Hero Realiti
Hero Realiti’ video penuh inspirasi daripada Digi
DIBANTU: Md Zin mencuba teknologi baharu MRVR yang telah membantu dalam proses pemulihannya di kediaman beliau di Sungkai.
KUCHING: Digi Telecommunication Sdn Bhd (Digi) meraikan kehadiran bulan Syawal menerusi sebuah video raya yang memaparkan gabungan dunia teknologi digital serta kemanusiaan dalam mencari kebaikan.
Merupakan sebuah kolaborasi antara Digi, Motiofixo dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), video bertajuk ‘Hero Realiti’ ini memaparkan hasil kesungguhan yang tinggi disokong oleh penggunaan teknologi realiti maya (VR) serta dikuasakan oleh sambungan Internet yang mantap.
Ia berjaya melakarkan sebuah kisah penuh inspirasi mengenai perjuangan seorang pesakit strok untuk kembali pulih.
Pakar Rehabilitasi UiTM, Profesor Madya Dr Fazah Hanapiah dengan kerjasama adiknya, Fariz Hanapiah yang bekerja dalam bidang teknologi VR di Motiofixio telah menggabungkan teknologi VR dalam rawatan fisioterapi dengan mewujudkan kaedah rawatan mudah alih yang menggalakkan pesakit untuk bergerak serta membolehkan mereka melakukan rawatan tersebut di rumah.
Kaedah Pemulihan Perubatan menggunakan Teknologi Realiti Maya (MRVR) ini telah diperkenalkan kepada Md Zin yang mengalami strok sejak enam bulan lepas.
Md Zin melahirkan rasa bersyukur atas peluang yang diberikan untuk mencuba teknologi baharu yang telah membantu dalam proses pemulihannya di samping mendapat sokongan dan pertolongan daripada keluarga serta sahabat handai.
“Proses pemulihan adalah sesuatu yang sukar, namun saya sering berkata pada diri sendiri untuk harus kuat jika ingin menunaikan solat pada Hari Raya.
“Saya tidak pernah terfikir harapan tersebut akan menjadi kenyataan tetapi kecanggihan teknologi serta Internet telah banyak membantu dalam proses pemulihan saya dan pengalaman tersebut sangat menakjubkan. Kini, semua yang saya hajatkan telah tercapai,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Selaras dengan matlamat Digi untuk menjadi peneraju penyedia perkhidmatan gaya hidup digital di Malaysia, projek ini telah memanfaatkan kelebihan teknologi yang boleh digunakan untuk memberi impak yang bermakna dalam kehidupan manusia.
Dengan mengetengahkan medium yang berjaya mempercepatkan proses pemulihan Md Zin ini, Digi berharap usaha tersebut dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menggunakan kelebihan teknologi dan Internet dengan sebaiknya.
Ketua Perkhidmatan Pemasaran Digi Bernard Lee berkata, gabungan keazamanan yang jitu bersama kelebihan teknologi digunakan untuk kebaikan, sememangnya menyuntik inspirasi.
“Sering kali kehebatan teknologi lebih terserlah apabila digandingkan bersama usaha keras. Perkara ini dapat dilihat dalam kisah Md Zin yang menyaksikan hasil gandingan inovasi unik daripada pasukan di Motiofixo dan UiTM dengan kesungguhan pesakit itu (Md Zin) sendiri untuk kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.
Beliau berkata, sempena perayaan yang bakal tiba, pihaknya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Malaysia.
“Semoga kita terus bersyukur atas kurniaan nikmat yang diberikan dan sentiasa menghargai keluarga serta orang tersayang,” katanya.
Difahamkan, pemulihan perubatan menggunakan MRVR ini masih di peringkat prototaip dan proses penyelidikan.
Kaedah tersebut boleh digunakan dalam masa terdekat oleh mereka yang memerlukan dengan adanya bantuan sambungan Internet.
utusanborneo
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mimbarkata.blogspot.com/2019/06/hero-realiti.html