Ikan Buntal Beracun Boleh Menjadi Hidangan Paling Lazat
SEDAP.. Apabila disebut ikan buntal, ramai orang pasti terbayang hidupan laut yang berduri serta memiliki racun yang boleh membawa maut.
Namun begitu, ikan yang sudah dikeluarkan racun, ternyata boleh dimasak kari, asam pedas, dipanggang atau digoreng menjadi hidangan lazat.
Berkongsi pengalaman dengan agensi berita Bernama, Dari Sait, 56 tahun, dari Kampung Manggut, Spaoh, Sarawak berkata, beliau belajar sendiri menyiang dan buang racun ikan buntal kuning seawal usia 20 tahun.
“Membuang racun perlukan teknik yang betul, di bahagian badan ikan tersebut ada racun di pembuluh darah. Telur ikan buntal juga sedap, di bahagian ini racun berada di selaput telur, selain membuang selaput telur menggunakan pisau, rebus bersama rebung juga dapat membuang racun di bahagian ini.
“Kawasan Spaoh memang terkenal dengan ikan buntal kuning. Kebanyakan penduduk di kawasan ini memang ‘pakar’ menyiang ikan (buang racun) seterusnya masak selera masing-masing,” katanya.
Dengan memakai sarung tangan bagi mengelak duri di bahagian abdomen ikan buntal, wanita itu mengambil masa tidak sampai seminit membuang racun di bahagian pembuluh darah ikan tersebut.
JEPUN JUGA MAKAN IKAN BUNTAL
Menurut Pensyarah Jabatan Sains Akuatik Fakulti Sains dan Teknologi Sumber Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Dr. Samsur Mohamad berkata, masyarakat di Jepun makan ikan buntal untuk cari rasa ‘sensasi’ ikan tersebut.
“Lepas kita makan tadi, ada rasa kebas kan, jika di Jepun rasa ‘sensasi’ itu dicari masyarakat di sana apabila makan ikan buntal,” katanya.
Beliau berkata musim ikan buntal kuning bermula dari April hingga Okt setiap tahun di sepanjang Batang Saribas dengan Kampung Manggut, Spaoh, yang terletak berhampiran Batang Saribas antara kawasan tumpuan ikan tersebut.
Ikan buntal kuning segar dijual pada RM10 sekilogram, ikan buntal kering tiga ekor RM10, manakala telur ikan buntal kuning RM40 sekilogram, katanya.
Dalam pada itu, Mohd Remy Husin, 32, berkata ikan buntal ditangkap dua kali sebulan semasa musimnya menggunakan jaring atau dengan kaedah tangkap tradisional menggunakan alat dikenali sebagai ‘sagang’.
BAGAIMANA NELAYAN TANGKAP IKAN BUNTAL?
“Apabila ikan buntal mulai masuk ke Batang Saribas, nelayan menangkap menggunakan jaring yang dipasang di bahagian tengah sungai. Sewaktu musim ikan buntal, hasil tangkapan mampu mencecah 180 kilogram.
“Ini berbanding hanya sekitar lima hingga 10 kilogram di luar musim,” katanya yang berpengalaman menangkap ikan tersebut sejak berusia 12 tahun.
Mohd Remy berkata selepas ikan buntal melepaskan telur untuk pembiakan di kawasan Tanjung Asam, Batang Saribas, ikan tersebut akan menjadi lapar, kali ini proses untuk menangkap perlu menggunakan kaedah ‘sagang’.
“Selepas ikan buntal melepaskan telur, ikan tersebut akan menjadi lapar, nelayan di sini akan menangkap menggunakan sagang yang dihasilkan daripada besi kemudian diletakkan umpan ikan yu,” katanya.
Menurut Dr Samsur, berdasarkan kajian kawasan Batang Saribas jadi tumpuan ikan buntal disebabkan faktor laluan sungai yang sempit, memiliki banyak tanjung yang terlindung dari arus laut dan sesuai untuk proses pembiakan.
“Apabila tiba musim mengawan, ikan buntal daripada kawasan pesisir akan mula memasuki Batang Saribas yang memiliki banyak kawasan tanjung serta keadaan di bawah sungai berpasir sesuai untuk melepaskan telur.
“Selepas proses ini selesai, induk ikan akan balik semula ke kawasan pesisir pantai selepas tinggalkan benihnya, kita masih jalan kajian berapa lama tempoh diambil sebelum anak ikan ini kembali semula ke pesisir pantai,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://informasisantaiku.blogspot.com/2019/01/ikan-buntal-beracun.html