Ini Perhimpunan Darah Air Mata Tuan Asri Tuan Hussein
BUNYI tembakan jelas kedengaran sebaik saja bas yang kami naiki tiba di lokasi perhimpunan Great March of Return (GMR) di satu kawasan luas berhampiran sempadan Palestin-Israel di Shamal, utara Gaza pada Jumaat.Kawasan itu tidak ubah seperti satu tapak pesta atau karnival dengan pentas didirikan, selain beberapa khemah untuk peserta berkumpul mendengar ucapan pemimpin mereka, selain khemah-khemah kecil untuk bermalam.Terdapat juga ruang khas yang berfungsi sebagai klinik untuk memberikan rawatan kecemasan dan dua unit ambulans turut diparkir berdekatan.Suara ucapan lantang kedengaran bergema memenuhi ruang, dilontarkan pembesar suara yang diletakkan di beberapa penjuru, sambil sesekali nyanyian dan muzik rancak dimainkan bagi menambah suntikan semangat.
Suasana sekitar benar-benar menimbulkan keterujaan kepada kami, 41 peserta misi kemanusiaan "Miles of Smiles" yang turut dianggotai penulis bersama Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan dan Timbalannya, Johari Ismail.Mengimbas latar GMR, ia kali pertama diadakan pada 30 Mac 2018 bertujuan mengumpulkan seberapa ramai rakyat Palestin di beberapa lokasi terpilih sepanjang sempadan Palestin-Israel, sebagai satu simbolik bantahan kepada rejim Zionis Israel yang merampas tanah mereka.Ketika kali pertama diadakan, kira-kira 30,000 rakyat Palestin berkumpul di lima lokasi iaitu di Shamal, utara Gaza; Malakah (timur); Breij dan Khan Younis (tengah) serta Rafah (selatan).Perhimpunan itu pada awalnya tidak dirancang untuk diteruskan bagi tempoh panjang, namun sebaliknya berlaku apabila ia berterusan sehingga kini pada setiap Jumaat petang.Didorong kemarahan membuak-buak terhadap Israel serta semangat menggunung untuk mendapatkan semula tanah dan hak mereka, antara 3,000 hingga 5,000 penduduk Palestin termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas komited berkumpul setiap minggu.
PENCERAMAH menyampaikan ucapan pada GMR. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Pastinya, GMR menuntut pengorbanan darah dan air mata dengan nyawa menjadi galang ganti. Statistik menunjukkan sehingga kini seramai 272 maut akibat dibedil tentera Israel dan lebih 30,000 cedera dengan 16,700 daripada terpaksa menerima rawatan lanjut di hospital.Nyata, bunyi tembakan senjata api, dentuman bom, kecederaan dan kematian sudah sebati dalam kehidupan seharian warga Palestin di bumi Gaza.Dalam tempoh tidak sampai sejam penulis bersama-sama mereka dalam GMR di Shamal, kelmarin (Jumaat), tiga pergerakan ambulans sempat dilihat dan situasi serupa turut berulang apabila kami dibawa pula menyertai GMR di Malakah.Tidak dapat dipastikan apa sebenarnya berlaku kerana kami diberi kawalan ketat oleh pasukan keselamatan disediakan penganjur. Malah, kami sama sekali tidak dibenarkan menghampiri pagar dan tembok sempadan.
PERHIMPUNAN GMR berterusan sehingga kini pada setiap Jumaat petang. FOTO Tuan Asri Tuan HusseinLazimnya, kecederaan dan kematian berlaku di sekitar lokasi itu manakala pentas dan khemah didirikan agak jauh iaitu antara 500 hingga 700 meter daripada pagar atau tembok sempadan. Ketika di Shamal, kereta perisai Israel dapat dilihat berulang-alik meronda di pagar sempadan.Di sebelah malam, kami menerima perkhabaran sepanjang tempoh 24 jam pada Jumaat lalu, empat kematian warga Palestin direkodkan, bukan di lokasi GMR tetapi di satu penempatan penduduk di utara Gaza yang dibom Israel.Biarpun, kehadiran kami di dua lokasi GMR di Shamal dan Malakah tidak lama, ia menjadi pengalaman amat berharga dan penuh makna, dalam usaha membantu perjuangan rakyat Palestin yang dizalimi Israel.Apatah lagi apabila kami diberi penghormatan menaiki pentas dan wakil delegasi "Miles of Smiles" dari beberapa negara termasuk Malaysia diberi kesempatan menyampaikan ucapan.Maklum balas yang ditunjukkan peserta perhimpunan amat mengharukan. Mereka menghargai dan berterima kasih dengan usaha dan sokongan kami.Rakyat Palestin tidak sepatutnya dibiarkan terus dizalimi Israel dan bersendirian dalam menuntut hak mereka.Isu ini juga bukan konflik agama, sebaliknya soal hak asasi dan kemanusiaan.Zahirkan sokongan dan bantuan anda kepada rakyat Palestin dengan menyumbang kepada Tabung Misi Khas ke Gaza sempena Ramadan 1440H yang ditubuhkan Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882); CIMB (14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ibnuhasyim.com/2019/05/ini-perhimpunan-darah-air-mata-tuan.html