Insaflah Umno Pas Jangan Alpa Dengan Perjuangan Politik
ismaweb.netSiti Hafidah
MN jadi 'gajah putih' jika parti Melayu tidak sedar kepentingan kerjasama
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 5 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Ketidaksefahaman antara UMNO dan PAS dalam menentukan kerjasama politik menimbulkan kemungkinan besar terkuburnya Muafakat Nasional (MN).
Sebelum ini, PAS dilaporkan menolak gagasan MN kerana mendakwa UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Namun malangnya apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan PAS dalam MN, katanya.
Lebih mengeruhkan lagi keadaan, PAS dicabar membuktikan dasar penyatuan ummah yang diperjuangkan dengan menerima Parti Amanah Negara (PAN) menyertai gabungan MN.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris secara sinis membangkitkan perkara itu susulan UMNO disalahkan kerana tidak mahu menerima Bersatu dalam MN.
Berikutan itu, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpandangan MN hanya akan menjadi ‘gajah putih’ sekiranya UMNO dan PAS tidak duduk semeja, menginsafi dan menyedari mengenai kepentingan kerjasama politik dua parti ini, dan bermuafakat untuk memacu persefahaman menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, apa yang berlaku sebelum ini di PRN Melaka menunjukkan bahawa semangat MN tidak berupaya mendatangkan keyakinan kepada kedua-dua parti untuk saling bekerjasama dan mengukuhkan ukhuwah persefahaman.
Sebaliknya, ia melihat kepentingan terhadap potensi kuasa politik melebihi prinsip jalinan persefahaman yang diangankan itu.
“Permuafakatan sebegini hanya akan merugikan umat Melayu sekiranya parti-parti berorientasikan kepentingan Melayu gagal mencapai persetujuan untuk mendirikan suatu pakatan kepercayaan dalam kalangan rakyat khususnya para pengundi Melayu menjelang PRU akan datang.
“Sampai masanya bukan untuk menunjukkan pengaruh siapa yang kuat tapi sebaliknya kedua-dua parti harus menginsafi bahawa perpaduan Melayu hanya boleh dicapai melalui niat ikhlas, jujur terhadap pendirian,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Beliau turut menggesa UMNO dan PAS berusaha untuk membina masa depan umat Melayu dengan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap institusi politik di negara ini.
“Kealpaan kita hanya mementingkan perjuangan politik tanpa menilai hati sanubari dan motif perjuangan parti-parti Melayu sudah pasti akan merugikan kita.
“Apatah lagi niat suci kita untuk memacu dan memajukan umat Melayu dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, ekonomi, sosiobudaya akan terkubur begitu sahaja sekiranya persefahaman ini tidak dihayati dengan sebaiknya,” katanya
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/12/insaflah-umno-pas-jangan-alpa-dengan.html