Hampir 5 000 Mohon Bantuan Pulang Mengundi Di Sabah
MALAYSIAKINI 
PRN SABAH |  Kempen #PulangMengundiSabah telah menarik minat hampir 5,000 pengundi  dari negeri itu khususnya belia yang tinggal di Semenanjung untuk pulang  mengundi dalam pilihan raya negeri.
Penyelaras kempen, Aaron  Denison berkata, sejak kempen itu dilancarkan Ogos lalu, mereka menerima  jumlah yang besar meskipun hanya menyasarkan untuk membawa pulang 500  belia.
“Sejak kita lancarkan Ogos lalu, kita telah terima 5,000 permohonan dan belum tapiskan mereka lagi.
“Permohonan  dalam kalangan mahasiswa paling ramai iaitu 3,500, walaupun sasaran  kita 500 sahaja tapi kalau dapat bawa lebih ramai lebih bagus.
“Kita  fokus kepada anak muda sebab kami pun golongan belia dan mereka ini  lebih ramai tergolong dalam kategori gaji di bawah RM3,000,” katanya  seperti dipetik portal The Malaysian Insight.
Jelasnya, inisiatif itu juga tidak berpihak kepada mana-mana parti sebaliknya hanya mahu memeriahkan suasana demokrasi di Sabah.
Kempen  yang digerakkan oleh sekumpulan sukarelawan dan dipelopori anak muda  itu bertujuan untuk membantu khususnya belia yang tinggal di Semenanjung  bagi pulang mengundi pada 26 September ini.
Tambahnya, bantuan  dihulurkan kepada mereka yang berdaftar sebagai pengundi, berusia 21  hingga 35 tahun, dan berpendapatan bawah RM3,000.
Ini selepas pihaknya menerima aduan daripada belia tentang masalah yang mereka hadapi.
“Kami  hanya berkempen di Facebook dan Twitter. Kami terima banyak aduan  daripada belia tentang masalah yang mereka hadapi untuk pulang mengundi.
“Ada  anak muda yang tidak bekerja kerana krisis wabak Covid 19, ada  mahasiswa tidak cukup wang kerana harga tiket mahal, ” katanya.
Denison sebelum ini juga pernah terlibat dalam usaha sama semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Sementara itu, Denison juga mengharapkan sumbangan wang ringgit bagi menjayakan kempen tersebut.
Katanya, setakat ini mereka telah menerima bantuan sejumlah RM20,000 dan menyasarkan sehingga RM100,000.
“Harga tiket lingkungan RM350-RM400. Jika kami berjaya bawa 500 orang sekurang-kurangnya, kami perlukan dalam RM170,000.
“Setakat ini bantuan yang kita terima RM20,000.
“Kita masih ada lagi seminggu, kalau dapat RM100,000 pun saya rasa sudah cukup,” jelasnya.
Pilihan  raya negeri Sabah diadakan selepas ada usaha oleh bekas ketua menteri  Musa Aman untuk mengambil alih pentadbiran apabila mendakwa memiliki  sokongan 33 daripada 65 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Komplot  itu menyebabkan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal memohon perkenan Yang  Dipertua Negeri untuk membubarkan Dun dan mengembalikan mandat kepada  rakyat.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/hampir-5000-mohon-bantuan-pulang.html