Imf Ramal Ekonomi Global Meleset Teruk
IMF Ramal Ekonomi Global Meleset Teruk
TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pandemik Covid-19 mencetuskan kemelesetan ekonomi global tahun ini dengan kesannya lebih buruk berbanding krisis kewangan pada 2008.
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva berkata, prospek pertumbuhan negatif namun unjuran pertumbuhan ekonomi global itu dijangka pulih pada 2021.
Georgieva berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan fiskal luar biasa diambil banyak negara untuk meningkatkan sistem kesihatan dan melindungi syarikat serta pekerja.
“Lebih banyak lagi diperlukan, terutama dari segi fiskal,” katanya.
Georgieva mengeluarkan jangkaan baharu itu selepas persidangan menteri kewangan dan bank pusat daripada kumpulan 20 ekonomi terbesar di dunia.
Katanya, persidangan itu bersetuju mengenai keperluan untuk solidariti di seluruh dunia.
“Kos manusia daripada pandemik Covid-19 tidak dapat diukur dan semua negara perlu bekerjasama,” katanya.
Awal bulan ini, Georgieva memberi amaran pertumbuhan dunia pada 2020 akan berada di bawah kadar 2.9 peratus, tetapi tidak meramalkan kemelesetan.
Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China mendorong pertumbuhan global tahun lalu kepada kadar terendah sejak penguncupan 0.7 peratus pada 2009.
Georgieva berkata, pemulihan dijangka pada 2021, tetapi untuk mencapai itu negara perlu mengutamakan penahanan dan menguatkan sistem kesihatan.
“Kesan ekonomi teruk dan akan menjadi lebih teruk. Tetapi jika penularan virus itu cepat terhenti, pemulihan akan lebih pantas dan lebih kuat,” katanya.
Georgieva berkata, IMF meningkatkan pembiayaan kecemasan dalam skala besar dengan 80 negara meminta pertolongan dan IMF bersedia menggunakan semua kapasiti pinjamannya sebanyak AS$1 trilion (RM4.4 trilion).
Negara ekonomi maju secara amnya lebih produktif dalam menangani krisis, tetapi banyak pasaran baru muncul dan negara berpendapatan rendah menghadapi cabaran yang signifikan, termasuk aliran keluar modal.
Katanya, pelabur membawa keluar AS$83 bilion (RM368 bilion) daripada pasaran baru muncul sejak permulaan krisis, aliran keluar modal terbesar pernah dicatatkan.
The post IMF Ramal Ekonomi Global Meleset Teruk appeared first on masterlatif.com.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://masterlatif.com/imf-ramal-ekonomi-global-meleset-teruk/