Dua Hari Satu Malam Di Air Beruk Campsite Gerik
Catatan 23 - 24 Ogos 2025.
Perancangan saat akhir cuti-cuti back to nature - saya dan Encik Suami menginap di sebuah chalet berhampiran aliran sungai. Saya cari lokasi dan buat tempahan dua hari sebelum pergi
Lokasi kali ini - Air Beruk Campsite (ABC) yang terletak di Kampung Padang Stang, Gerik, Perak. Lokasinya kira-kira 210 km dari rumah. Perjalanan yang jauh, tapi saya suka dapat melihat tempat orang - melewati kampung-kampung yang belum pernah saya sampai

Jalan masuk ke ABC. Terdapat banner Warung Sejuk Jiwa

Dari jalan masuk tadi, akan nampak sebuah warung di sebelah kanan dan deretan pondok di sebelah kiri. Kaunter pendaftaran dan bayaran terletak di pondok sebelah kiri, di tepi jalan masuk. Tiada ruang parkir khusus, pengunjung boleh parkir di mana-mana sudut yang sesuai di celah pokok getah
Kenderaan kami menuju terus ke hujung kawasan ini - chalet kami terletak di sudut paling hujung. Kami masuk letak barang dalam chalet, lepas tu keluar berjalan-jalan melihat sekitar kawasan ini

Bilik air bagi pengunjung yang datang berkelah dan berkhemah

Menu yang ditawarkan di Warung Sejuk Jiwa - warung yang beroperasi di dalam kawasan campsite

Tak begitu lapar, jadinya kami sekadar memesan satu mangkuk mi bandung

Boleh makan di mana-mana pondok bermeja berhampiran warung. Kami duduk di sini menghadap aliran sungai. Meriah jugalah tempat ini dengan pengunjung yang datang berkelah - mereka duduk di pondok tepi sungai

Air sungai cetek di bahagian ini, sesuai untuk anak kecil bermandi-manda
Di aliran sungai yang sama - depan sedikit dari kawasan ABC, terletaknya kafe dalam air iaitu Castella Cafe. Kami berjalan menyeberangi sungai untuk melihat dengan lebih dekat suasana Castella Cafe. Walaupun air sungai nampak cetek, tapi perlu melangkah dengan berhati-hati sebab ada ketikanya aliran terasa sedikit deras

Menghampiri pukul 4 petang, keadaan agak lengang. Tempat ini mungkin sibuk pada waktu makan tengah hari. Kafe dalam air - nampak menarik, tapi atas alasan tertentu saya belum tertarik nak mencuba konsep makan begini.

Beginilah rupa chalet penginapan kami. Walaupun menginap di campsite, tapi kami tak berkhemah. Dah beberapa tahun kami tak guna khemah yang ada, entah elok lagi atau tidak.
Penginapan kami berharga RM150 bagi kadar hujung minggu. Tapi nampaknya harga tersebut tak berbaloi dengan apa yang kami dapat. Keadaan chalet tidak memuaskan - dinding kehitaman, keadaan katil seperti belum dikemas, bidai tingkap yang sudah rosak dan bilik air tidak diberus dengan mangkuk tandas kuning. Pendek kata, saya rasa tak selesa. Chalet ini sebenarnya nampak belum lama dibina, tapi mungkin tidak diselenggara dengan baik
Mujurlah saya bawa keperluan yang lengkap - tuala, sleeping bag sebagai alas tidur dan selimut, kain lap kaki dan lain-lain. Saya juga perlu kreatif bagi mengatasi masalah bidai tingkap yang rosak - saya tutup tingkap tersebut dengan kain tudung bawal yang dilipat dua dan disepit kanan kiri pada bidai. Bolehlah jadi langsir untuk satu malam

Menariknya, chalet kami ni betul-betul menghadap sungai. Juga disediakan meja dan kerusi untuk kita bersantai sambil menikmati deruan air sungai
Keadaan meja kotor, sebelum guna saya bersihkan meja dan kerusi dengan tisu basah. Cerewet sungguh makcik ni kan, ada je tak kena 😆

Suasana senja di sini, ketika ini hujan gerimis. Foto diambil dari chalet kami
Sewa sebuah chalet tapi dapat satu campsite! Siang tadi petugas campsite memaklumkan bahawa tiada pengunjung lain menginap di sini dan tiada petugas menjaga. Agak terkejut jugalah saya mendengarnya. Tapi katanya tak perlu risau setakat ini tak pernah ada sebarang masalah. Kalau ada, boleh terus hubungi dia

Pukul 8.30 malam - dalam rintik halus hujan, kami berdua berjalan memantau keadaan campsite. Terdengar sayup suara orang berborak dari chalet Castella Cafe yang terletak di seberang sungai. Tidaklah terlalu sunyi dan masih ada manusia lain di kawasan berhampiran. Lega jugalah
Kami mengisi malam dengan mengopi dan berborak sambil ditemani irama alam - deruan air sungai, bunyi cengkerik dan entah bunyi apa lagi. Kemudian kami sambung berehat dalam chalet. Malam berlalu tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah
Esok paginya…

Hampir pukul 7 pagi - hujan sejak malam tadi masih belum berhenti. Air sungai yang jernih bertukar warna kuning coklat. Suasana sejuk dan nyaman

Masa untuk main masak-masak! Masak yang mudah dan cepat je, janji perut kenyang. Seronok jugalah bila sesekali dapat sarapan dalam suasana alam semula jadi. Hidangan biasa je pun rasa jadi lebih menyelerakan
Sedang kami menikmati hidangan pagi, ternampak sekumpulan monyet melompat dari satu pokok ke satu pokok. Alamak…terus saya rasa cemas. Syukurlah kumpulan monyet tersebut bergerak semakin jauh dari tempat kami
Lepas makan, masa untuk turun ke sungai

Chalet kami - foto diambil dari sungai

Air sungai sudah semakin jernih maksudnya bahagian atas tak hujan lebat. Selamat untuk kita masuk dalam air. Ketika ini cuma terasa rintik halus hujan

Airnya terasa sangat sejuk! Kena masuk kaki dan badan sedikit demi sedikit supaya tak terkejut. Paras air tak begitu dalam, cuma separas pinggang saya. Kemudian saya duduk berendam separas dada untuk menikmati keseronokan main air sungai. Ketika ini masih tiada sesiapa di campsite, terasa seperti sungai ini kami yang punya 😂. Fuh! Rasa segar sungguh badan dapat berendam dalam air sungai
Kami beredar meninggalkan ABC - Air Beruk Campsite sebelum waktu tengah hari. Alhamdulillah dapat juga kami merasa bermalam di tepi sungai setelah sekian lama tak buat aktiviti begini. Kalau kalian nak datang sini untuk berkelah atau mandi sungai tanpa bermalam pun boleh, sedikit caj dikenakan
Video berdurasi 2:32 minit
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2025/09/dua-hari-satu-malam-di-air-beruk.html