas kesalahan imigresen dihantar pulang dalam jumlah besar.
“Isunya sekarang, negara asal mereka (PATI) memberi alasan tidak mempunyai tempat mencukupi untuk menampung warga negara mereka ini apabila kita hantar (pulang), bukan saja Filipina tetapi Indonesia juga memberi alasan sama.
“Pengusiran (PATI) dijalankan secara berterusan dan bagi pengusiran membabitkan warga India atau Pakistan, mereka boleh diusir dengan cepat, cuma pengusiran bagi warga Filipina dan Indonesia agak lambat kerana alasan yang saya katakan tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai operasi menangkap PATI di sebuah penempatan setinggan, di pinggir Sungai Likas, di sini, awal pagi tadi.
Khairul berkata, pengusiran PATI dari Filipina dijangka lebih cepat selepas ini susulan satu rundingan dibuat antara kedua-dua pihak, baru-baru ini.
Katanya, dalam tempoh terdekat ini, dijangka seramai kira-kira 850 PATI dari Filipina akan dihantar pulang ke negara asal mereka bagi setiap perjalanan.
“Baru-baru ini, satu rundingan telah dijalankan di mana sekiranya mereka mengenakan syarat RTK (ujian Covid-19), kita bersetuju supaya warganegara Filipina ini dibiayai oleh keluarga masing-masing supaya mereka boleh diusir dengan cepat,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, 71 kanak-kanak berusia dua hingga 10 tahun antara 117 ditahan dalam operasi bermula 12 tengah malam hingga jam 2 pagi tadi.
Daripada jumlah itu katanya, seramai 39 adalah kanak-kanak perempuan manakala 32 lagi adalah kanak-kanak lelaki.
“Seramai 124 diperiksa dalam operasi ini di mana selain 71 kanak-kanak, 34 yang ditahan adalah wanita dewasa dan 12 orang adalah lelaki dewasa. Semua kanak-kanak yang ditahan itu tidak mempunyai pendidikan atau tidak bersekolah.
“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 6 (1) (c) akta yang sama kerana tidak memiliki sebarang dokumen,” katanya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/03/isu-usir-pati-filipina-indonesia-beri.html