Google Akan Terus Mengecewakan Peminat Dengan Pixel 5
Google Pixel tidak dinafikan adalah peranti yang baik. Walaupun dari segi spesifikasi Google amat kedekut, tetapi dari segi perisian dan pengalaman penggunaan – Google boleh dikatakan cemerlang dalam hal ini. Antara perkara yang menarik perhatian orang ramai mengenai Pixel adalah, sistem operasi Android asli yang amat lancar, pantas dan mudah digunakan. Selain itu, ia juga mempunyai sokongan kemaskini pantas dan ada peluang menerima kemaskini sehingga tiga versi Android.
Perkara menarik lain yang ada pada Pixel adalah penggunaan Google Camera, atau GCam. Google sangat hebat dalam membangunkan aplikasi mereka sejak Pixel 2. Melaluinya, Google memperkenalkan kemampuan kamera yang menakjubkan walaupun peranti hanya mempunyai satu lensa sahaja. Tidak lupa juga yang hasil kamera mod potret juga sehingga hari ini tiada peranti lain dapat bersaing dengannya.
Pujian banyak mana pun, perkara yang anda perlu tahu mengenai Pixel ini adalah ia sentiasa peranti yang paling mengecewakan. Rekaannya peranti yang ketinggalan zaman, fungsi dan ciri yang kadangkala tidak berfungsi atau sistem operasi yang penuh dengan pepijat. Ada juga isu dengan Pixel yang sangat menjengkelkan yang Google kadangkala tidak mengambil perhatian dan tidak melayan keluhan para pengguna. Tahun ini, Google akan melancarkan Pixel 5 dan percaya atau tidak ia akan kekal mengecewakan!
Google cuba sesuatu yang baru melalui Pixel 4. Pertama adalah penggunaan dahi tebal dan tidak lagi menggunakan takuk hodoh seperti Pixel 3 XL. Pixel 4 juga adalah peranti Pixel pertama yang benar-benar sama antara yang biasa dan XL. Rekaan sama, fungsi dan ciri yang sama – kecuali saiz, bateri dan jenis skrin sahaja berbeza. Pixel 4 juga mempunyai fungsi baharu, iaitu kawalan gestur atas udara melalui sensor radar Soli. Itu juga tidak begitu efisien digunakan dan banyak masalah. Untuk Pixel 5, ia masih awal lagi. Tetapi rekaan awal sudah pun tertiris. Jika anda ikuti perkembangan Pixel, mana-mana rekaan tertiris awal kebiasaannya 90% tepat dengan produk akhir.
Untuk Google Pixel 5, ia bukan sahaja akan mengecewakan dari segi rekaan – tetapi turut akan mengecewakan dari segi harga. Saya akan jelaskan dalam artikel ini.
Xiaomi Mi 10 curved screen costs $ 90, and other flat screens are only $ 30. In addition, Xiaomi's 108MP sensor costs $ 50 and 48MP costs $ 13. Snapdragon 865 and 5G basebands cost twice as much as 855!
— Ice universe (@UniverseIce) February 26, 2020
Untuk harga, saya katakan Pixel 5 akan menjadi lebih mahal kerana saya bandingkan sahaja dengan Xiaomi Mi 10. Tahun lepas, jika tukar mata wang Yuan ke Ringgit – harga adalah sekitar RM1800 sahaja untuk Mi 9. Namun tahun ini Mi 10 harga selepas menukar mata wang mencecah lebih RM2300. Ini kerana komponen-komponen peranti mercu tahun ini adalah amat mahal. Skrin AMOLED melengkung adalah $90 (~RM378), manakala skrin rata adalah $30 (~RM126). Namun, mengenali Google – mereka tidak akan menggunakan panel yang murah. Ia pasti akan mempunyai kadar segar semula tinggi, rekaan semi-lengkung (kemasan kaca 2D seakan Pixel 2 sekurang-kurangnya) dan resolusi yang tinggi.
Kemudian adalah cip pemprosesan Snapdragon 865 dengan cip 5G adalah dua kali ganda lebih mahal dari Snapdragon 855. Jika Pixel 4 sudah mahal dengan janaan cip Snapdragon 855, Pixel 5 yang dijangka dijana dengan Snapdragon 865 pula bagaimana? Pasti lebih mahal. Tidak hairan jika variasi Pixel 5 XL harga import akan mencecah RM5,000. Itu pun masih tidak pasti jika Google akan sertakan sokongan 5G ataupun tidak. Mungkin bagi peminat tegar tidak akan menjadi masalah. Harga adalah subjektif!
Mari kita beralih kepada rekaan pula. Pasti Google sudah serik dengan pelbagai cacian dan kutukan dek kerana rekaan Pixel 3 XL dan Pixel 4. Jadi Google ada kemungkinan besar akan menggunakan rekaan serba baharu untuk Pixel 5. Rekaan peranti ini sudah pun tertiris dan kita semua tahu rekaan Pixel yang tertiris biasanya sudah tepat. Dari hadapan Pixel 5 ini, ia kelihatan seperti Pixel 4 tetapi dengan rekaan dahi dan dagu yang lebih nipis. Jadi ia lebih mudah untuk diterima? Seterusnya adalah rekaan modul kamera di belakang yang kini menjadi begitu hodoh.
Ia kelihatan seperti lubang kunci pada pintu, engsel dan juga robot terkejut. Bukan itu sahaja, jelas kelihatan yang modul kamera ini adalah besar, hodoh dan ada kebarangkalian ianya tebal. Tidak cukup dengan rekaan yang hodoh pada takuk Pixel 3 XL, kini Google hadir dengan rekaan hodoh pada panel belakang. Siapalah pereka-pereka Google ini? Tidakkah mereka tiada idea yang bernas? Atau mungkin mempunyai mindset jika reka sesuatu yang lain daripada yang lain, pengguna akan minat?
Setakat ini banyak negatif sahaja. Apa yang baiknya adalah ia kelihatan mempunyai tiga lensa. Adakah Google akan lupakan kata-kata mereka tahun lepas yang telefoto lebih penting dari sudut ultra lebar? Adakah Google akan sertakan lensa ini pada Pixel 5? Ini bukan pertama kali Google membuat pusingan U. Semasa tahun 2016, mereka mengejek iPhone 7 yang tiada port bicu audio – tetapi tahun 2017 Pixel 2 mereka turut membuang port tersebut.
Google kini hanya boleh mengambil perhatian pengguna dengan perlahan. Mulakan dengan menyertakan bateri yang besar dan storan dalaman yang bermula 128GB sekurang-kurangnya. RAM 6GB mungkin sudah mencukupi, tetapi untuk aplikasi di latar berjalan dengan lebih baik – 8GB adalah minima. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman Google akan datang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2020/03/google-akan-terus-mengecewakan-peminat.html