Dia Beritahu Mama Abi Banyak Darah Isteri Sebak Anak Lihat Bapa Dirempuh Kereta
Pemergian seorang suami dan bapa kepada tiga anak yang maut ketika menyaksikan perlumbaan kereta di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah, Sabtu lalu memberi kesan mendalam kepada anak-anak arwah.
Lebih memilukan, nahas yang meragut nyawa Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, itu sebenarnya berlaku di hadapan anak lelakinya yang berusia tiga tahun.
Isteri mangsa, Noor Idayu Yunus, 29, berkata, anak keduanya, Yusuff Mikhail, 3, menceritakan keadaan ayahnya ketika dilanggar kereta.
“Dia beritahu ‘mama, abi banyak darah’. Ketika kejadian, dia ada berhampiran. Saya rasa sebak kerana tahu anak-anak termasuk yang sulung, Damia Intishar, 6, dan Damia Inara berusia setahun amat rapat dengan ayah mereka.
“Setiap hari mereka tanya arwah, saya berterus terang memberitahu ayah mereka sudah tiada dan tidak akan kembali lagi. Walaupun masih belum memahami, saya tidak jemu untuk faham mereka akan keadaan sebenar,” katanya.
Noor Idayu ditemui selepas menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) yang disampaikan oleh Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak, Zainal Ismail di rumahnya di Taman Saujana Permai, Kamunting di sini pada Khamis.
Media melaporkan mangsa dirempuh kereta jenis Proton Satria ketika menyaksikan acara permotoran melibatkan 12 kenderaan bagi kategori 1800cc.
Mangsa yang menerima rawatan di wad kecemasan, Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, Parit disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.
Isteri hamil empat bulan
Tambah Noor Idayu yang kini hamil empat bulan, anak-anak akan memeluk baju arwah sebelum tidur bagi mengubatkan rasa rindu mereka.
“Arwah banyak mengajar anak-anak hinggakan mereka tahu apa itu sedekah dengan memberi sama ada makanan atau apa sahaja yang ada. Tidak hairanlah rakan-rakan hadir menceritakan sikap arwah yang pemurah.
“Mengenai bengkel kereta arwah, saya akan teruskan kerana ia hasil titik peluhnya yang berusaha bermula dari garaj rumah hingga memiliki kedai sendiri sejak enam tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Zainal memaklumkan waris layak menerima FPM berjumlah RM2,000 dan pencen bulanan sebanyak RM1,375 ekoran arwah pernah bekerja dengan tiga majikan sebelum ini.
Beliau turut menasihatkan wanita untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang diperkenalkan Perkeso sebagai satu perlindungan ketika melakukan urusan rumah tangga.
Zainal (tiga dari kanan) menyerahkan cek FPM kepada Noor Idayu selepas suaminya terbabit dalam kemalangan ketika menonton perlumbaan di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah, baru-baru ini.
“Banyak faedah yang boleh diperolehi dengan membuat bayaran caruman RM120 setahun bagi mereka yang layak.
“Ambillah peluang ini kerana kita di Perkeso akan jaga mereka tidak kisah suri rumah sepenuh masa atau bekerja sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Kredit: Sinar Harian
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)
The post “Dia Beritahu..Mama, Abi Banyak Darah.” Isteri Sebak Anak Lihat Bapa Dirempuh Kereta appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/dia-beritahu-mama-abi-banyak-darah-isteri-sebak-anak-lihat-bapa-dirempuh-kereta/