Gempa Bumi Datang Tanpa Amaran Ini Tip Untuk Kekal Selamat
Gempa Bumi Datang Tanpa Amaran, Ini Tip Untuk Kekal Selamat
Gempa bumi merupakan antara bencana alam yang paling menakutkan kerana ia berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda yang jelas.
Dalam sekelip mata, bumi yang kita pijak boleh bergegar kuat sehingga mampu meruntuhkan bangunan, meretakkan jalan raya dan menggoncang rasa selamat yang kita miliki.
Bayangkan ketika anda sedang duduk bersama keluarga menonton televisyen, tiba-tiba lampu berayun, pinggan mangkuk berjatuhan dan lantai di bawah kaki mula bergoyang.
Panik mungkin menjadi reaksi pertama. Namun dalam situasi ini, apa yang anda lakukan dalam beberapa saat pertama boleh menjadi penentu sama ada anda dan orang tersayang selamat atau tidak.
Semalam, kita sekali lagi dikejutkan dengan berita gegaran gempa bumi yang dirasai di Segamat. Walaupun tidak begitu kuat, ia cukup untuk membuatkan ramai penduduk terjaga daripada lena dan berasa panik seketika.
Kejadian ini menjadi peringatan jelas bahawa bencana alam tidak memilih tempat dan masa untuk berlaku.
Walaupun Malaysia bukanlah negara yang sering dilanda gempa besar, hakikatnya kita juga tidak terkecuali daripada gegaran kecil yang kadang-kadang mampu menggoyahkan rasa selamat kita.
Jika kita imbas kembali, Malaysia pernah merekodkan beberapa kejadian gegaran. Ada yang berpunca daripada sesar tempatan dan ada juga yang terhasil daripada kesan gempa di negara jiran.
Walaupun skalanya tidak sekuat tragedi besar yang sering kita lihat di luar sana, pengalaman kecil ini sudah cukup memberi isyarat bahawa bersedia itu bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan.
Dalam situasi bencana, tindakan yang kita ambil dalam beberapa saat pertama boleh menentukan perbezaan antara selamat atau sebaliknya.
Maka, melalui artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa tip penting yang wajib anda ketahui. Ianya sebagai panduan ringkas untuk anda kekal selamat dan sangat berguna untuk melindungi diri serta orang tersayang sekiranya gempa bumi berlaku tanpa diduga.
1. Jika berada di dalam bangunan
Apabila gegaran melanda, naluri semula jadi kebanyakan orang ialah untuk segera berlari keluar. Namun, tindakan ini sebenarnya lebih berbahaya daripada yang disangka kerana risiko terkena serpihan kaca pecah, batu bata atau objek jatuh adalah sangat tinggi.
Cara terbaik adalah dengan menenangkan diri dan segera mengamalkan prinsip “Drop, Cover, Hold On”. Maksudnya, anda perlu tunduk ke lantai, kemudian melindungi diri di bawah meja, kerusi kukuh atau sebarang perabot yang mampu menahan hentakan objek.
Sambil itu, pegang erat bahagian perlindungan tersebut sehingga gegaran benar-benar reda. Jika anda tidak mempunyai meja atau kerusi berhampiran, cuba duduk rapat pada dinding bahagian dalam rumah sambil melindungi kepala dengan kedua-dua tangan atau bantal berdekatan.
Pastikan anda menjauhkan diri daripada tingkap, almari tinggi atau barang elektrik yang boleh menghempap pada bila-bila masa.
Paling penting, jangan sekali-kali menggunakan lif kerana jika bekalan elektrik terputus, anda mungkin terperangkap tanpa jalan keluar.
2. Jika berada di luar bangunan
Bagi mereka yang sedang berada di luar, cabaran keselamatan adalah berbeza. Kawasan terbuka adalah pilihan terbaik.
Tetapi untuk sampai ke situ, anda perlu memastikan laluan tidak membahayakan diri. Segera jauhi bangunan, pokok besar, tiang elektrik atau papan iklan kerana semuanya boleh runtuh atau tumbang akibat gegaran.
Jika anda berada di kawasan bandar yang sesak, cuba cari padang, jalan yang lapang atau kawasan parkir terbuka untuk berlindung sementara.
Elakkan berdiri berhampiran dengan dinding bangunan kerana serpihan batu atau kaca boleh jatuh dari tingkat atas tanpa amaran.
Bagi mereka yang berada di kawasan pantai, berhati-hatilah kerana gempa bumi sering mencetuskan tsunami.
Jangan tunggu siren amaran atau arahan pihak berkuasa semata-mata. Jika anda merasakan gegaran kuat yang berlarutan, segera bergerak ke kawasan lebih tinggi.
Setiap minit amat berharga dan langkah pantas anda boleh menyelamatkan banyak nyawa.
3. Jika berada di dalam kenderaan
Situasi menjadi lebih mencemaskan jika gempa bumi berlaku sewaktu anda sedang memandu. Gegaran boleh menyebabkan anda rasa seperti stereng sukar dikawal.
Malah kenderaan mungkin bergoyang kuat walaupun di jalan yang rata. Jika ini terjadi, jangan panik atau membrek secara mengejut.
Hentikan kenderaan secara perlahan dan pilih tempat selamat di tepi jalan, jauh daripada jambatan, terowong, tiang elektrik atau bangunan tinggi.
Kekal berada di dalam kenderaan kerana ia boleh memberikan perlindungan sementara daripada objek jatuh seperti batu bata atau kaca.
Namun pastikan anda tidak memberhentikan kereta di tengah lebuh raya atau laluan utama kerana ia boleh menghalang kenderaan lain termasuk pasukan penyelamat yang mungkin sedang bergegas ke kawasan bencana.
Setelah gegaran berhenti, dengarkan siaran radio kereta anda untuk mendapatkan arahan daripada pihak berkuasa sebelum membuat sebarang keputusan untuk meneruskan perjalanan.
BACA : Kenapa Telefon Pintar Anda Cepat Panas? Ini 7 Puncanya
4. Jika berada di kawasan gunung atau bukit
Bagi mereka yang gemar mendaki atau beriadah di kawasan gunung dan bukit pula, gempa bumi boleh menimbulkan risiko yang jauh lebih berbahaya.
Gegaran kuat boleh mencetuskan runtuhan batu, tanah longsor atau pokok tumbang yang semuanya boleh berlaku dalam sekelip mata.
Jika anda berada di lereng bukit ketika gegaran berlaku, jangan terus kekal di situ kerana tanah yang longgar boleh runtuh pada bila-bila masa.
Segera alihkan diri ke kawasan lapang yang jauh daripada cerun curam, dinding batu atau kawasan dengan banyak pokok besar.
Jika ada batu besar yang kukuh, anda boleh berlindung di belakangnya. Namun pastikan bukan di laluan runtuhan. Sekiranya anda sedang mendaki dalam kumpulan, pastikan semua anggota kekal rapat tetapi tidak berdiri terlalu dekat dengan cerun.
Lindungi kepala menggunakan beg galas, tangan atau sebarang kain tebal. Dalam keadaan sebegini, kecepatan bertindak adalah kunci keselamatan kerana alam semula jadi boleh berubah menjadi ancaman dalam beberapa saat sahaja.
5. Tindakan selepas gegaran berhenti
Ramai juga yang menyangka bahaya telah berakhir apabila gegaran utama reda. Tetapi hakikatnya ancaman selepas gempa bumi masih besar.
Gegaran susulan atau aftershock sering berlaku dan kadangkala lebih kuat daripada gegaran pertama. Oleh itu, jangan terburu-buru kembali masuk ke dalam bangunan yang mungkin telah mengalami keretakan struktur kerana ia boleh runtuh bila-bila masa.
Sebaliknya, tunggu di kawasan lapang dan pastikan keselamatan diri serta orang sekeliling. Jika ada yang cedera, berikan pertolongan cemas sebaik mungkin sambil menunggu bantuan tiba.
Elakkan menyalakan api, menyalakan rokok atau menghidupkan suis elektrik kerana paip gas mungkin bocor tanpa disedari lalu mencetuskan kebakaran.
Dapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa melalui radio mudah alih atau telefon pintar.
Jika anda berada berhampiran pantai, terus bergerak ke kawasan tinggi kerana tsunami sering datang beberapa minit selepas gempa bumi besar. Ingat, jangan sesekali mengambil mudah keadaan selepas gegaran pertama.
6. Persediaan kit kecemasan
Selain daripada langkah semasa bencana, persediaan awal juga memainkan peranan yang sangat penting. Setiap rumah dan setiap individu sebaiknya mempunyai kit kecemasan yang mudah dicapai.
Kit ini seeloknya mengandungi lampu suluh dengan bateri tambahan, power bank untuk mengecas telefon, ubat-ubatan asas serta makanan kering seperti biskut atau coklat tenaga.
Jangan lupa juga untuk sediakan air minuman yang mencukupi, wisel untuk meminta pertolongan dan radio mudah alih bagi mendapatkan maklumat.
Tambahkan juga selimut, sarung tangan serta pakaian tambahan yang ringan tetapi selesa. Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, jangan lupa bekalan susu formula, lampin dan mainan kecil untuk menenangkan mereka dalam situasi cemas.
Simpan semua barang ini di dalam beg kalis air dan letakkan di tempat mudah dicapai.
Ramai yang meremehkan perkara ini, tetapi apabila bencana berlaku kit kecemasan inilah yang akan menjadi penyelamat sementara menunggu bantuan tiba.
Ambil tahu tip selamat ketika gempa bumi
Kesimpulannya, gempa bumi adalah bencana alam yang tidak dapat kita ramalkan tetapi kita boleh melatih diri untuk bertindak dengan betul apabila ia berlaku.
Di mana sekalipun anda berada, perkara yang paling penting ialah mengekalkan ketenangan, melindungi diri daripada bahaya langsung dan berfikir pantas.
Jangan sesekali memandang ringan kepentingan kit kecemasan kerana ia mampu memberi kelegaan dan menyelamatkan nyawa ketika bantuan belum tiba.
Ilmu keselamatan ini bukan sekadar untuk pengetahuan diri sendiri tetapi juga untuk dikongsi bersama keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.
Kadang-kadang, persediaan kecil yang kita lakukan hari ini boleh menjadi penyelamat besar pada saat paling getir dalam hidup.
Sumber : MET Malaysia, mkn.gov
BACA : Tayar Kereta Haus Sebelah, Ini Punca Sebenar
The post Gempa Bumi Datang Tanpa Amaran, Ini Tip Untuk Kekal Selamat appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/08/26/gempa-bumi-datang-tanpa-amaran-ini-tip-untuk-kekal-selamat/