Dulu Pasang Cermin Gelap Duit Tak Masuk Kocek Kerajaan
By Mohd Zaini Samsu Hadi
- 9 Mei 2019
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tengah), Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid (kiri) dan Setiausaha Politik, Datuk Dahlan Maamor (kanan) menunjukkan statistik dan keratan akhbar pada sidang media mengenai keputusan kerajaan ke atas peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan motor di Kementerian Pengangkutan, Presint 4, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 09 MEI 2019.
PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membidas Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung kritikannya terhadap kutipan kerajaan sebanyak RM5,000 bagi pemasangan setiap cermin gelap.
Menurut beliau, kerajaan memang memandang kepada kutipan tersebut tetapi tidak bermakna semua yang memohon akan diluluskan.
Malah katanya, mereka yang memohon untuk mendapatkan kelulusan terhadap pemasangan cermin gelap itu perlu mengikuti proses saringan tertentu yang dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa.
Katanya, pelbagai aspek diambilkira dalam terutama mengenepikan permohonan kepada individu yang ada mempunyai rekod jenayah.
“Saya nak respon kepada Liow, kita bukan sewenang-wenangnya. Dia sendiri mengakui ada pihak dalam JPJ yang boleh bagi pengecualian kepada sesetengah individu.
“Bagi saya, orang-orang tertentu ini semuanya berpangkat, orang yang ada kedudukan dalam masyarakat. Saya sendiri dapat banyak surat daripada tan sri, daripada datuk.
“Kalau nak jaga hati tan sri itu saya boleh sahaja luluskan. Dia akan cukup gembira tetapi saya memilih untuk tak nak beri tan sri itu gembira, siapa saja yang datang (pohon pasang cermin gelap) mereka kena bayar duit kepada kerajaan,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Tiong Lai bekas menteri pengangkutan mempersoalkan keputusan menteri membenarkan pemandu menggunakan cermin sisi dan bahagian lebih gelap.
Beliau turut bertanya sudahkah kerajaan menghimpunkan pandangan daripada pihak berkuasa dan pemegang taruh yang berkenaan sebelum membuat keputusan.
Tiong Lai turut berkata keputusan kerajaan mengutip RM5,000 daripada pemilik kenderaan yang mahu menggunakan cermin gelap sepenuhnya seolah-olah ia memikirkan tentang hasil.
Mengulas lanjut, Anthony terpanggil untuk menyerahkan kuasanya terhadap perkara itu kepada Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
Bagaimanapun katanya, Shaharuddin tidak boleh membuat keputusan sendiri sebaliknya apa sahaja yang diputuskan mestilah melalui jawatankuasa.
“Kita nak pastikan ada semak dan imbang supaya bukan seorang ketua pengarah boleh beri kelulusan tapi kena melalui jawatankuasa,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anthony berkata, kutipan terhadap bayaran itu akan masuk ke dalam tabung kerajaan dan bukannya parti seperti DAP.
“Dulu memang saya tau kerajaan tak dapat satu sen pun meluluskan permohonan cermin gelap ini tapi ada orang tengah. Mereka (pemohon) bayar sampai RM8,000 untuk dapatkan kelulusan. Ada orang-orang di pejabat menteri jadi orang tengah.
“Ini yang saya sekat. Saya nak cakap terang-terang tak perlu cari siapa-siapa dalam pejabat saya selepas ini.
“Inilah cara kita nak perangi rasuah dan salah guna kuasa yang tak ada hanky panky lagi dalam JPJ dan Kementerian Pengangkutan,” tegasnya.
– MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/05/dulu-pasang-cermin-gelap-duit-tak-masuk.html