Hasrat Thailand Raih 100 Emas Tercalar Malaysia Tamatkan Dominasi 34 Tahun Sepak Takraw
BANGKOK – Hasrat Thailand untuk meraikan pencapaian melepasi 100 pingat emas di Sukan SEA sedikit tercalar apabila seteru tradisi mereka, Malaysia, mencipta kejutan dengan menewaskan tuan rumah dalam final acara berpasukan lelaki sepak takraw, pada Ahad.
Kejayaan skuad negara itu bukan sahaja menamatkan dominasi Thailand selama 34 tahun dalam acara berkenaan, malah mengejutkan penyokong tuan rumah yang ketika itu sedang larut dalam suasana perayaan kejayaan kontinjen negara mereka.
Pada hari kelima kejohanan, Thailand berjaya melepasi sasaran 100 pingat emas. Namun, keputusan di gelanggang sepak takraw nyata mencuri tumpuan dan sedikit merencatkan kegembiraan mereka, lapor Bangkok Post.
Menurut laporan itu, hari berkenaan menyaksikan gabungan kejayaan besar dan kekecewaan tidak dijangka buat Thailand. Walaupun mendominasi pungutan pingat, kekalahan kepada Malaysia dalam acara sepak takraw membuktikan bahawa Sukan SEA sentiasa sarat dengan kejutan.
Tambah laporan itu lagi, bagi generasi peminat Thailand, kekalahan kepada Malaysia dalam final acara berpasukan lelaki sepak takraw merupakan sesuatu di luar jangkaan dan menjadi peringatan bahawa keunggulan serantau tidak boleh dipandang ringan.
Malaysia Tamatkan Dominasi 34 Tahun
Final yang berlangsung di Pusat Sukan Perbandaran Nakhon Pathom, di hadapan kira-kira 4,000 penonton, menyaksikan Malaysia bangkit menundukkan Thailand dengan keputusan 2-1.
Cabaran Malaysia tidak bermula dengan baik apabila regu pertama yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas tipis 1-2. Regu negara kalah 9-15 pada set pertama, bangkit memenangi set kedua 15-11, sebelum akur tewas 13-15 pada set penentuan.
Namun, Malaysia kembali menghidupkan peluang apabila regu kedua yang dianggotai Shahir Rosdi, Azlam Alias dan Farhan Adam mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan dengan keputusan 17-14, 15-13.
Perlawanan penentuan menyaksikan regu ketiga negara yang dibarisi Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan 0-7 untuk memenangi set pertama 13-5.
Pada set kedua, kemasukan Zarif Marican Ibrahim Marican menggantikan Zulkifli memberi impak besar apabila regu negara terus menguasai permainan sebelum mengesahkan kemenangan 15-11.
Kejayaan itu memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia sekali gus menamatkan dominasi Thailand dan mengakhiri kemarau panjang negara dalam acara regu berpasukan lelaki sepak takraw di pentas Sukan SEA.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih emas acara tersebut adalah pada edisi Sukan SEA di Manila, Filipina, ketika ketua jurulatih skuad kebangsaan, Ahmad Jais Baharom, turut mewakili negara sebagai pemain. – The Malaysian Update
The post Hasrat Thailand Raih 100 Emas ‘Tercalar’, Malaysia Tamatkan Dominasi 34 Tahun Sepak Takraw appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/17/hasrat-thailand-raih-100-emas-tercalar-malaysia-tamatkan-dominasi-34-tahun-sepak-takraw/