Info Agama Hukum Penggunaan Matawang Bitcoin



MUKADIMAH

Isu ini telah dikemukakan oleh orang ramai ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi pelbagai medium antaranya aplikasi whatsapp, Facebook, Instagram dan Twitter.

Mutakhir ini, Bitcoin yang merupakan salah satu daripada jenis mata wang kripto menjadi satu fenomena baharu yang kian mendapat perhatian di seluruh pelusuk dunia. Kemunculan mata wang seumpama ini dianggap sebagai alternatif baharu kepada mata wang sedia ada dalam urus niaga di abad ini.

Justeru, jika dilihat secara saintifik, bitcoin ini merupakan mata wang digital yang dibangunkan di alam maya dengan menggunakan perkakasan komputer sepenuhnya. Ia bukanlah bersifat fizikal seperti wang kertas yang ada pada hari ini. Keghairahan orang ramai terhadap bitcoin ini telah melonjakkan harganya ke tahap yang tinggi di mana pada awalnya ditawarkan pada harga USD65 dan kini dikatakan harganya berada pada paras USD6,281.76 bersamaan dengan RM26,340 (setakat 13 November 2018).

Baru-baru ini juga, terdapat laporan yang menyatakan sistem emel Media Prima Bhd. telah diserang oleh sekumpulan penggodam siber, dan mereka meminta sebanyak 1000 unit bitcoin sebagai bayaran untuk sistem tersebut kembali kepada sediakala.[1] Ini menunjukkan bahawa bitcoin menjadi sasaran kumpulan penjenayah memandangkan sifatnya yang lebih sukar dikesan berbanding mata wang biasa.

ISU DAN MASALAH

Pada hari ini, urus niaga di alam maya cuba diperluaskan dengan menggunakan bitcoin sebagai alat pertukaran (medium of exchange). Kewujudan sesetengah premis yang kini menggunakan bitcoin membuatkan ramai pengguna cuba mendapatkan mata wang ini meskipun ia bukanlah mata wang yang diiktiraf di kebanyakan negara di peringkat antarabangsa.

Maka berikut dikemukakan beberapa persoalan yang timbul di sebalik penggunaan mata wang ini, antaranya:

a)Adakah bitcoin merupakan mata wang yang sah menurut kaca mata syarak?
b)Adakah bitcoin boleh diperdagangkan dan digunakan dalam transaksi urus niaga?

SEJARAH MATA WANG DALAM ISLAM

Pada zaman pemerintahan Islam, semenanjung Arab pada ketika itu tidak mempunyai mata wang yang tersendiri. Pada abad ke-6 dan ke-7 masihi, orang Arab terutama yang menetap di Mekah dan Madinah telah memenuhi keperluan mereka dengan menggunakan mata wang syiling yang dikeluar dan digunakan di wilayah-wilayah Empayar Byzantine dan Empayar Sasan yang berjiran atau menggunakan mata wang peninggalan kerajaan silam.[2]

Setelah terdirinya kerajaan Islam di Madinah, penggunaan mata wang emas Byzantium, solidus dan mata wang Sasan, drachm atau kedua-duanya lebih dikenali oleh orang Arab sebagai dinar dan dirham diteruskan tanpa sebarang perubahan.[3]

Walaupun banyak usaha-usaha memajukan ekonomi umat Islam di Madinah dilakukan, namun Rasulullah SAW tidak mengubah dan mencetak mata wang baru menggantikan mata wang yang digunakan ketika itu sebaliknya Baginda menerima penggunaannya.[4]

Penggunaan mata wang sedia ada ini berterusan sepanjang pemerintahan Khalifah Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abi Sufyan.[5] Perubahan yang berlaku ketika zaman pemerintahan mereka adalah sekadar menambah beberapa ungkapan pada mata wang sedia ada dan tiada usaha menempa mata wang baru dilakukan.

Pada kemuncaknya iaitu pada zaman Khalifah Abd al-Malik bin Marwan, mata wang Islam dengan jati diri Islami yang tersendiri telah dikeluarkan.[6] Perubahan yang besar meliputi tindakan menghilangkan lambang-lambang tidak Islami dan pada sesetengahnya menggantikan dengan yang lain telah dilakukan. Umpamanya, tanda salib yang terdapat pada mahkota atau topi besi maharaja Byzantium telah dibuang. Begitu juga tanda salib yang ada pada bahagian hadapan dan belakang syiling.

Selepas daripada usaha tersebut, secara ringkasnya penggunaan syiling emas dan perak sebagai mata wang umat Islam terus berlangsung sehinggalah berakhirnya kerajaan Islam di Turki.[7]

Sebagai kesimpulan, penggunaan syiling baik perak mahupun emas sebagai mata wang telah dikenali lama sebelum Islam dan tidak bermula dengan orang Islam. Selain itu, pengeluaran mata wang syiling adalah sentiasa berada pada tangan pihak yang berkuasa di setiap negara atau kawasan dan inilah yang berlaku sejak dari awal sejarah sehingga zaman moden.[8]

KONSEP MATA WANG DALAM ISLAM

Mata Wang dalam al-Quran dan al-Hadis

Pada dasarnya, konsep umum mata wang yang disebut di dalam al-Quran adalah menjurus kepada mata wang dinar dan dirham. Ini adalah kerana, ketika wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW, mata wang yang beredar pada masa itu hanyalah dinar dan dirham.[9]

Antara ayat yang menggambarkan unit mata wang dinar dan dirham yang pernah digunakan pada zaman awal Islam ialah:

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّـهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”

(Surah Ali Imran: 75)

Selain itu, al-Quran juga ada menyebut tentang garis panduan berkenaan kepentingan menjaga keutuhan mata wang dan larangan daripada membuat sewenang-wenangnya sehingga merosakkan keseimbangan masyarakat. Allah SWT berfirman:

قَالُوا يَا شُعَيْبُ أَصَلَاتُكَ تَأْمُرُكَ أَن نَّتْرُكَ مَا يَعْبُدُ آبَاؤُنَا أَوْ أَن نَّفْعَلَ فِي أَمْوَالِنَا مَا نَشَاءُ إِنَّكَ لَأَنتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ
Maksudnya: “Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?"

(Surah Hud: 87)

Imam al-Tabari menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan “supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami” membawa kepada pemecahan dan pemotongan dirham.[10]

Dapat difahami daripada ayat ini bahawa Islam mementingkan keutuhan mata wang. Apabila mata wang sudah tidak dipercayai lagi oleh masyarakat, maka akan terjadi masalah dalam transaksi mereka. Mereka saling tidak percaya antara satu sama lain dan meragui piawaian dinar mata wang yang digunakan.

Al-Quran juga ada menerangkan peranan wang sebagaimana ayat di dalam surah al-Maidah, Allah SWT berfirman:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّـهُ لَكُمْ قِيَامًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu…”

(Surah al-Nisaa': 5)

Menurut al-Raghib al-Asfahani, perkataan al-qiyam dan al-qiwam bermaksud tiang dan sandaran kerana hal ini dijadikan sebagai tiang penumpang dan sandaran barang yang bersandar kepadanya.[11]

Ini menggambarkan ciri utama wang di mana ia merupakan satu alat yang sangat berkesan yang dijadikan oleh Allah untuk mengelola dan memelihara keseluruhan sistem dunia. Matlamat akhir wang adalah untuk menjaga dan menampung urusan dunia seseorang untuk keuntungannya di akhirat.

Sebagai kesimpulan, ciri-ciri atau bentuk mata wang tidak dijelaskan secara terperinci dalam al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-duanya hanya merujuk kepada mata wang yang wujud dan tersebar luas pada masa tersebut iaitu dinar dan dirham. Akan tetapi, ia telah meletakkan dasar dan garis panduan secara umum berkait penggunaan mata wang di dalam urusan muamalah sesama manusia.

Mata Wang Menurut Pandangan Sarjana Islam

Bagi memahami konsep mata wang secara jelas, kita perlu merujuk kepada tafsiran ilmuwan dan sarjana berkenaan hal ini. Pelbagai definisi dan takrif telah dikemukakan oleh para sarjana Islam berkaitan konsep dan pengertian mata wang di dalam Islam. Di sini, dibawakan pandangan beberapa sarjana Islam baik yang terdahulu mahupun kontemporari.

a.Imam Malik

Imam Malik mendefinisikan wang sebagai sesuatu barang yang boleh diterima sebagai alat pertukaran. Ini jelas berdasarkan kata-kata beliau yang sekiranya masyarakat bersetuju sesama mereka untuk menjadikan kulit sebagai wang maka beliau akan melarang ianya dijual secara tangguh dengan emas dan perak:[12]

b. Imam al-Ghazali

Menurut al-Ghazali, Allah SWT telah menjadikan dinar dan dirham sebagai pengadil dan perantara di antara semua harta sehingga semua harta benda dapat diukur dengannya.[13]

Disebabkan ia adalah suatu yang kekal, maka mata wang daripada emas dan perak dapat menjadi satu mekanisme yang adil sebagai alat pengukur sesuatu barangan.

c. Ibnu Taimiyyah

Menurut beliau, wang adalah alat untuk mengukur nilai dan berfungsi sebagai alat pertukaran. Melalui wang tersebut, sejumlah benda dapat diketahui nilainya dan tidak bermaksud menggunakannnya untuk diri sendiri.[14]

d. Ibnu al-Qayyim

Ibnu al-Qayyim menyatakan bahawa wang tidak dicari untuk dirinya akan tetapi ia digunakan untuk mendapatkan barangan komoditi. Apabila wang mula dijadikan komoditi dan dijadikan sebagai matlamat transaksi, maka seluruh sistem ekonomi akan berada dalam krisis.[15]

e. Ibnu Khaldun

Ibnu Khaldun berkata, Allah SWT telah menciptakan dua logam bernilai daripada emas dan perak sebagai pengukur nilai bagi semua barang yang berharga.[16] Sekiranya dimiliki juga sesuatu bahan yang lain daripada emas dan perak dalam beberapa ketika tertentu, maka keadaan itu bertujuan untuk mendapatkan kedua-duanya dengan menggunakan bahan-bahan lain dalam pasaran ketika ia tidak dapat diperolehi.

Sebagai kesimpulan, berdasarkan takrif-takrif yang dikemukakan, dapat difahami bahawa mata wang dalam Islam ialah sesuatu yang berfungsi sebagai alat perantaraan dalam proses pertukaran barangan (medium of exchange). Ia juga digunakan bagi menjadi pengukur nilai bagi sesuatu benda atau barangan.

Mata wang tidak mempunyai nilai-nilai intrinsik dan Islam tidak mengiktiraf wang dijadikan sebagai komoditi untuk dijual beli kecuali dalam kes-kes tertentu sahaja.

KONTRAK AL-SARF DALAM ISLAM

Persoalan berkaitan mata wang dan pertukarannya di dalam Islam dibincangkan secara lebih terperinci di bawah tajuk kontrak al-Sarf. Kontrak al-Sarf secara jelasnya menyebut logam yang digunakan sebagai mata wang ialah logam emas dan perak. Walau bagaimanapun, ulama telah menjelaskan bahawa ia boleh diperluaskan kepada logam lain yang membawa ‘illah yang sama sebagaimana ‘illah emas dan perak.[17]

Dalam membahaskan perkara tersebut, Mazhab Syafie menggunakan harga atau mata wang terhadap perkataan emas dan perak. Justeru, apa-apa sahaja barang atau benda yang digunakan dan diterima sebagai wang dan harga akan tertakluk kepada peraturan pertukaran emas dan perak. Selain daripada itu, perbahasan ini juga menunjukkan keharusan penggunaan benda selain emas dan perak untuk digunakan sebagai harga atau mata wang.[18]

Dari segi definisinya, al-Sarf dari segi syarak bermaksud penjualan mata wang dengan mata wang yang sejenis atau tidak sejenis iaitu menjual emas dengan emas atau perak dengan perak sama ada dalam bentuk emas dan peraknya atau dalam bentuk wang.[19]

Antara syarat-syarat khusus bagi membolehkan tukaran mata wang dijalankan ialah:[20]

1,Wujud persamaan bagi dua barangan yang sama bahagian

Persamaan yang dimaksudkan di sini adalah sama timbangannya walaupun berlainan dari segi kecantikan dan pencanaian. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ مِثْلاً بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Emas dengan emas hendak sama jenis.”[21]

Maksudnya adalah sama dari segi kadar dan bukan dari segi sifat kerana berdasarkan kaedah syarak: “Yang baik dan buruknya adalah sama.”[22]

2. Penyerahan serta-merta

Kontrak sarf disyaratkan tidak ada penangguhan oleh dua pihak yang berkontrak atau salah seorangnya. Ini kerana penerimaan dua barang tukaran adalah perlu sebelum berpisah.

Hendaklah tidak wujud jarak masa bagi penyerahan kedua-dua atau salah satu barangan. Jika satu pihak berkata: “Tukarkan saya satu dinar dengan sepuluh dirham, cuma saya akan serahkan satu dinar tadi selepas satu jam.” Satu pihak lagi berkata: “Saya tukarkan untuk kamu.” Pihak pertama tadi membalas: “Saya setuju” maka akad ini tidak sah.

3. Penyerahan dalam majlis akad

Tukaran yang dilakukan mestilah diterima semuanya sebelum kedua pihak berpisah. Hal ini adalah bagi mengelakkan berlakunya riba nasi’ah. Ini menjunjung sabda Rasulullah SAW:

الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلاً بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ
Maksudnya: “(Penjualan/pertukaran) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, apabila ia sama jenisnya, hendaklah sama kadar atau timbangannya dan hendaklah secara lani. Sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah mengikut kehendak kamu tetapi dengan syarat pertukaran dua barangan tersebut berlaku secara lani (serahan tangan ke tangan).”[23]

Demikian juga dengan sabda Rasulullah SAW:

ولاَ تَبِيعُوا مِنْهَا غَائِبًا بِنَاجِزٍ
Maksudnya: “Jangan kamu menjual barangan yang tidak ada dengan barangan yang ada.”[24]

4. Akad tersebut mestilah muktamad (tanpa syarat)

Tidak dibenarkan meletakkan syarat oleh dua pihak yang berkontrak atau salah satu daripadanya. Jika kedua-dua pihak yang bertukar-tukar mata wang menetapkan syarat kedua-dua atau salah satu pihak berhak menuntut khiyar dalam masa sehari atau dua hari, atau lebih atau kurang daripada itu, tukaran tersebut tidak sah. Ini kerana sepertimana yang diketahui, syarat sah akad ialah wujudnya proses bertukar-tukar barangan. Ini berlainan dengan khiyar ru’yah dan khiyar ‘aib. Kedua-duanya tidak menghalang berlakunya penerimaan yang sempurna. Jika dua pihak tersebut berpisah dan dalam kontrak tersebut terdapat khiyar ‘aib atau ru’yah maka kontrak itu adalah harus.

Sebagai kesimpulan, pertukaran mata wang adalah dibenarkan, akan tetapi ia mestilah berlandaskan syarat-syarat al-sarf. Urus niaga yang tidak mematuhi syarat tersebut boleh menyebabkan urus niaga tersebut tidak sah atau batal.

Walau bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan seperti dalam konteks operasi perbankan masa kini, definisi majlis akad yang tertumpu kepada faktor “tempat yang sama” dilihat kurang relevan kerana kebanyakan pelaksanaan bai’ al-sarf tidak melibatkan pertemuan secara fizikal di tempat yang sama tetapi ia hanya berlaku dalam talian atau melalui platform elektronik. Justeru, perkara utama yang menjadi fokus dalam mendefinisikan majlis akad bagi amalan perbankan semasa ialah faktor “masa” berlakunya kontrak pertukaran mata wang.

Oleh itu, Mesyuarat Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia ke-179 telah memutuskan bahawa majlis akad bai’ al-sarf adalah merujuk kepada “suatu tempoh masa” berlakunya pemeteraian kontrak pertukaran mata wang yang bermula dengan penawaran (ijab) dan diiringi dengan penerimaan (qabul) serta diakhiri dengan perpisahan (disengagement) pihak-pihak berkontrak secara fizikal atau konstruktif, atau pelepasan hak untuk membatalkan kontrak (takhayur). Serah terima mata wang dalam bai’ al-sarf mestilah berlaku ketika majlis akad. [25]

Berdasarkan keputusan tersebut, amalan serah terima mata wang dalam bai’ al-sarf, contohnya yang dilaksanakan pada hari kedua selepas tarikh transaksi (T+2) dianggap berlaku selepas majlis akad. Walau bagaimanapun, amalan tersebut boleh dibenarkan berdasarkan amalan pasaran (‘urf tijari) ekoran daripada kekangan operasi. Serah terima mata wang selepas majlis akad juga boleh dibenarkan sekiranya berlaku gangguan di luar jangkaan (unexpected disruption).[26]

SEJARAH BITCOIN

Bitcoin ialah satu mata wang digital yang dicipta pada tahun 2009 oleh Satoshi Nakamoto, satu nama yang masih belum diketahui sehingga sekarang dan masih diperdebatkan samada ia merujuk kepada seorang individu ataupun sekumpulan manusia.

Operasi bitcoin (dan juga mata wang digital / kripto yang lain) diselenggara oleh satu autoriti yang tidak berpusat, berbeza dengan mata wang biasa yang diselenggara oleh badan kewangan atau bank negara masing-masing. Transaksi bitcoin dijalankan secara terus melalui saluran kriptografi antara pengguna tanpa ada perantara atau orang tengah.[27] Ia juga boleh ditukar atau dijual beli dengan mata wang biasa, produk atau servis.[28]

Bitcoin merupakan aset pertama dalam bentuk mata wang kripto, menjadikannya aset paling popular dalam kalangan pengguna. Bitcoin dihasilkan melalui proses penempaan (mining) yang memakan satu jangka masa yang amat panjang, dengan cara penyelesaian masalah dan formula matematik untuk menghasilkan bitcoin menggunakan peralatan komputer.

Penghasilan Bitcoin telah ditetapkan untuk tidak melebihi 21 juta bitcoin, dan pada kadar sekarang, ia dijangka habis ditempa kira-kira pada tahun 2040.[29]

Jaringan blok (blockchain) pula ialah satu lejer awam yang merekodkan segala transaksi bitcoin yang dapat diakses oleh semua pengguna yang terlibat dengan proses transaksi dan penempaan bitcoin.

Menurut pengasasnya, Bitcoin dicipta bagi membolehkan transaksi pembayaran secara atas talian (online) dihantar secara terus dari satu pihak kepada pihak yang lain (peer-to-peer) tanpa perlu melalui institusi perbankan atau kewangan sebagai pihak ketiga dan ia akan melicinkan urusan transaksi. [30]

Selain itu, masalah penggodaman terhadap sistem juga amat sukar dilakukan kerana teknologi blockchain yang digunakan adalah berbentuk lejer awam yang merekodkan segala transaksi yang dibuat, dan lejer ini dapat diakses dan dikawalselia oleh kesemua pengguna. Melalui sistem ini, penggodam tidak mampu menipu sistem untuk menempa bitcoin secara tidak sah.

Bitcoin juga mampu menyediakan perkhidmatan transaksi yang lebih murah berbanding institusi perbankan yang mengenakan kadar cas perkhidmatan beberapa peratus, bergantung kepada bank dan jenis transaksi.

KEDUDUKAN BITCOIN SEBAGAI MATA WANG

Persoalan samada bitcoin adalah sejenis mata wang atau tidak masih lagi diperdebatkan. Menurut The Economist, Bitcoin menepati 3 ciri-ciri mata wang:

a.sukar diperoleh
b.bekalannya terhad
c.mudah untuk dipastikan (verify). [31]

Setakat kajian ini dilakukan, Bitcoin masih kekal sebagai mata wang kripto yang paling mudah dicairkan dan terbesar di pasaran dari segi aktiviti pengguna dan aktiviti pemaju. Ia mempunyai jumlah dagangan harian melebihi USD 10 bilion dan penilaian pasaran USD 135 bilion (setakat 18 April 2018).

Dalam Islam, para sarjana meletakkan pelbagai ciri mata wang sama ada ciri fizikal, teknikal dan seumpamanya. Contoh ciri fizikal ialah senang dibawa, dikira, ketahanan dan seumpamanya. Namun ciri penting yang perlu ada sebagai mata wang ialah dua sifat utama:

a.Diterima umum: Wang hendaklah diterima umum tidak kira dalam sistem ekonomi apa sekali pun bagi berfungsi sebagai alat tukaran. Imam Malik berkata, andainya kulit dijadikan wang oleh sesuatu masyarakat, maka aku akan haramkan ia ditukar dengan emas secara bertangguh. Oleh itu, dapat difahami di sini bahawa apa sahaja yang diterima umum sebagai mata wang, maka ia boleh dijadikan wang. Walaupun kulit kambing, bitcoin, garam dan gula. Wang kertas yang ada ketika ini diterima umum, walaupun cuma kertas dan ia disahkan oleh kerajaan.

b.Kestabilan nilai: Sifat ini sangat penting kepada wang untuk menjalankan fungsi wang. Secara umumnya, nilainya yang stabil dan tidak mudah naik dan turun secara mendadak. Jika mata wang nilainya tidak stabil, maka ia tidak boleh berfungsi sebagai penyimpan nilai.[32]

Risiko Bitcoin

Bitcoin (dan juga mata wang kripto yang lain) merupakan satu produk inovasi moden yang masih baru dalam pasaran, dan sudah pasti ia mempunyai risiko dan masalah yang masih belum diselesaikan hingga sekarang. Antaranya ialah:

a.Naik turun nilai yang sukar dikawal dan dijangka akibat spekulasi berlebihan para pelabur (fluctuation/volatility)

Sewaktu Bitcoin mula-mula diperkenalkan, nilainya tidak melebihi USD1, namun sejak itu ia mula mendapat populariti diseluruh dunia dan nilainya terus meningkat naik.

Bitcoin memulakan tahun 2017 dengan nilai USD 966, dan naik mendadak hingga merekodkan harga tertinggi dalam sejarah pada USD19,850 pada pertengahan Disember, ia tiba-tiba mengalami penurunan mendadak kepada USD12,000 hanya dalam masa beberapa hari.

Namun demikian sejak awal 2018, harga bitcoin mula menunjukkan sedikit kestabilan, dengan konsisten mengekalkan paras USD6000 sejak pertengahan 2018. Sejak tiga bulan belakangan pula, ia berada dalam lingkungan USD 6,300 hingga USD 6,700, menunjukkan tahap kestabilan tertinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.[33]

Namun ketidakstabilan ini tetap melahirkan kebimbangan bahawa fenomena Bitcoin ini tidak lain hanya seperti buih yang akan pecah pada bila-bila masa. Ketidakstabilan harga Bitcoin ini juga menumbuhkan minat kepada mata wang kripto alternatif yang lain seperti ethereum, litecoin dan XRP.[34]

b. Risiko penggodaman terhadap sistem

Setakat kajian ini dilakukan, kes kecurian terbesar melibatkan bitcoin berlaku pada tahun 2014, apabila pusat dagangan terbesar ketika itu Mt. Gox telah kehilangan sejumlah 850000 bitcoin akibat penggodaman terhadap sistem komputer mereka, dengan nilai kerugian ketika itu berjumlah USD 480 Juta.[35]

Sementara untuk kes terkini pula melibatkan Youbit, sebuah pusat dagangan bitcoin di Korea Selatan yang telah jatuh muflis pada Disember 2017 setelah hampir 4000 bitcoin milik para pelabur dicuri dalam satu siri serangan siber.[36]

Sehingga kajian ini dilakukan, dianggarkan kira-kira 980 000 Bitcoin telah dicuri daripada bursa, dengan kerugian dianggarkan USD 15 Bilion menurut nilai semasa.[37]

c. Dieksploitasi oleh penjenayah untuk kegiatan penggubahan wang haram dan mendanai aktiviti keganasan

Pada Januari 2017, Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Keuangan (PPATK) yang merupakan satu agensi anti penggubahan wang haram Indonesia melaporkan bahawa Bahrun Naim, salah seorang penyokong Daesh menggunakan bitcoin untuk mendanai aktiviti keganasan kumpulan militan itu di Syria.[38]

Sementara itu pada Disember 2017, sebuah mahkamah persekutuan di New York, Amerika Syarikat (AS) telah mendakwa Zoobia Shahnaz, seorang wanita warga AS kelahiran Pakistan atas tuduhan mendanai aktiviti pengganas Daesh menggunakan saluran bitcoin dan lain-lain mata wang kripto melibatkan dana berjumlah USD 85000.

Jabatan Keadilan (Department of Justice) (AS) dalam kenyataan sama menambah bahawa pertuduhan tersebut masih lagi di peringkat siasatan dan tertuduh belum bersalah selagi belum terbukti.[39]

Namun disebalik kes-kes yang dilaporkan, beberapa pakar masih enggan membuat kesimpulan bahawa mata wang kripto sememangnya satu ancaman secara mutlak dari sudut membantu aktiviti keganasan.

Sebagai contoh, David Carlisle, seorang konsultan bagi Royal United Services Institute (RUSI) yang merupakan badan pemikir bebas tertua dunia dalam bidang pertahanan dan keselamatan antarabangsa menyebut bahawa masih belum jelas samada mata wang kripto akan menjadi sumber dana utama bagi aktiviti pengganas. Bahkan tanpa mata wang kripto sekalipun, mereka telahpun mempunyai banyak sumber kewangan lain yang tidak putus-putus.

Tambah beliau lagi, tanggapan bahawa mata wang kripto adalah satu ancaman besar dari sudut keselamatan memberi gambaran seolah-olah sistem kewangan konvensional sedia ada tidak mempunyai risiko dieksploit ke arah mendanai aktiviti keganasan.[40]

d. Kemunculan skim-skim pelaburan palsu berasaskan bitcoin dan mata wang kripto

Terdapat banyak skim pelaburan palsu yang menggunakan bitcoin sebagai tarikan kepada pelabur yang telah muncul selaras dengan perkembangan mata wang kripto tersebut sama ada di peringkat nasional mahupun global.

Antara contoh syarikat tersebut ialah Bitkingdom, Ethtrade Malaysia dan Ethtrade Limited, yang berdaftar di Hong Kong, dan syarikat-starikat ini telah tersenarai di dalam Bank Negara Financial Consumer Alert pada 23 Jun 2017.[41]

Pendirian Badan Berautoriti Negara dan Antarabangsa

Selain itu, terdapat juga beberapa badan berautoriti di Malaysia yang telahpun mengeluarkan beberapa kenyataan dan pandangan berhubung isu bitcoin ini, antaranya ialah:

Bank Negara Malaysia (BNM)

Dalam isu bitcoin, terdapat beberapa pendirian dan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh BNM, antaranya ialah:

i.Kenyataan pertama Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan Bitcoin dikeluarkan pada 2 Januari 2014 di laman web rasmi mereka. Dalam kenyataan ringkas tersebut, BNM menegaskan bahawa Bitcoin tidak diiktiraf sebagai satu mata wang rasmi (legal tender) di Malaysia, dan BNM juga tidak mengawal selia operasi Bitcoin, dan orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dengan risiko yang muncul daripada penggunaan mata wang digital seumpamanya.[42]

ii.Pada 2 Januari 2018, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam satu temu bual dengan The Malaysian Reserve menegaskan bahawa BNM tidak akan mengenakan sekatan secara pukal ke atas mata wang kripto termasuk Bitcoin, kerana tindakan sedemikian hanya akan menyekat inovasi dan kreativiti dalam sektor kewangan. BNM sentiasa sedar akan keperluan memilih jalan tengah antara kemaslahatan umum dan integriti sistem kewangan. Selain itu, beliau turut menegaskan akan keperluan ke arah pengawasan dan kawal-selia oleh pihak berkuasa bagi memastikan perjalanan proses sistem mata wang digital ini lebih telus dan mematuhi keperluan perundangan, contohnya memastikan identity-identiti pelanggan dan pengguna dapat dikenalpasti (customer due diligence) dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

iii.Menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Abdul Rasheed, dianggarkan secara puratanya sejumlah RM75 juta transaksi bitcoin dan mata wang kripto lain yang dijalankan setiap bulan di Malaysia. BNM juga telah mengeluarkan satu draf awal untuk konsultasi awam, bagi memastikan setiap pasaran mata wang kripto tertakluk dibawah undang-undang Akta Anti Penggubahan Wang Haram atau Anti-Terrorism Financing Proceeds of Unlawful Activities (AMLA 2001).

#[44]Akhirnya pada 27 Februari 2018, BNM telah mengeluarkan “Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan untuk Mata Wang Digital (Sektor 6)” yang telah mengambil kira maklum balas yang diterima semasa tempoh rundingan awam mengenai draf pendedahan yang dikeluarkan pada 14 Disember 2017.

Dasar ini bertujuan untuk memastikan bahawa langkah-langkah berkesan disediakan terhadap risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital dan untuk meningkatkan ketelusan bagi aktiviti mata wang digital di Malaysia. Bank menerima maklum balas daripada wakil pengurup mata wang digital sedia ada, persatuan industri, firma undang-undang, institusi kewangan, ahli akademik serta individu yang berminat.

BNM juga mengingatkan bahawa seruan terhadap obligasi pelaporan dalam perniagaan pertukaran mata wang digital tidak memberi konotasi keizinan, pelesenan, pengesahan atau sokongan oleh BNM dari mana-mana entiti yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pertukaran mata wang digital.[45]

Kesimpulannya, BNM masih lagi dalam proses penelitian dan pengkajian lanjut terhadap penggunaan mata wang ini sebelum satu ketetapan rasmi yang konklusif dan komprehensif dibuat.

Suruhanjaya Sekuriti (Security Commission / SC)

Dalam satu kenyataan media pada September 2017 berkenaan (Initial Coin Offerings atau ICO) satu aktiviti mengumpul dana untuk membangunkan projek atau aplikasi baharu dalam blockchain. SC menasihatkan para pelabur agar medapatkan nasihat perundangan dan pakar terlebih dahulu sebelum terlibat, bagi mengelakkan keterlibatan mereka dengan sebarang masalah penipuan, penggubahan wang haram dan mendanai aktiviti pengganas.[46]

Dalam perkembangan terkini, Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini turut menyatakan bahawa satu rangka kerja regulasi terhadap Initial Coin Offerings (ICO) dan bursa aset digital akan diperkenalkan pada suka pertama tahun 2019. Buat masa sekarang, regulasi terhadap mata wang kripto hanya terhad pada pembasmian penggubahan wang haram dan usaha mencegah keganasan.[47]

Terdapat juga beberapa negara memberikan ulasan dan komentar terhadap penggunaan mata wang bitcoin antaranya ialah:

Amerika Syarikat (AS)

Amerika Syarikat Internal Revenue Service (agensi kutipan cukai AS) menganggap mata wang kripto sebagai satu komoditi, bukannya mata wang.[48] Pada masa sekarang, pemilik mata wang digital perlu membayar cukai apabila mereka menukarnya dengan mata wang USD atau komoditi; namun dengan pindaan undang-undang pada[49] Disember, segala transaksi antara mata wang kripto juga akan dikenakan cukai.[50]

Securities and Exchange Commission (Suruhanjaya Aset dan Pertukaran) AS pula memberi amaran bahawa para pelabur harus berhati-hati dengan pelaburan mata wang kripto dan mengingatkan bahawa sebarang kerugian mungkin tidak dapat diberi pampasan jika ia melibatkan sebarang unsur yang menyalahi undang-undang.[51]

Jabatan Perbendaharaan AS pula pada 18 Januari 2018 menyuarakan kebimbangan bahawa mata wang kripto merupakan satu ancaman bahaya dan pihak mereka sedang meneliti segala aktiviti melibatkan mata wang digital tersebut bagi menyekat sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.[52]

United Kingdom

Jeff Kaufmann, Pengarah Undang-undang di firma undang-undang Britain, Reynolds Porter Chamberlain (RPC), mengatakan bahawa pelaksanaan peraturan pasar kripto di UK akan mengambil masa kira-kira dua tahun. Beliau menambah: “Perlumbaan untuk mewujudkan sistem yang boleh mengawal dan mengendali mata wang kripto pasti bernilai kerana penggunaannya semakin meluas di seluruh Eropah dan di seluruh dunia. Penciptaan hab perdagangan mata wang kripto juga boleh memberi kesan positif kepada perniagaan di pasaran ini, seperti broker, bank pelaburan, dan penjaga serta peningkatan potensi pendapatan cukai bagi pihak berkuasa.[53]

Perancis

Menurut Gabenor Bank Negara Perancis Francois Villeroy de Galhau, bitcoin bukanlah satu mata wang, dan bukan juga satu mata wang digital. Tambah beliau lagi, ia hanyalah satu aset yang berbentuk spekulatif, nilaiannya tidak bersandarkan kepada asas ekonomi dan tiada pihak yang bertanggungjawab mengawal selia urusan bitcoin.[54]

Korea Selatan

Kerajaan Korea Selatan menegaskan bahawa mata wang digital tidak boleh memainkan peranan sebagai mata wang sebenar dan boleh mengakibatkan kerugian melampau disebabkan nilainya yang boleh berubah terlalu drastik dan sukar dijangka.

Antara langkah yang akan diambil adalah menyekat pembukaan akaun mata wang kripto yang tidak dikenali, selain cadangan untuk mengenakan cukai hasil keuntungan penjualan mata wang kripto bagi menangani masalah spekulasi berlebihan terhadap mata wang digital tersebut.[55]

Jepun

Seksyen 3 Akta Perbankan telah dipinda dan memasukkan mata wang digital sebagai salah satu kaedah pembayaran yang diiktiraf oleh kerajaan, mempunyai nilaian harta (property of value) dan boleh dijual beli.[56]

Namun demikian, Timbalan Gabenor Bank of Japan (BOJ) Masayoshi Amamiya Bank sendiri mengakui bahawa mata wang digital bank pusat (CBDC) tidak mungkin memperbaiki sistem monetari yang sedia ada. [57]

Iran

Brigadier Jeneral Gholam Reza Jalali, ketua Organisasi Pertahanan Awam Iran menyatakan bahawa mata wang kripto dapat membantu negara tersebut melepasi sekatan-sekatan ekonomi terutamanya oleh Amerika Syarikat melalui operasi perbankan yang tidak dapat dijejaki. Dengan cara demikian, Iran menjangkakan untuk mengurangkan pergantungannya kepada pembayaran berasaskan USD yang untuk perdagangan antarabangsa. [58]

Selain itu, beberapa badan perbankan antarabangsa memberikan ulasan dan komentar terhadap penggunaan mata wang bitcoin antaranya ialah:

International Monetary Fund (IMF)

Ketua badan kewangan antarabangsa tersebut, Christine Lagarde dalam satu kenyataan menyebut bahawa adalah tidak bijak untuk menafikan terus aset kripto, dan kita harus mengalu-alukan potensi yang ada dan pada masa sama berhati-hati dengan risiko yang bakal dihadapi.

Menurut beliau lagi, mata wang kripto mampu memberi ancaman dan ketidakstabilan kepada sistem kewangan antarabangsa disebabkan perkembangannya yang terlalu pantas dan ketidakstabilan harga pasaran.[59]

European Central Banks (ECB)

ECB secara amnya agak skeptikal terhadap mata wang kripto. Terdapat cadangan untuk mengenakan cukai terhadap mata wang ini dan memperkenalkan regulasi untuk mengawal selia segala urusan berkaitan transaksi melibatkannya.[60]

Pada 7 September 2017, Presiden ECB Mario Draghi telah menolak pelan Estonia untuk melancarkan mata wang kripto mereka sendiri (estcoin), dan menegaskan bahawa ECB tidak akan membenarkan mana-mana negara ahli Kesatuan Eropah untuk memperkenalkan mata wang mereka sendiri.[61]

Manakala Yves Mersch, ahli Lembaga Eksekutif ECB sewaktu diwawancara pada 29 Disember 2017 menyatakan bahawa nilai dagangan semasa bitcoin adalah kecil dan bukanlah satu ancaman kepada polisi kewangan semasa. Beliau juga menolak kemungkinan bitcoin akan menjadi mata wang alternatif kepada mata wang sedia ada kerana setiap mata wang memerlukan sokongan dan pengiktirafan daripada negara.[62]

Bank of International Settlements[63]

Bank antarabangsa tersebut dalam satu kenyataan menyebut bahawa bank-bank pusat di seluruh dunia tidak boleh mengambil ringan dan bersikap sambil lewa terhadap perkembangan bitcoin dan mata wang kripto, dan tidak menolak kemungkinan bank-bank ini perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan mata wang kripto mereka sendiri (Central Bank Cryptocurrency atau CBCC).

Namun banyak isu yang perlu diambil kira sebelum langkah ini diambil, antaranya isu kerahsiaan transaksi, keberkesanan sistem pembayaran dan kesan buruk yang mungkin timbul dari sudut ekonomi, kewangan dan polisi monetari. CBCC ini jika diperkenalkan, akan menyaksikan kemunculan satu mata wang kripto yang terbuka kepada orang awam yang dikeluarkan oleh pihak bank dan boleh ditukar nilai dengan wang tunai.[64]

Sementara ketua BIS dalam satu ucapan menyebut bahawa mata wang kripto merupakan satu ancaman kepada kestabilan sistem kewangan dan tidak ubah seperti skim penipuan Ponzi.[65]

Pandangan Badan Fatwa dan Sarjana Islam Berkenaan Bitcoin

Secara umumnya, para cendekiawan Islam telah berbeza kepada 3 pandangan dalam menentukan hukum bagi bitcoin ini sepertimana yang berikut:

1. Pandangan Yang Mengharamkan

Terdapat badan fatwa dan sarjana Islam yang mengharamkan penggunaan bitcoin ini antaranya ialah:

i. Darul Iftaa’ Misriyyah (Majlis Fatwa Mesir) [66]

Keterlibatan dalam urusan bitcoin adalah tidak dibolehkan dari sudut syarak kerana risikonya yang terlalu besar terhadap individu dan negara. Menurut Mufti Republik Mesir Syeikh Shauqi ‘Allam, bitcoin diharamkan berdasarkan kepada alasan-alasan yang berikut:

(a) Bitcoin tidak menepati syarat untuk diiktiraf sebagai mata wang.

(b) Ia mempunyai unsur jahalah, gharar dan manipulasi yang amat sukar dikawal.

(c) Ia tidak mempunyai nilai sandaran dan tidak dikawal selia mana-mana pihak berautoriti.

(d) Pengeluaran mata wang adalah hak mutlak pemerintah dan institusi kewangan rasmi sesebuah negara.

(e) Ia juga boleh menjadi saluran untuk kegiatan-kegiatan haram dan melanggar undang-undang seperti mendanai aktiviti pengganas (Daesh), penggubahan wang haram dan mengelak daripada membayar cukai (tax evasion).

(f) Ia adalah pelaburan yang berisiko tinggi dan boleh menyebabkan kerugian menyeluruh terhadap pelabur, serta pelabur juga tidak disediakan sebarang ganti rugi atas kerugian tersebut.

ii. Syeikh Ali Qaradaghi (Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia)

Dalam satu temu bual dengan Aljazeera Mubasher Channel yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Aljazeera Mubasher Channel pada 4 Januari 2018, beliau menyatakan bahawa beliau masih belum berbuat sebarang ketetapan akan hukum bitcoin kerana faktor kesamaran yang masih menyelubungi isu ini dan keperluan untuk meneliti lebih lanjut sudut positif dan negatif mata wang digital ini. Beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang mengharuskan atau mengharamkan Bitcoin secara mutlak, dan beliau menggesa agar para ulama dan pakar ekonomi mengadakan satu pertemuan khas bagi mencapai satu kata sepakat berkenaan isu ini.

Sistem pengeluaran dan transaksi bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’ie, kerana ia amat terdedah kepada kegiatan-kegiatan haram dan salah guna oleh pihak tertentu, seperti penggubahan wang haram serta menggugat integriti sistem kewangan negara.

Tambah beliau lagi, kebanyakan mata wang kripto yang ada pada masa sekarang tidak menepati syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk sesuatu itu diiktiraf sebagai mata wang:

a.Medium pertukaran (medium of exchange)
b.Penyimpanan nilai (mahkzunan lil tsarwah atau store of value)
c.Ukuran kestabilan (Miqyas lil Qiyam)
d.Ukuran penerimaan umum (Mi’yar li Tadawul)

Menurutnya lagi, bitcoin boleh menjadi harus jika sekiranya penambahbaikan dilakukan terhadapnya dan ditetapkan beberapa dhawabit (parameter) dalam pelaksanaannya. Antara cadangan beliau adalah supaya kerajaan mengiktirafnya dan menjadikannya sebagai mata wang alternatif kepada mata wang sedia ada bagi melindungi para pelabur daripada sebarang kerugian, dan agar kerajaan boleh mengawal selia segala aktiviti berkaitan.

Beliau juga menasihatkan agar umat Islam mengelakkan penglibatan dengan bitcoin buat masa sekarang kerana risikonya yang terlalu besar. Bagi umat Islam yang telah terlibat dengan urusan bitcoin, mereka diminta agar segera menjualkannya, dan mereka berhak menyimpan nilai modal sewaktu membeli bitcoin dan menyedekahkan hasil keuntungan pelaburan bitcoin tersebut (capital gain) kepada mana-mana pihak yang memerlukan.[67]

iii. Wifaq al-‘Ulama (United Kingdom)

Menurut badan ini, bitcoin adalah tidak dibenarkan atas beberapa faktor, iaitu harganya di pasaran yang sangat tidak stabil, serta kaedah penempaan bitcoin (mining) yang mempunyai unsur perjudian.[68]

iv. Dr. Ahmad Sufyan Che Abdullah[69]

Beliau secara peribadi menyatakan bitcoin dilihat satu alat baru yang tidak dapat dipastikan identitinya secara khusus sama ada ia berbentuk mata wang atau sebaliknya. Namun, dalam masa yang sama tidak dinafikan terdapat beberapa isu syariah terhadap mata wang ini seperti kadar spekulasi yang tinggi, mudah berlaku penyelewangan dan penipuan, tiada sandaran, tiada kawalan daripada pihak berautoriti dan sebagainya. Oleh itu, disebabkan faktor-faktor tersebut, beliau berpandangan bitcoin tidak diharuskan bagi menjaga kepentingan masyarakat awam.[70]

2. Pandangan Yang Mengharuskan

Sebahagian sarjana lain pula mengharuskan penggunaan mata wang ini antaranya:

a. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar (Pengerusi Eksekufti Amanie Advisors) dan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah BNM dan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah SC)

Dalam satu pembentangan dalam program ‘Cryptocurrency, Blockchain & Distributed Ledger Technology: Synergizing Technology & Shariah’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 29 November 2017, beliau menyimpulkan bahawa Bitcoin adalah patuh syariah, namun depan mata wang kripto tersebut masih lagi tidak jelas. Beliau berpandangan pelaburan dalam Bitcoin adalah harus, dan keuntungan yang diperoleh dikenakan zakat.

Beliau telah menolak hujah kalangan yang tidak bersetuju dengan Bitcoin bahawa ia mempunyai elemen gharar (ketidakpastian / ketidakjelasan) kerana nilai yang sangat tidak stabil dan kemungkinan sistem mata wang digital itu sendiri akan runtuh (collapse) pada bila-bila masa.

Beliau berkata risiko (khatar), tidak mempunyai kesan ke atas hukum sesuatu perkara, dan ia harus dibezakan dengan gharar yang memberi kesan ke atas hukum. Risiko adalah perkara yang normal dalam setiap perkara sama ada pelaburan, perniagaan dan apa jua bidang.

Volatility bitcoin pula tidak boleh dijadikan ‘illah kepada pengharaman bitcoin dan ia tidak memainkan peranan dalam menentukan status Sharia-compliancy sesuatu perkara. Beliau memberi contoh emas, yang mana nilainya adalah sangat tidak stabil, namun ia tidak bermakna jual belinya perlu diharamkan. Langkah yang perlu diambil adalah memperkenalkan peraturan dan regulasi untuk mengawal kestabilan nilai dan mengurus transaksinya. Hal yang sama juga harus diperkenalkan untuk bitcoin.

Dalam satu artikelnya yang lain, beliau sekali lagi menegaskan bahawa mata wang kripto adalah patuh syariah dan memenuhi semua syarat mata wang yang digariskan, serta menyatakan naik turunnya nilai mata wang adalah perkara biasa yang ditentukan oleh aspek pasaran dan kepercayaan pengguna. Selain itu, beliau juga menulis bahawa mata wang ini sekurang-kurangnya boleh menjadi mata wang yang sah kepada mereka yang percaya kepada nilaiannya. Berkenaan risiko penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan bitcoin pula, beliau menjawab bahawa wang kertas juga terdedah kepada aktiviti pelanggaran undang-undang sebelum beberapa peraturan dan regulasi diperkenalkan bagi menangani masalah tersebut. Beliau percaya minda manusia akan mampu mengawal selia urusan kewangan berasaskan teknologi ini.[71]

b. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (CEO Elzar Shariah Advisory Sdn Bhd)

Dalam rancangan Bismillah Ad-Duha yang disiarkan Astro Oasis pada 23 Disember 2017 lalu, Dr. Zaharuddin telah menyebut beberapa perkara penting berkenaan isu ini. Beliau mengakui telah mencuba sendiri bitcoin ini bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang mata wang kripto ini.

Menurutnya lagi, elemen gharar tidak ditemui pada peringkat penciptaan dan penghasilan bitcoin itu sendiri, tapi ditemui sewaktu peringkat transaksi di bursa (exchange) di mana kita tidak boleh benar-benar memastikan transaksi itu benar-benar telah berlaku tanpa sebarang penipuan.

Seteleh melakukan penelitian, beliau mengatakan bitcoin boleh digunakan dalam urusan jual beli kerana ia menepati ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, namun ia bukanlah satu legal tender iaitu mata wang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara.

Beliau juga mengharuskan menyimpan Bitcoin sekadar untuk menyimpan nilai dan melawan inflasi, dan untuk dijual semula apabila memerlukan wang tunai pada masa hadapan, dan tidak harus disimpan sebagai satu bentuk pelaburan.

Beliau mengingatkan bagi sesiapa yang telah melibatkan diri dengan Bitcoin untuk membayar zakat simpanan apabila cukup haul, selain larangan daripada memperdagangkan Bitcoin kerana ia adalah satu bentuk mata wang yang dilarang daripada diperdagangkan dalam Islam.

Beliau turut menambah kepentingan kajian yang mendalam bagi sesiapa yang ingin melibatkan diri dengan bitcoin atau mana-mana mata wang kripto agar tidak terjebak dengan skim penipuan yang banyak muncul sejak akhir-akhir ini. Akhirnya beliau juga menjangkakan bitcoin akan menjadi lebih stabil pada masa akan datang.[72]

c. Mufti Muhammad Abu-Bakar[73]

Berdasarkan kajian yang beliau lakukan bertajuk Shariah Analysis of Bitcoin, Cryptocurrency, and Blockchain, beliau cenderung untuk mengharuskan bitcoin dengan beberapa syarat:

a.Bitcoin hanya diharuskan di negara-negara yang tidak melarang transaksi bitcoin. Adapun jika undang-undang negara tersebut melarang, maka ia turut dilarang daripada sudut syariah.

b.Bitcoin haruslah dijual beli / digunakan sebagai satu mata wang menurut tujuan asal ia dicipta, dan bukannya sebagai satu aset pelaburan.

c.Beliau turut menasihatkan pengguna agar berhati-hati dengan sebarang skim penipuan yang cuba memperdaya pengguna dengan menjanjikan keuntungan berlipat ganda atas nama pelaburan bitcoin, serta risiko kerugian yang bakal dihadapi memandangkan ketidakstabilan nilainya di pasaran.[74]

3. Tawaqquf (belum memberi pandangan secara rasmi)

Terdapat juga pandangan ulama yang bersifat tawaqquf iaitu masih lagi belum memberikan ketetapan pada permasalahan kerana ingin mendapat gambaran yang lebih luas dan menyeluruh antaranya:

International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)

i.Dalam satu kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr. Marjan Muhammad [75] di Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto dan Sistem Kewangan Digital di Dewan Besar IKIM (28 Februari 2018), dikemukakan beberapa pandangan badan fatwa dan sarjana berkenaan isu bitcoin ini. Namun ISRA tidak melakukan sebarang pentarjihan ke atas mana-mana pendapat.[76]

Analisis Pandangan Ulama Berkenaan Bitcoin

Setelah membentangkan padangan-pandangan ulama terhadap isu ini, maka didapati bahawa bitcoin merupakan satu alat baru yang telah diperkenalkan oleh pihak tertentu sebagai alternatif kepada sistem mata wang yang sedia ada dalam sesebuah negara.

Para ulama sendiri telah berbeza kepada 3 pandangan dalam menentukan hukum bagi isu ini. Perbezaan ini muncul apabila berlakunya perbezaan dari sudut pandang mereka. Bagi ulama yang mengharuskan, mereka lebih melihat dari sudut mikro bitcoin, ia merupakan mata wang yang menepati ciri-ciri mata wang dan tiada sebarang elemen gharar dan jahalah yang boleh merosakkan transaksi mata wang ini.

Namun, bagi ulama yang mengharamkan, didapati lebih melihat bitcoin dari sudut makro dan jangkaan skop yang lebih luas. Kewujudan mata wang ini boleh menggugat kestabilan mata wang sesebuah negara di samping ketiadaan pengawasan dan pengawalan oleh pihak berautoriti. Penggunaan bitcoin juga diramalkan akan melahirkan lebih banyak masalah dengan kemunculan skim-skim pelaburan penipuan serta jalan mudah bagi pengganas dan penjenayah siber.

Terdapat juga sebahagian kecil ulama yang lebih bersifat tawaqquf dalam isu ini. Ini kerana didapati mereka lebih mengambil langkah berhati-hati dengan mencari sebanyak mungkin gambaran terhadap penggunaan mata wang ini. Keputusan yang muktamad dikeluarkan setelah mereka benar-benar berpuas hati dengan maklumat yang diperolehi.

Ringkasnya, hukum penggunaan mata wang bitcoin dapat dilihat seperti jadual di bawah:



Justeru, jika diukur daripada sudut kebaikan (maslahah) pada mata wang ini, maka antara kebaikannya ialah:

a.Bitcoin merupakan mata wang secara maya yang membolehkan perpidahan wang dilakukan lebih pantas dan menjimatkan kos jika berbanding dengan melalui sistem kewangan pada hari ini.
b.Ia dapat memberikan tahap keselamatan yang tinggi kepada pengguna berbanding mengggunakan wang fizikal.
c.Mempunyai kadar nilai yang tinggi pada hari ini, namun tetap terdedah kadar turun naik yang agak tidak stabil.

Namun begitu, bitcoin juga mempunyai beberapa sudut keburukan (mafsadah) antaranya:

a.Bitcoin tidak mempunyai sandaran nilai yang stabil dan tetap.
b.Terdapat unsur-unsur gharar dalam transaksi bitcoin khususnya di peringkat bursa (exchange).
c.Ia boleh dimanipulasi sebagai dana mudah bagi penjenayah untuk membiayai kegiatan keganasan dan penjenayah siber.
d.Sistem keselamatan di bursa dagangan bitcoin juga boleh mengundang masalah apabila pernah beberapa kali digodam sehingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan dolar.
e.Bitcoin merupakan satu mata wang yang tidak diawasi oleh mana-mana badan berautoriti.
f.Mampu memberi ancaman kepada sistem kewangan negara.
g.Munculnya berbagai-bagai skim pelaburan bitcoin yang kebanyakannya berasakan skim cepat kaya (penipuan).

Kesimpulan

Secara tuntasnya, setelah menilai pandangan ulama dan sarjana Islam berkenaan bitcoin, maka didapati mata wang ini tidak menepati ciri-ciri mata wang yang ditetapkan dalam Islam apabila ia tidak mampu menyimpan nilai secara konsisten. Meskipun masyarakat umum boleh menerimanya sebagai mata wang namun ketidakstabilan nilai pada mata wang ini boleh mengundang kemudaratan kepada pengguna pada masa akan datang.

Selain itu, ketiadaan badan berautoriti yang mengawal selia mata wang ini juga boleh mengundang pelbagai perkara negatif seterusnya mampu mengganggu-gugat sistem mata wang rasmi dalam sesebuah negara.

Berdasarkan pemerhatian terhadap amalan semasa, bitcoin lebih dilihat sebagai satu aset pelaburan, dan ia tidak menepati tujuan asal penciptaan bitcoin itu sendiri, iaitu sebagai mata wang alternatif kepada sistem mata wang fiat yang sedia ada.

Justeru, tindakan menyekat penggunaan mata wang ini adalah wajar berdasarkan kepada kaedah Sadd al-Zarai’ (menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan) agar ia tidak berlegar di kalangan masyarakat umum. Sesuatu yang asalnya harus boleh dicegah apabila ia ternyata boleh membawa kemudaratan yang lebih besar.

Pemerintah dan badan berautoriti juga berhak untuk menghalang sebarang transaksi bitcoin ini demi memelihara maslahah masyarakat umum. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: Tindakan seseorang pemerintah ke atas rakyat adalah berdasarkan kepada maslahah.

Maka mata wang bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’iy kerana ia tidak menepati sepenuhnya ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, dan ia mampu memberikan pelbagai ancaman terhadap kemaslahatan umum. Namun begitu, hukum ini boleh berubah jika penambahbaikan dilakukan terhadap bitcoin samada dari sudut pengeluaran, pengawalan harga, sistem keselamatan di bursa dan regulasi untuk mengelakkannya daripada diekploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan hujahan ini juga, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawa Bitcoin yang terdapat pada masa sekarang tidak menepati ciri-ciri mata wang yang telah ditetapkan oleh Islam, diputuskan bahawa Bitcoin mampu mengundang pelbagai kemudaratan terhadap sistem kewangan sesebuah negara. Oleh kerana itu, penggunaan Bitcoin yang ada pada masakini sebagai satu mata wang adalah dilarang bagi memelihara kemaslahatan umum.

Wallahu a’lam.



Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan



[1] Rujuk http://www.theedgemarkets.com/article/media-prima-hit-ransomware-attack-%E2%80%94-sources

[2] Anwar Zainal Abidin. 2002. "Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar." Ulum Islamiyyah. Kolej Universiti Islam Malaysia. Jld. 1. no. 1. hlm. 25. Lihat juga Zarra Nezhad, Mansour. 2004. "A Brief History of Money in Islam and Estimating the Value of Dirham and Dinar." Review of Islamic Economics 8.2: hlm. 51-65. Lihat juga Wan Kamal Mujani. 2009. Sejarah Dinar Dari Zaman Pra Islam Sehingga Zaman 'Uthmani. Bangi : IKRAB, UKM. hlm 9. Lihat juga Salmy Edawati Yaacob. 2009. "Sejarah Dinar Emas dan Kronologi Pertukaran Mata Wang Dunia." Jurnal Al-Tamaddun 4 (2009): hlm. 107-127.

[3] Anwar Zainal Abidin. 2002. "Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar." hlm. 25; Wan Kamal Mujani. 2009. Sejarah Dinar Dari Zaman Pra Islam Sehingga Zaman 'Uthmani. hlm. 9-10.

[4] Wan Kamal Mujani. 2009. Sejarah Dinar Dari Zaman Pra Islam Sehingga Zaman 'Uthmani. hlm. 10; Salmy Edawati Yaacob. 2009. "Sejarah Dinar Emas dan Kronologi Pertukaran Mata Wang Dunia." hlm. 110.

[5] Anwar Zainal Abidin. 2002. "Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar." hlm. 26. Lihat juga al-Baladhuri, Futuh al-Buldan, hlm. 653.

[6] Zarra Nezhad, Mansour. "A Brief History of Money in Islam and Estimating the Value of Dirham and Dinar." hlm. 51-54. Anwar Zainal Abidin. 2002. "Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar." hlm. 28.

[7] Yaacob, Salmy Edawati. "Sejarah Dinar Emas dan Kronologi Pertukaran Mata Wang Dunia." hlm. 112.

[8] Ini juga sebagaimana yang disimpulkan oleh Anwar Zainal Abidin dalam kajiannya “Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar." hlm. 48.

[9] Ahmad S., & Yaacob, S. E. 2012. Dinar Emas Sejarah Dan Aplikasi Semasa. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia; Yaacob, Salmy Edawati. 2015. Dilema Dinar Emas. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm. 68.

[10] Al-Tabariy, Muhammad bin Jarir. tt. Jami’ al-Bayan fi Tafsir al-Qur’an. Dar Hijr. Jld. 12, hlm.

[11] Al-Raghib al-Asfahani. tt. al-Mufradat fi Gharib al-Quran. Beirut: Dar al-Ma’rifah. Jld. 1, hlm.

[12] Sahnun, Muhammad bin Said. tt. al-Mudawwanah al-Kubra. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah. Jld. 8, hlm. 305.

[13] Al-Ghazali, Abu Hamid. tt. Ihya’ Ulum al-Din. Beirut: Dar al-Ma’rifah. Jld. 4, hlm. 265.

[14] Ibnu Taimiyyah, Taqiy al-Din Ahmad. Majmu’ al-Fatawa. Darul Wafa’. Cet. 3, Jld. 29, hlm. 471-

[15] Ibnu al-Qayyim. 1973. I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin. Beirut: Dar al-Jil. Jld. 2, hlm. 157.

[16] Ibn Khaldun, Abdul Rahman bin Muhammad. tt. al-Muqaddimah. t.tp: t.pt. Jld. 1, hlm. 215.

[17] Nazim al-Syamri Muhammad Nuri. 1987. al-Nuqud wa al-Masarif. Beirut: Dar al-Kutub li al-Tiba’ah wa al-Nasyr. hlm. 142.

[18] Ahmad S., & Yaacob, S. E. 2012. Dinar Emas Sejarah Dan Aplikasi Semasa. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm. 43-44.

[19] al-Zuhaili, Wahbah. 1996. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (terj.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jld. 4, hlm. 652.

[20] Mustafa Bugha et. al. 1992. al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’ie. Damsyiq: Dar al-Qalam. Jld. 6. hlm. 94-97.

[21] Imam Muslim. tt. Sahih Muslim. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi. Jil. 3, hlm. 1210, hadis no. 1584.

[22] al-Zuhaili, Wahbah. 1996. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (terj.) Jld. 4, hlm. 653-654.

[23] Imam Muslim. tt. Sahih Muslim.. Jil. 3, hlm. 1210, hadis no. 1587.

[24] Imam al-Bukhari. tt. Sahih al-Bukhari. Dar Tuq al-Najat. Jil. 3, hlm. 74, hadis no. 2177.

[25] Lihat keputusan Mesyuarat Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia Ke-179 bertarikh 22 Ogos 2017 bertajuk Penentuan Majlis Akad dan Serah Terima Bagi Bai` al-Sarf Dalam Operasi Kewangan Semasa yang dimuat naik di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my). Akses pada 17 Januari 2018.

[26] Ibid.

[27] Edward Murphy et al, 2015, Bitcoin; Questions, Answers, and Analysis of Legal Issues, Congressional Research Service, hlm. 1

[28] "What is Bitcoin?" (http://money.cnn.com/infographic/technology/what-is-bitcoin/) Dilawati pada 12 Januari 2018

[29] http://fortune.com/2017/11/25/lost-bitcoins/ “Exclusive: Nearly 4 Million Bitcoins Lost Forever, New Study Says” Dilawati pada 12 Januari 2018

[30] Rujuk Satoshi Nakamoto, t.t, Bitcoin: A Peer-to-Peer Electronic Cash System, www.bitcoin.org

[31] https://www.economist.com/news/business/21638124-minting-digital-currency-has-become-big-ruthlessly-competitive-business-magic "The magic of mining"- 13 January 2018

[32] https://www.facebook.com/muamalat.my/posts/1414275821988496:0, dilawati pada 24 Januari 2018.

[33] https://www.ccn.com/bitcoin-hits-new-yearly-low-volume-only-way-to-reverse-trend-is-a-big-spike/

[34] http://www.independent.co.uk/life-style/gadgets-and-tech/news/bitcoin-price-live-updates-latest-value-exchange-rate-digital-cryptocurrency-futures-investment-a8147681.html “Bitcoin price - live updates on the volatile cryptocurrency”- 5 Januari 2018

[35] https://www.reuters.com/article/us-bitcoin-mtgox-bankruptcy/mt-gox-files-for-bankruptcy-hit-with-lawsuit-idUSBREA1R0FX20140228 “Mt. Gox files for bankruptcy, hit with lawsuit”- 8 Januari 2018

[36] https://www.reuters.com/article/us-bitcoin-exchange-southkorea/south-korean-cryptocurrency-exchange-to-file-for-bankruptcy-after-hacking-idUSKBN1ED0NJ “South Korean cryptocurrency exchange to file for bankruptcy after hacking” – 9 Januari 2018

[37] https://www.reuters.com/article/us-cyber-nicehash/hackers-steal-64-million-from-cryptocurrency-firm-nicehash-idUSKBN1E10AQ “Hackers steal $64 million from cryptocurrency firm NiceHash”- 16 Januari 2018

[38] https://www.wsj.com/articles/bitcoin-paypal-used-to-finance-terrorism-indonesian-agency-says-1483964198 “Bitcoin, PayPal Used to Finance Terrorism, Indonesian Agency Says”- 15 Januari 2018

[39] https://www.justice.gov/usao-edny/pr/long-island-woman-indicted-bank-fraud-and-money-laundering-support-terrorists “Long Island Woman Indicted for Bank Fraud and Money Laundering to Support Terrorists”

[40] https://rusi.org/commentary/cryptocurrencies-and-terrorist-financing-risk-hold-panic “Cryptocurrencies and Terrorist Financing: A Risk, But Hold the Panic” 15 Januari 2018

[41] http://www.bnm.gov.my/documents/2017/20170623_FCA_EN.pdf

[42]http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_announcement&pg=en_announcement&ac=49&lang=en

[43] https://themalaysianreserve.com/2018/01/02/no-ban-cryptocurrency-tradings-says-johari/ “No ban on cryptocurrency tradings, says Johari”- 7 Januari 2018

[44] https://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/12/15/bnm-rm75m-cryptocurrencies-transactions-each-month/ “BNM: RM75m cryptocurrencies transactions each month” – 7 Januari 2018

[45] http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_press&pg=bm_press&ac=4629&lang=bm “Bank NegaraMalaysia mengeluarkan dokumen dasar untuk mata wang digital” 18 April 2018

[46]https://www.sc.com.my/my/post_archive/media-statement-on-initial-coin-offerings/ “Media Statement on Initial Coin Offerings”- 9 Januari 2018

[47] https://fintechnews.my/18950/blo

Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://bloginfo4uall.blogspot.com/2018/11/info-agama-hukum-penggunaan-matawang.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+BlogSensasi+%28Blog+Sensasi%29

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Mufti Wilayah Menulis Guna Mata Wang Bitcoin Bagaimana Hukum Siri 1

Mufti Wilayah Menulis Guna Mata Wang Bitcoin Bagaimana Hukum Siri 1

papar berkaitan - pada 18/11/2018 - jumlah : 337 hits
MUKADIMAHISU ini telah dikemukakan oleh orang ramai ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi pelbagai medium antaranya aplikasi whatsapp Facebook Instagram dan Twitter Mutakhir ini Bitcoin yang merupakan salah satu daripada jenis mata ...
Mufti Wilayah Persekutuan Penggunaan Bitcoin Yang Ada Pada Masakini Adalah Dilarang

Mufti Wilayah Persekutuan Penggunaan Bitcoin Yang Ada Pada Masakini Adalah Dilarang

papar berkaitan - pada 18/11/2018 - jumlah : 352 hits
Hukum mengenai penggunaan Bitcoin telah diutarakan oleh ramai pengguna sejak setahun dua ini Kini menyentuh mengenainya Mufti Wilayah Persekutuan mengumumkan yang mana Bitcoin yang ada pasa masakini sebagai suatu mata wang adalah dilarang S...
Kubu Rommy Sebut Ppp Muktamar Jakarta Tak Punya Landasan Hukum Cuma Caper

Kubu Rommy Sebut Ppp Muktamar Jakarta Tak Punya Landasan Hukum Cuma Caper

papar berkaitan - pada 17/11/2018 - jumlah : 245 hits
Kubu Rommy sebut PPP Muktamar Jakarta Tak Punya Landasan Hukum Cuma Caper Arsul Sani menegaskan Mukernas tersebut ilegal karena PPP Muktamar Jakarta tidak memiliki landasan hukum Dia menilai apa yang dilakukan Humphrey Djemat dan kelompokny...
Pelaku Pembunuhan Keluarga Gaban Di Bekasi Terancam Hukum Mati

Pelaku Pembunuhan Keluarga Gaban Di Bekasi Terancam Hukum Mati

papar berkaitan - pada 17/11/2018 - jumlah : 244 hits
Adapun Wahyu mengungkapkan pelaku menghabisi nyawa para korban dengan menggunakan linggis Di mana saat ini barang bukti itu tengah dicari kepolisian di Kalimalang usai dibuang tersangka
Sambangi Polda Metro Kuasa Hukum Tanyakan Berkas Ratna Sarumpaet

Sambangi Polda Metro Kuasa Hukum Tanyakan Berkas Ratna Sarumpaet

papar berkaitan - pada 17/11/2018 - jumlah : 287 hits
Kuasa hukum Ratna Sarumpaet Insank Nasrudin menyambangi Gedung Direktorat Reserse Kriminal Umum Polda Metro Jaya Kedatangannya Insank untuk mengetahui perkembangan pelimpahan berkas tahap satu dari penyidik ke Kejaksaan yang telah dilakukan...
Hukum Mencabut Mencukur Dan Melukis Bulu Kening

Hukum Mencabut Mencukur Dan Melukis Bulu Kening

papar berkaitan - pada 19/11/2018 - jumlah : 1240 hits
Hukum Mencabut Mencukur Dan Melukis Bulu Kening Jangan Kerana Nak Cantik Kita Lupa Pada Hukum Suka tengok bulu kening yang tersusun cantik di wajah kaum wanita makin naik serinya Kalau dulu wanita suka menipiskan bulu kening sekarang jenis ...
Comment On Hukum Persoalan Iklan Blog Dan Halal Haram By Hakim

Comment On Hukum Persoalan Iklan Blog Dan Halal Haram By Hakim

papar berkaitan - pada 18/11/2018 - jumlah : 268 hits
Alhamdulillah atas perkongsian dan terima kasih buat saudara Dengan Nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang setelah penelitian demi penelitian bersumberkan Al Quran hadith pandangan ulama blog saudara Pada pendapat saya pendapatan...
Uang Suap Bupati Pakpak Bharat Diduga Untuk Amankan Kasus Hukum Istri

Uang Suap Bupati Pakpak Bharat Diduga Untuk Amankan Kasus Hukum Istri

papar berkaitan - pada 19/11/2018 - jumlah : 190 hits
Bupati Pakpak Bharat Remigo Yolando Berutu ditetapkan sebagai tersangka oleh Komisi Pemberantasan Korupsi setelah diduga menerima uang suap mencapai Rp 550 juta dari kontraktor KPK menduga uang tersebut digunakan untuk kepentingan pribadi R...
Hukum Islam Berubah Mengikut Masa Dan Keperluan

Hukum Islam Berubah Mengikut Masa Dan Keperluan

papar berkaitan - pada 16/11/2018 - jumlah : 291 hits
Hukum Islam adalah universal atau menepati keperluan hidup manusia dari dahulu kini dan sehingga ke hari kiamat Ia menjadi panduan hidup untuk mencapai matlamat menjadi hamba Allah dengan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang d...
Pas Mocks Madani Gov T After Pmx Loosely Faulted Rushed Flawed Trials Of High Profile Cases Post 2018 Ge

Sah Kes Najib Razak Cacat

Icac Found No Case Rahman Dahlan Defends Musa S Appointment

Slot Qris Explained The Key To Faster And Safer Gaming Transactions

Tenure Of Sabah Sarawak S Top Judge Extended Says Source

Rahsia Kawal Gula Dalam Darah Supaya Tak Melompat Lompat Lagi

Tremendous Nadi Collaboration

Kebaikan Rawatan Rendaman Kaki Bersama Garam Bukit Dan Ais Batu


echo '';
Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Cinta Bukan Milik Kita Slot Samarinda TV3


10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025

Pelajari Kesalahan Trader Pemula Untuk Persiapan Trading Profit Maksimal 2025

Helikopter Terhempas Di Hospital Di Turkiye Empat Maut

Nigeria Tragedi Rempuhan Sempena Agihan Makanan Pra Krismas Ragut 67 Nyawa

Razer Umum Koleksi Squid Game