Ini Tiga Perkara Yang Anwar Harus Berhenti Bercakap Mengenainya
Kalau kita perhati dan teliti, sejak Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, ada tiga topik yang menjadi kesukaannya, bukan saja sebagai bahan percakapan, tetapi juga sebagai subjek yang diulang-ulang.
Topik itu ialah sakau, beban hutang negara yang tinggi dan apabila bercakap tentang subsidi bersasar pula, menjadikan golongan maha kaya sebagai sasarannya.
Dulu masa mula-mula beliau bercakap mengenai tiga topik itu, terasa seronok juga mendengarnya tetapi lama kelamaan bila topik yang sama dijadikan ulangan macam siaran Astro, entah kenapa, rasa bosan mulai menjelma.
Beberapa kawan, termasuk mereka yang diketahui penyokong PH juga rupa-rupanya turut sama mengalami kebosanan yang sama.
Dalam konteks sakau, dengan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri sekarang, beliau sebenarnya tidak perlu lagi bercakap mengenai topik itu.
Sebagai Perdana Menteri dengan kuasa yang dimilikinya seumpama dari hujung langit ke hujung langit, kini adalah masa untuk beliau menangkap sesiapa saja yang ada kesalahan menyakau dalam negara ini.
Tak perlu lagi bercakap atau bising-bising tentang sakau-menyakau itu, sepatutnya ketika ini sudah ada harta kekayaan dalam simpanan penyakau-penyakau itu yang telah berjaya dikembalikan kepada tabung khazanah negara.
Logiknya, kalau Anwar bercakap tentang orang itu atau orang ini menyakau, sudah tentu bukti ada dalam genggamannya.
Setidak-tidaknya, sebelum tiba PRU16 akan datang, lebih baik Anwar betul-betul menumpukan untuk menangkap siapa penyakau itu dan membawa balik kekayaan yang mereka miliki sama ada di dalam atau luar negara.
Setelah menjadi Perdana Menteri, biarlah kuasa lebih banyak bekerja daripada mulut berbicara.
Tidak terkecuali, Anwar juga kerap bercakap mengenai beban hutang negara yang tinggi yang sering dijadikan alasan ketidakmampuan kerajaan madani ini melakukan banyak perkara untuk membantu rakyat.
Hutang negara yang tinggi bukanlah perkara baru sebenarnya, Anwar sendiri pastinya sudah lama maklum mengenainya.
Soalnya mengapa beria-ia mahu jadi Perdana Menteri kalau tak sanggup memikul hutang negara?
Contoh mudahnya begitu – kalau kita sudah beria-ia nak berkahwin dengan seorang janda yang cantik lawa, meski diketahui wanita itu ada beberapa hutang lama, maka bila selepas kahwin, sebagai lelaki sejati yang bertanggungjawab, kenalah tolong bantu selesaikan hutangnya itu.
Amatlah tidak manis bila selepas kahwin, kita menceceh ke sana sini tentang hutang-hutangnya itu.
Jika tidak mahu terpalit hutang, janganlah beria-ia ingin memiliki janda lawa itu?
Seterusnya, bila bercakap tentang penyasaran subsidi yang akan dilaksanakan, khususnya pemotongan subsidi diesel tidak lama lagi, Anwar terlihat mempunyai kecenderungan yang ketara untuk melabel mereka yang mengkritiknya sebagai pro kepada golongan maha kaya.
Dengan bangga juga beliau berkata, perlaksanaan subsidi bersasar adalah untuk membantu rakyat jelata.
Memang tugas kerajaan ialah membantu rakyat, terutama golongan susah, miskin dan mereka yang memerlukan pertolongan, tetapi janganlah menampakkan seolah-olah golongan maha kaya dimusuhi.
Haruslah disedari golongan maha kaya bukan musuh negara, bahkan mereka adalah pembayar cukai yang tinggi.
Lebih daripada itu, melalui perusahaan yang mereka miliki, golongan maha kaya juga menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat, selain sebahagiannya tidak lupa memperuntukkan dana untuk khidmat sosial atau menubuhkan yayasan bagi membantu golongan susah.
Selain itu, hampir semua orang maha kaya di negara ini memperolehi kekayaan melalui kontrak atau lesen yang diberikan oleh kerajaan sendiri.
Dengan itu, kenapa mereka semacam dimusuhi oleh kerajaan madani ini?
Golongan maha kaya sebenarnya tidak kisah dan boleh faham jika mereka dikecualikan daripada menerima subsidi, tetapi tak perlulah sampai mereka dijadikan bahan kecaman dek keinginan mahu meraih populariti.
Apa pun, sebelum rasa bosan rakyat bertukar menjadi penolakan, eloklah Anwar segera berhenti daripada mengulang-ulang cakap mengenai tiga perkara tersebut.
Seperti Perdana Menteri tidak harus mengulang pakai baju batik yang pernah dipakainya, mengulang cakap topik yang sama juga tidak wajar dilakukan.
Setiap kali menyampaikan ucapan, nilai wibawa seorang Perdana Menteri ialah apabila ia bercakap topik yang berbeza.
Lagi pun sebagai Perdana Menteri dambaan rakyat Malaysia, Anwar seharusnya adalah “barang rare” yang paling sedikit cacat cela serta memiliki keunggulan tiada tandingan yang mengatasi semua pendahulunya sebelum ini. – ShahbudinHusin 02Jun2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/06/02/ini-tiga-perkara-yang-anwar-harus-berhenti-bercakap-mengenainya.html
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/06/ini-tiga-perkara-yang-anwar-harus.html