Empat Suspek Punca Kematian Polis Ditahan
Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

 AYOB  Khan Mydin Pitchay menunjukan pemandu kereta Myvi (kiri) dan janda yang  menyewakan kereta tersebut kepada suspek yang berjaya di berkas pada  sidang akhbar di IPK Johor di sini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU : Seramai empat suspek  termasuk perempuan yang dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya  sehingga meragut nyawa seorang anggota polis, berjaya ditahan semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan  Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 27  tahun ditahan dalam serbuan berasingan antara pukul 2 petang hingga 9  malam di sekitar Kampung Melayu Seelong, Senai dan Kampung Melayu  Pandan, di sini.
Beliau berkata, tangkapan pertama  melibatkan seorang janda dua anak yang berusia 27 tahun yang merupakan  pekerja kilang sekitar pukul 2 petang. 
Katanya, hasil pemeriksaan awal  mendapati kereta Perodua Myvi berwarna Ungu yang dipandu suspek semasa  kejadian tersebut disewa atas nama wanita terbabit sebelum dipinjamkan  kepada teman lelakinya. 
“Susulan penahanan wanita itu, kita  menahan dua lelaki termasuk teman lelaki wanita itu masing-masing  berusia 24 tahun yang tidak bekerja dalam serbuan pada pukul 6 petang.
“Manakala suspek terakhir pula  ditangkap adalah seorang lelaki berusia 25 tahun iaitu suspek yang  memandu kereta Perodua Myvi berkenaan ketika kejadian berlaku dan dia  ditahan pada pukul 9 malam.
“Berdasarkan tangkapan yang kita buat  ini serta keterangan yang kita perolehi, dapat kami sahkan pemandu  semasa kejadian itu adalah lelaki berusia 25 tahun terbabit,” katanya  pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini  hari ini. 
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi  semalam, seorang anggota polis, Konstabel Nicholester Dadup Anak  Unggat, 20, maut selepas cedera parah pada bahagian kepala.
Manakala pemandu MPV, Lans Koperal  Mohd. Fadhirul Musa, 32, cedera parah selepas kenderaan yang dinaiki  mereka bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi ketika mengejar  penjenayah sebelum terbalik.
Ayob Khan berkata, pemeriksaan atas kenderaan tersebut menemukan dua botol dipercayai alat untuk menghisap dadah jenis syabu. 
Beliau berkata, hasil saringan awal  air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methaphetamine  dan dua suspek memiliki rekod jenayah.
“Keterangan wanita tersebut juga ada menyebut kesemua mereka menghisap dadah tiga hari sebelum kejadian berlaku.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada tiga suspek lelaki itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. 
“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini bagi siasatan lanjut,” katanya. 
Kes disiasat bagi Seksyen 41(1) Akta  Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen  15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Johor menasihatkan orang ramai  supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan serta mengikut  arahan pihak berkuasa sekiranya diminta memberhentikan kenderaan bagi  membuat pemeriksaan. 
“Kita akan mengambil tindakan tegas  terhadap mana-mana individu yang menyalahi undang-undang serta memandu  sehingga membahayakan dan meragut nyawa orang lain,” katanya.  -UTUSAN  ONLINE
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/empat-suspek-punca-kematian-polis.html