Di Mana Terangnya Bulan
Judul : DI MANA TERANGNYA BULANPenulis : Bahruddin BekriPenerbit : PTS LiteraTahun terbit : 2013Jumlah muka surat : 339Harga : RM25
Buku yang saya miliki ini merupakan buku edisi 1+1, sebuah buku dengan dua judul novel. Saya membelinya kerana nak membaca novel berjudul Penulis Yang Disayang Tuhan (boleh baca ulasannya DI SINI). Setelah sekian lama, barulah saya membaca judul satu lagi iaitu Di Mana Terangnya Bulan
Melihat kulit buku, saya sangkakan watak utama novel ini adalah seorang perempuan. Tetapi rupa-rupanya novel ini mengisahkan watak seorang pelajar lelaki di Kolej Melayu Tinggi bernama Kamarul. Ia berkisar perjuangan Kamarul demi meneruskan pengajiannya di kolej tersebut. Tetapi ceritanya tidaklah seringkas itu
Kamarul menghadapi pelbagai cabaran - teman serumah yang tiba-tiba menghilangkan diri dan kemunculan lelaki berambut panjang yang tiba-tiba menjadi teman serumahnya. Kamarul juga secara terpaksa telah terlibat dengan geng penjenayah.
Walaupun kisah Kamarul penuh dengan keserabutan pelbagai masalah, novel ini disampaikan secara humor yang sering membuat saya tersenyum geli hati. Mana tak geli hati, kalau ketua geng penjenayah merupakan seorang yang minat memasak dan suka memberi nasihat
Petikan novel “Hati ini umpama cahaya bulan. Ia akan memancar pada kelakuan dan sikap kita. Jadi sekiranya hati kita gelap, dan samar, ia juga akan dapat dilihat pada sikap kita. Mudahnya, hati kita ini, boleh samar, boleh gelap dan juga boleh menjadi terang. Tetapi, samar, gelap dan terangnya bulan bukan kerana cahayanya sendiri. Tetapi cahaya daripada matahari. Hati kita juga begitu, samar, gelap dan terangnya hati kita bukan kerana hati itu sendiri tetapi akibat daripada apa yang kita niatkan. Niat itu yang memancarkan cahaya kepada hati, ia juga yang memberikan gelap dan samar. Jadi berhati-hati dengan apa yang kamu niatkan.” - halaman 335
Di Mana Terangnya Bulan, bacaan santai yang menghiburkan dan membawa mesej yang baik kepada pembaca.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2021/07/di-mana-terangnya-bulan.html