Ibadah Umrah Kini Menjadi Satu Bentuk Trend Melancong
Hari ini ibadah umrah sudah jadi satu bentuk trend melancong. Kerana ramai yang sudah berkemampuan, dan pakej umrah yang ditawarkan pula dah semakin murah, ia menjadi satu budaya melancong bentuk baru atas nama ibadah umrah.
Ramai yang menganggap melancong cara ini adalah yang terbaik kerana ibadah ini serampang dua mata. Sebab itu ada yang mengulang banyak kali. Tiap-tiap tahun pergi umrah, tapi perangai tak berubah-ubah jugak – kata Makcik Bawang sebelah rumah.
Antara perkara yang kita tidak sedar, kadang kala beribadah seperti ini satu pembaziran amalan. Betul ke? Takkan kot, tak boleh ke pergi umrah banyak kali? Tang mana yang jadi membazir?
Kerana ada yang terlampau ghairah hendak melakukan ibadah dalam bentuk ini (pi umrah banyak kali), kita telah membelakangkan beberapa perkara asas di dalam Islam.
Mana satu yang jadi fardu ain, fardu kifayah, bersedekah, yang ramai orang terlepas pandang adalah asas amal jariah dan jihad atas nama ‘Pokok Kebajikan.’
Kerana sebahagian besar kita menerima ilmu ini kurang tepat, disalah tafsir oleh agamawan tertentu kerana ada kepentingan. Ada pula fahaman sekular agensi-agensi pelancong yang mengguna tanda nama ibadah umrah sebagai pancingan.
Itulah juga yang jadi punca kenapa ramai yang tertipu dengan pakej umrah yang ditawarkan dengan harga tak masuk akal dan laungan menjadi tetamu Allah sebagai modal menjerat pelanggan. Jemaah yang lemah imannya senang sangat tersangkut dan terikut.
Masalahnya berpunca dari kita sendiri yang kurang pengetahuan falsafah di sebalik sains ibadah haji dan umarah, falsafah kebajikan (mabrur), konsep sedeqah dan jihad dek kerana terlalu mabuk dan taksub dengan keindahan janji manis kemuliaan Kaabah dan tersihir dengan ‘jenama Mekah’.
Dalam maksud yang lain, ribuan umat Islam seluruh dunia khususnya di Malaysia ada yang menyongsang amalan ibadah dari sunat menjadi wajib dan mabuk dengan ganjaran pahala yang sesekali tersalah sasar dengan syariat dan hadis sendiri.
Ada kala soal bidaah menjadi amalan adat lalu mendakwa kononnya adat itu sendi agama. Belum ditambah dengan amalan yang bukan-bukan lalu mempersulitkan urusan umrah.
Menunaikan umrah itu mudah sahaja. Tidaklah susah mana pun tetapi kerana ada yang tamak menjadikan lalu ibadah ini menjadi satu perniagaan sehingga umat Islam terlepas satu peluang penyucian jiwa yang sangat besar impaknya kepada diri kita dan keluarga.
Itulah tugas agensi umrah dalam membantu jemaah memahami apakah yang mereka cari di sebalik maksud umrah.
Pilihlah dengan bijak.
Adakah kita ke sana kerana dunia atau mencari kebenaran dalam memahami cara hidup beragama.
Ini bukan cerita ‘ni duit aku atau apa engkau peduli’.
What say you?
Shauqi Hasan
Mutawif Rare
Sumber: Facebook Shauqi Hasan
The post Ibadah Umrah Kini Menjadi Satu Bentuk Trend Melancong? appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/ibadah-umrah-kini-menjadi-satu-bentuk-trend-melancong/