Enam Stesen Akan Dibina Ecrl Tidak Lompat Terengganu Tun Daim
Bernama                                                                                                                                                                                              

Tun Daim Zainuddin
KUALA TERENGGANU – Enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)  bakal dibina di Terengganu, sekali gus membuktikan negeri ini tidak  dipinggirkan dalam pelaksanaan projek berkenaan seperti dakwaan  sesetengah pihak.
 Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata rakyat  Terengganu tidak perlu gusar dan keliru dengan keputusan jajaran baharu  ECRL meskipun terdapat pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion  menjadikan projek berkenaan kini bernilai RM44 bilion berbanding RM65.5  bilion sebelum ini.
 “Perancangannya akan ada enam stesen di Terengganu. Ada stesen  penumpang, ada kargo dan ada juga penumpang bersama kargo…tetapi saya  tidak ingat semuanya.
 ECRL akan lalu Terengganu..takkan nak melompat (ke Mentakab),”  katanya yang berada di Terengganu bagi menghadiri program Bicara Darul  Iman bertajuk Ekonomi Bumiputera:Agenda Nasional, hari ini.
 Berdasar cadangan jajaran baharu itu, enam stesen di Terengganu  meliputi Chukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu  dan Kampung Raja.
 Projek ECRL disambung semula susulan pemeteraian perjanjian tambahan  (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications  Construction Company Ltd (CCCC).
 Selain pengurangan kos, jajaran baharu ECRL ialah dari Kota  Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan  seterusnya Pelabuhan Klang juga menyaksikan panjang landasan turut  dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding rancangan awal 688  kilometer.
 Daim juga berkata perjanjian tambahan (SA) antara MRL dan CCCC  memberi pertambahan penglibatan kontraktor tempatan kepada 40 peratus  berbanding 30 peratus sebelum ini.
 Selain itu katanya, projek terbabit akan merancakkan industri  sampingan termasuk ‘inap desa’ dan perniagaan runcit akan berkembang  apabila bermulanya ECRL.
 “Kita akan melihat nanti akan banyak penglibatan usahawan besar  mahupun kecil. Peluang ini akan menjadi ujian yang baik kepada usahawan  di Terengganu dan seluruh pantai timur bahawa mereka berkelayakan untuk  memenuhi permintaan dan bersaing,” katanya.
 Sementara itu, mengulas masa depan usahawan Melayu, Daim yang  merupakan bekas Menteri Kewangan berkata nasib golongan itu hanya boleh  diubah menerusi sistem pendidikan selain perlu mengelak daripada terlalu  bergantung kepada bantuan kerajaan.
 Tegas Daim, usahawan Melayu juga perlu bergerak dengan lebih berani  dan berfikir di luar kotak bagi memastikan mereka mampu bersaing hingga  ke peringkat antarabangsa.
 “Bila bercakap soal ekonomi dan agenda bumiputera, kita harus mula  dengan pendidikan, akan tetapi kita tidak boleh berhenti di situ sahaja.
 Pendidikan harus dipupuk dan diamalkan supaya diamal menjadi proses  pembelajaran sepanjang hayat dan pemikiran kita juga harus berubah, jika  tidak kita akan terus kekal dengan cara hidup selama ini,” katanya.— BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/enam-stesen-akan-dibina-ecrl-tidak.html