Ibu Bapa Sambut Baik Sesi Persekolahan Januari
SHAH ALAM - Rata-rata ibu bapa menyambut baik pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memulakan semula sesi persekolahan pada Januari tahun 2026
Seorang suri rumah, Siti Ainiza Kamsari, 54, berkata, sesi persekolahan seperti yang dulu dapat memberi semangat kepada pelajar untuk kembali ke sekolah selepas cuti hujung tahun
Katanya, bukan sahaja anak-anak, bahkan ibu bapa pun sukar hendak membiasakan diri apabila permulaan sesi sekolah pada Mac
“Sesi sekolah bermula Januari sangat baik kerana ia dapat memudahkan perjalanan takwim dan persekolahan. Lagipun, anak-anak selalunya lebih bersemangat pada awal tahun dengan meletakkan azam tahun baharu dan azam buka sekolah
“Bagaimanapun, saya berharap kerajaan tidak jadikan anak-anak seperti ‘tikus makmal’ untuk dikaji. Kerap berlaku pelbagai perubahan dan dasar pendidikan akan menjejaskan semangat mereka,” ujarnya
Pada Selasa, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, kerajaan telah memulakan usaha untuk awalkan kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada Februari 2025
Katanya, kalendar persekolahan dirancang dapat bermula pada bulan Januari ialah pada tahun 2026
Sementara itu, Umi Shidatul Jannata Ainirah Che Omar, 32, berpendapat, tindakan kerajaan itu perlu dipuji kerana mendengar suara rakyat terutamanya golongan ibu bapa
“Kami sebagai ibu bapa lebih selesa dengan sesi persekolahan pada awal tahun, mungkin sebab sudah terbiasa. Lagipun, senang untuk mengadakan persiapan kerana sudah tahu awal tahun buka sekolah,” ujarnya
Penjawat awam, Roszaniah Yahya, 42, pula menyatakan persekolahan bulan Mac menyebabkan ibu bapa akan terbeban dengan sesi pembukaan sekolah dan persiapan Aidilfitri
“Macam tahun ini susah untuk ibu bapa mengatur bajet kerana sesi sekolah bermula dan pada masa sama, persiapan Aidilfitri pula,” jelasnya
Sementara itu, KPM dalam kenyataan pada Rabu berkata, sesi persekolahan 2024/2025 akan bermula pada Mac 2024 manakala sesi 2025 pada Februari 2025
Menurut KPM, ia adalah untuk mengembalikan sesi persekolahan 2026 kepada Januari seperti sebelum ini
Sehubungan itu, ujarnya, penjajaran kepada jadual peperiksaan awam akan dilakukan agar selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan yang akan dilaksanakan
“Penelitian untuk kembalikan sesi persekolahan kepada Januari melihat kepada kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum,” katanya
Ujar KPM, pertimbangan itu adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.cikgushare.com/2023/05/ibu-bapa-sambut-baik-sesi-persekolahan.html