Hanya Yang Bertuah Dapat Rasa Tupai King
 Oleh NOOR HASLIZA NUSI
 ISI buah tupai king yang kekuningan dan padat dalam pangsanya mendapat perhatian penggemar durian di Pulau Pinang.BALIK PULAU  – Hanya penggemar durian yang bertuah berpeluang untuk merasai  kenikmatan raja buah jenis baharu, Tupai 226 atau lebih dikenali sebagai  tupai king yang semakin popular ketika ini.
Ini disebabkan, buah yang semakin menjadi rebutan dan kegilaan dalam  kalangan ‘hantu durian’ itu kini dikatakan semakin berkurangan ketika  ini dan belum luruh sepenuhnya dari pokok.
Dengan berkonsep ‘siapa cepat dia dapat’, pelanggan tupai king kini  juga terpaksa berkunjung ke gerai jualannya sejak awal pagi bagi  mendapatkan buah durian tersebut.
Peniaga durian, Nicholas Chang, 44, berkata, telah berlaku  pengurangan terhadap hasil pengeluaran tupai king kali ini dan  kemungkinan pelanggan yang ‘bertuah’ sahaja dapat merasai buah itu pada  penggal kedua seminggu lagi.
Dakwanya, kini dianggarkan terdapat kurang 10 batang pokok tupai king  yang berjaya membuahkan hasil pada tahun ini di dua buah dusun di Balik  Pulau.
“Kemungkinan nanti tak (tidak) ramai yang akan dapat rasa tupai king  lagi kerana hanya tinggal beberapa batang pokok sahaja yang akan  mengeluarkan baki buah itu.
“Sekarang, semua jenis durian boleh dikatakan sudah kurang. Hari ini  (semalam), ramai pelanggan datang ke gerai saya pada awal pagi  semata-mata mahu mendapatkan buah variasi baharu itu,” jelasnya.
Tambahnya, memang sudah banyak yang tanam durian tupai king di Balik Pulau cuma ia mengambil masa beberapa tahun untuk berbuah.
Kosmo! semalam melaporkan durian jenis tupai king kini telah  mengalahkan kehebatan durian premium jenis black thorn atau duri hitam  apabila variati baharu itu mula mendapat permintaan tinggi daripada  pelanggan.
Ramai pelanggan setia durian duri hitam kini telah pun mengalihkan  tumpuan mereka terhadap pembelian tupai king di sini ketika ini. -K!  ONLINE 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/hanya-yang-bertuah-dapat-rasa-tupai-king.html