Doa Fadzil Yana Termakbul
Penerbit telefilem kontroversi, Demi Tuhan Aku Bersaksi, Fadzil Zahari lega apabila karya terbitan syarikatnya, Prokuya Studios Sdn Bhd akan ditayangkan di TV1 pada 31 Oktober, jam 9 malam.
Telefilem berkisar kehidupan golongan dikenali sebagai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di pusat tahfiz itu 'terperam' lebih setahun lalu.
Namun, telefilem itu sudah mendapat kelulusan beberapa tokoh agama termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang ketika itu memegang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ogos tahun lalu.
Fadzil memberitahu, dia menerima panggilan daripada wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jumaat lalu, memaklumkan perkhabaran itu.
Biarpun dimaklumkan dalam tempoh yang agak singkat, namun, Fadzil bersyukur penantiannya menemui noktah.
"Syukur alhamdulillah, akhirnya, telefilem terbitan syarikat saya akan ditayangkan selepas lebih setahun menunggu.
"Apa yang terdaya, saya dan isteri (Yana Samsudin) lakukan setiap hari hanyalah berdoa mengharapkan telefilem itu mendapat kelulusan stesen televisyen (TV) untuk ditayangkan.
"Sepanjang lebih setahun, kami membuat susulan dengan RTM tetapi tidaklah terlalu kerap. Kami faham, jika terlalu kerap bertanya, mungkin pihak di sana kurang selesa.
"Jadi, hanya doa saja yang mampu kami berdua panjatkan kerana kami sudah hilang punca dan tidak tahu apa lagi boleh dilakukan," katanya kepada BH Online.
Fadzil berkata, kelulusan diterima menggembirakan kru dan pelakon telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi.
"Maklumlah, kami sudah menanti selama lebih setahun, jadi berita itu tentulah cukup menggembirakan buat kami semua.
"Mungkin ini rezeki anak yang bakal dilahirkan," katanya.
Fadzil tidak menyalahkan RTM apabila terpaksa 'peram' telefilem itu terlalu lama.
Sebaliknya, Fadzil akur, RTM mungkin mahu lebih berhati-hati melihat semula jalan cerita dan kandungan telefilem terbabit. Ini penting agar tidak timbul kecaman yang boleh memburukkan imej RTM.
Telefilem arahan Eyra Rahman yang membariskan Syafie Naswip, Fezrul Khan, Ismail Yaakob, Taiyuddin Bakar dan ramai lagi itu menjadi kontroversi selepas penyebaran foto babak dan keterangan gambar mengelirukan oleh sebuah blog.
"Suntingan babak yang dikatakan boleh mencetuskan pertikaian penonton sudah dibuat atas permintaan RTM.
"Sebenarnya, jalan cerita telefilem sudah mendapat kelulusan RTM dan proses penapisan dilakukan sebelum kontroversi timbul.
"Namun, tidak banyak suntingan dibuat hanya membabitkan kira-kira 15 peratus babak.
"Itu yang terbaik mampu kami lakukan dan ia tidak mengganggu jalan cerita asal," kata Fadzil.
Tambah Fadzil, apa yang dipaparkan melalui telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi adalah perihal dakwah.
"Namun, apabila netizen mula membesar-besarkan isu poster hingga tular, RTM terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga.
"Mana yang tidak kena, mereka minta dibuang dan kami harus akur," katanya.
Tidak mengharapkan kontroversi tercetus menaikkan rating, Fadzil berharap buah tangannya mendapat sambutan baik.
"Jika bertanya kepada mana-mana produser, semua mengharapkan drama atau filem yang diterbitkan meraih tontonan tinggi.
"Cuma saya harap telefilem ini mendapat sambutan bukan bersandarkan kepada kontroversi semata-mata, sebaliknya, saya mahu penonton menilai dakwah yang ingin disampaikan," katanya.
Fadzil bersyukur, tanpa diminta, kru dan pelakon mengambil inisiatif mempromosikan telefilem berkenaan di media sosial, sejurus tarikh tayangan dimaklumkan.
"Mereka lakukan dengan kerelaan hati. Malah, saya tidak sempat beri poster baharu untuk tujuan promosi.
"Sebelum ini, ada penerbit mengeluh pelakon enggan mempromosikan telefilem lakonan mereka. Namun, saya sebaliknya dan amat berterima kasih kepada mereka," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/10/doa-fadzil-yana-termakbul.html