Guru Mengaji Dibunuh Mayat Dicampak Ke Dalam Perigi Kerana Tuntut Hutang Dari Suami Pembantunya
The Reporter
Seorang wanita yang juga guru mengaji ditemui mati tanpa seurat benang di dalam perigi berdekatan dengan rumahnya di Bogor, Indonesia, Selasa, 3 November 2020.
Sebelum ditemui mati, mangsa dilaporkan hilang pada Ahad, 1 November 2020, selepas menghadiri program Maulid Nabi Muhammad SAW di Masjid Khadijah Ibrahim.
Mayat mangsa ditemui tukang paip, Mulyadi, 42, yang diminta suami mangsa untuk mengadu air periginya berbau bangkai.
"Selepas saya buka penutup perigi dan periksa di bawah, rupa-rupanya ada mayat manusia. Saya yakin itu adalah mayat mangsa yang dilaporkan hilang," katanya yang kemudian memaklumkan penemuan itu kepada tuan rumah dan pihak polis.
Susulan penemuan mayat Athiqotul Mahya, 28, polis telah menjalankan siasatan dan berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 34 tahun.
Siasatan awal polis mendapati, suspek adalah suami kepada pembantu mangsa, mengaku membunuh wanita itu kerana berang dengan mangsa yang kerap menagih hutangnya sebanyak Rp1,000,000 (RM287).
Difahamkan, suspek bekerja sebagai pemandu kenderaan sewa untuk menyara hidup. Sebelum ini suspek pernah meminjam wang daripada mangsa sebanyak Rp500 ribu (RM143) sebanyak dua kali dan jumlah keseluruhan hutangnya adalah Rp1 juta.
Disebabkan suspek tidak menepati janjinya untuk membayar hutang tersebut, mangsa kerap menuntut suspek membayar hutang itu. Tetapi suspek langsung tidak berusaha membayar hutangnya, malah meminta untuk ditangguhkan beberapa kali.
Sehinggalah pada hari kejadian, suspek yang berang dengan kekerapan mangsa menagih hutang itu bertindak membunuhnya pada malam Ahad, 1 November 2020, ketika mangsa baru sahaja pulang dari menghadiri program Maulid Nabi Muhammad. Suspek memukul dan memijak mangsa sehingga menyebabkan lehernya patah.
Setelah dibunuh, mayat ibu kepada dua anaknya yang masih kecil itu dicampak ke dalam perigi yang berada berdekatan dengan rumah majikan isterinya itu.
"Motif kejadian kerana suspek berasa sakit hati dengan mangsa yang selalu menagih hutangnya bernilai Rp1 juta. Suspek meminjam wang itu untuk keperluan kereta sewanya kerana dia bekerja sebagai pemandu," kata Ketua Polis Daerah Cibinong, Kadek Vemil.
Pemergian mangsa meninggalkan suami dan dua orang anaknya yang masih kecil berusia 3 tahun dan beberapa bulan.
Sumber: Kompas
November 06, 2020 at 01:31AM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://atmknews.blogspot.com/2020/11/guru-mengaji-dibunuh-mayat-dicampak-ke.html