Individu Gesa Tutup Sekolah Vernakular Penghasut Wajar Dikecam Kata Timbalan Presiden Pbs
Durie Rainer Fong
Parti politik di Sabah bergabung suara dalam kontroversi membabitkan kenyataan seorang timbalan menteri menggesa sekolah vernakular di Malaysia dihapuskan. (Gambar Bernama)KOTA KINABALU: Parti politik di Sabah bergabung suara dalam kontroversi membabitkan kenyataan seorang timbalan menteri menggesa sekolah vernakular di Malaysia dihapuskan.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Yee Moh Chai hari ini membawa suara komuniti Cina untuk berdiri teguh dan membantah cadangan “tidak masuk akal” dikemukakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.
“Sesiapa mencadangkan penghapusan sekolah vernakular perlu dianggap penghasut dan sewajarnya dikecam. Pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap perbuatan sedemikian,” katanya.
Yee yang juga bekas timbalan ketua menteri Sabah berkata, perkara dituntut Wan Ahmad Fayshal mencabuli hak asasi mana-mana komuniti untuk menggunakan bahasa ibunda dalam pendidikan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Wan Ahmad Fayshal yang juga ketua pemuda PPBM sebelum ini mendakwa, sekolah vernakular tidak menghasilkan pelajar memiliki identiti kenegaraan yang kuat, justeru beliau menyokong gesaan sekolah vernakular dihapuskan.
Sebagai respons, bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching membidas pendirian Wan Ahmad Fayshal dan menegaskan sekolah vernakular masih mengekalkan “identiti rakyat Malaysia yang utuh”.
Parti lain seperti MCA dan Pakatan Harapan (PH) juga mengecam Wan Ahmad Fayshal berhubung perkara itu.
Yee berasa jelik dan terkejut kerana masih terdapat orang yang cuba menjejaskan perpaduan serta keharmonian negara ini.
“Malaysia adalah bumi bertuah. Sejak kemerdekaan tercapai, hak diperuntukkan kepada populasi berbilang kaum di negara ini adalah dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk kebebasan menggunakan bahasa ibunda bagi tujuan pendidikan.
“Hasilnya, ramai rakyat Malaysia menguasai pelbagai bahasa, kemampuan yang sangat dipandang tinggi dan diiktiraf dalam pasaran global yang kompetitif,” katanya.
Selain Yee, Ketua Penerangan SAPP Chin Vui Kai turut menempelak Wan Ahmad Fayshal dan menjelaskan parti dari Semenanjung perlu menghentikan “budaya perkauman tidak sihat”.
“Sekarang kita mempunyai ketua pemuda PPBM baru dilantik yang juga seorang timbalan menteri menuntut penutupan sekolah vernakular di Malaysia.
“Perkauman merupakan barah yang perlu dihentikan segera sebelum ia memusnahkan negara kita,”katanya.
Justeru, beliau percaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dianggap sebagai pemimpin bersederhana, akan melakukan sesuatu bagi menghentikan kenyataan ekstrem seperti itu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/individu-gesa-tutup-sekolah-vernakular.html