Dong Zong Lancar Petisyen Bantah Jawi Di Sekolah Vernakular
MALAYAIAKINI
 
    Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina  Malaysia (Dong Zong) akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan  untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah  vernakular.
Pengerusinya Tan Tai Kim berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Dong Zong pusat dengan Dong Zong negeri-negeri hari ini.
Katanya  lagi, petisyen itu akan turut disertai sebahagian pertubuhan masyarakat  Cina, lembaga pengelola sekolah vernakular, PIBG dan persatuan alumni  serta pertubuhan Tamil.
Tan berpandangan tulisan Jawi dikaitkan  dengan Islam, antaranya untuk menyebarkan Al-Quran, berdasarkan "kajian  sesetengah cendekiawan dan karya sastera".
“Murid  bukan Islam diperkenalkan pembelajaran khat bukan sahaja tidak diterima  oleh komuniti bukan Islam, malah bercanggah dengan Artikel 12(3)  Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara  12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: "Tiada seorang pun boleh  dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam  apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya  sendiri."

Bagaimanapun  beberapa pihak sebelum ini menjelaskan tulisan Jawi tidak semestinya  berkaitan dengan agama Islam walaupun berasal dari Arab.
Malah Kementerian Pendidikan sebelum ini berkata pembelajaran Jawi hanya melibatkan penulisan simpulan bahasa dalam tulisan itu.
Jawi merupakan sistem tulisan yang digunakan untuk Bahasa Melayu sebelum digantikan sistem tulisan Rumi.
Tan  berkata lagi, Dong Zong menghormati khat Jawi dan budaya Islam serta  menyokong usaha perpaduan kaum, tetapi Malaysia perlu ditadbir secara  sekular berdasarkan "kontrak sosial" yang dipersetujui ketika  kemerdekaan negara.
Katanya, petisyen itu untuk menggesa  Kementerian Pendidikan membatalkan pembelajaran khat Jawi di sekolah  vernakular dan mengekalkan bahagian pengenalan tulisan Jawi, Cina dan  Tamil seperti di dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 5 sebelum ini.
Selepas  pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan berkenaan isu tersebut,  Kementerian Pendidikan pada 8 Ogos lalu berkata pembelajaran tulisan  Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan, dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran.
Menurut  menterinya Dr Maszlee Malik, tulisan khat Jawi juga dikurangkan kepada  tiga muka surat, berbanding enam muka surat sebelum ini.
Hari ini,  pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang - antara pihak yang menyokong  pembelajaran Jawi - mengakui tentang ketakutan antara kaum.
"Kita  berada dalam keadaan di mana orang Melayu takut orang Cina dan Cina  takut Melayu. Dulu, DAP dituduh cuba menghancurkan orang Melayu dan  sekarang DAP dituduh mengkhianati orang Cina.
"Kita perlu keluar dari (perspektif) ini. Budaya kita tidak boleh hilang begitu mudah...  Jika hanya tiga muka surat (pengenalan tulisan Jawi) boleh membuat  budaya Cina hilang, maka saya fikir ada yang tak kena," katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/08/dong-zong-lancar-petisyen-bantah-jawi.html