Hukum Pakai Cincin Jari Tengah Lelaki
Pemakaian cincin adalah salah satu sunnah nabi jika kita berniat kerana sunnah nabi maka kita akan beroleh pahala. Jangan sampai keterlaluan dalam pemakaian cincin sehingga penuh pada kesemua jari dengan pelbagai jenis dan bentuk cincin. Sebenarnya Rasulullah memakai cincin tidak lebih daripada dua bentuk cincin dan ada kalanya hanya dipakai satu bentuk sahaja dan jika diniatkan pemakaian cincin itu mengikut sunnah Rasulullah maka sudah pasti kita beroleh pahala.
Bagaimana sunnah nabi memakai cincin? Para ulama` berselisih pendapat yang mana lebih utama dalam pemakaian cincin ini. Walaubagaimanapun ijmak para ulama` bahawa harus memakai cincin pada mana-mana tangan. Maka diharuskan (dibolehkan) memakai cincin sama ada di tangan kanan dan juga tangan kiri, kecuali makruh dijari-jari tertentu.
Menurut Imam an-Nawawi; “Telah ijmak para ulamak bahawa harus memakai cincin di tangan kanan atau tangan kiri. Di sebelah mana kita memakainya tidaklah dimakruhkan.” ( Sahih Muslim).
Merujuk kepada hadis-hadis, terdapat hadis menceritakan Nabi memakai cincin di tangan kanannya dan ada juga hadis baginda memakainya di tangan kiri.
Rasulullah juga memakai cincin di jari manis dan di jari kelingking tangan kiri Baginda Anas bin Malek menceritakan; “Adalah Nabi memakai cincinnya di jari ini (Anas menunjukkan pada jari kelingking di tangan kirinya).” (Riwayat Imam Muslim)
Bolehkah seorang lelaki memakai cincin di jari tengahnya? Cincin adalah perhiasan bagi lelaki namun bukanlah semua jenis cincin itu boleh dijadikan perhiasan buat lelaki. Dibolehkan bagi lelaki untuk memakai cincin yang diperbuat daripada perak bahkan di dalam mazhab al-Syafi’e ianya disunatkan. Begitu juga dibolehkan untuk lelaki memakai cincin daripada batu permata, zamrud, zabarjad dan `aqiq. Adapun memakai cincin emas bagi lelaki, ianya adalah haram dan ini berdasarkan hadis Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah RA:
أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِMaksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.Riwayat Muslim (2089)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa telah berijma` sekalian muslim akan keharusan perempuan untuk memaikai cincin emas dan telah berijma` juga akan pengharaman buat lelaki bagi memakai cincin emas
Memakai Cincin di Jari Tengah
Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim, `Ali bin Abi Talib RA telah berkata:
نَهَانِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي إِصْبَعِي هَذِهِ أَوْ هَذِهِ. قَالَ فَأَوْمَأَ إِلَى الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَاMaksudnya: Rasulullah SAW menegahku dari memakai cincin pada jari ini dan ini (sambil menunjukkan kepada jari tengah dan selepasnya iaitu jari telunjuk[2])Riwayat Muslim (2078)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah mengatakan bahawa telah ijma` sekalian muslimin akan sunnah memakai cincin pada jari kelinking bagi lelaki dan bagi wanita pula, boleh dikenakan pada mana-mana sahaja dari jarinya. Adapun tegahan Nabi SAW pada hadis di atas membawa hukum makruh tanzih dan dibolehkan untuk mengenakan cincin pada tangan kanan ataupun kiri kerana pada keduanya itu terdapat hadis yang sahih
Begitu juga di sisi mazhab Hanbali, makruh hukumnya memakai cincin di jari tengah dan juga jari telunjuk berdasarkan tegahan Nabi SAW melalui hadis di atas. Adapun yang zahir dari mazhab Hanbali, tidak dimakruhkan untuk memakai cincin pada ibu jari dan juga jari manis. Ini seperti mana yang disebutkan di dalam kitab Kashaf al-Qina` dan Matalib Uli al-Nuha.
Kesimpulan
Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, maka hukum bagi lelaki memakai cincin pada jari tengah (hantu) dan juga telunjuk adalah makruh tanzih dan yang sunnahnya adalah dengan memakai pada jari kelinking dan menurut mazhab Syafi’e tidak kisah sama ada memakainya pada tangan kiri ataupun kanan
Sebaiknya pemakaian cincin pada jari tengah dan telunjuk harus dielakkan dan bagi lelaki di luar sana yang ingin memakai cincin, maka bolehlah memakainya pada jari kelinking ataupun jari manis.
Jika ditanyakan bagaimana caranya Nabi SAW memakai cincinnya? Maka jawapannya seperti mana di dalam sebuah hadis riwayat Anas bin Malik RA, beliau menyebutkan:
كَانَ خَاتِمُ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فِى هَذِهِ. وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَىMaksudnya: Adalah Nabi SAW memakai cincin pada jari ini (sambil menunjukkan ke arah jari kelinking pada tangan kirinya)Riwayat Muslim (2095)
[1] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-Islami, (14/65)
[2] Diketahui bahawa jari yang ditunjukkan oleh `Ali RA selepas jari tengah itu adalah jari telunjuk adalah berdasarkan riwayat hadis yang lain, iaitu hadis riwayat selain dari Muslim. Ini seperti mana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim
[3] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-Islami, (14/71) & Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, (4/463).
[4] Diriwayatkan bahawa Ibn Umar R.Anhuma memakai cincin pada tangan kirinya manakala Ibn Abbas R.Anhuma pula di tangan kanannya. Al-Imam Malik Rahimahullah memilih dengan mengatakan sunat memakai cincin di tangan kiri dan diriwayatkan juga bahawa beliau memakainya pada tangan kiri
Makruh Memakai Cincin Di 2 Jari
1. Makruh untuk seseorang lelaki memakai cincin di jari hantu (tengah). Terdapat hadis melarang memakai cincin di jari telunjuk dan yang mengiringinya (jari tengah /jari hantu).
Ali bin Abi Talib menceritakan; “Rasulullah telah menegahku dari memakai cincin di jari ini atau jari sebelahnya, sambil dia (Ali) menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya.” (HR Imam Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasai)
2. Namun menurut ulama’; Larangan di dalam hadis di atas adalah larangan makruh, bukan larangan haram. (Syarah Sahih Muslim)
3. Ada disebut di dalam kitab Bahrulmazi, bahawa telah ijmak sekalian umat Fekah, sesungguhnya makruh hukumnya memakai cincin di jari telunjuk atau jari tengah atau ibu jari kerana Nabi tiada memakai cincinnya pada jari-jari tersebut.
4. Nabi Muhammad melarang kerana memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka di zaman Nabi Lut a.s.
5. Makruh juga hukumnya bagi perempuan memakai cincin perak kerana cincin perak itu ketentuan bagi golongan lelaki.
Wallahu a`lam, Sumber dipetik dan dirujuk daripada pelbagai sumber. akuanakpahang.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://akuanakpahang.blogspot.com/2019/11/hukum-pakai-cincin-jari-tengah-lelaki.html