Pm Terlalu Lewat Ambil Tindakan Walau 46 Pakar Sudah Tujuh Bulan Bersuara
Dr Dzulkefly menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Mahiaddin tidak mempedulikan gesaan kesemua 46 pakar perubatan terbabit supaya kerajaan mengambil tindakan serius sebelum negara memasuki ‘unit rawatan rapi’ Covid-19.
“Kini langkah-langkah itu ada dalam PPN. Tujuh bulan terlalu lewat. Jumlah kes satu juta! Kematian hampir 8,000!
#KerajaanPembunuh?” ciapnya kemudian di Twitter.
Percepatkan vaksin
Pada 7 Januari lalu, seramai 46 pakar kesihatan terkemuka negara dalam sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri antara lain menggesa supaya kadar ujian saringan ditingkatkan menggunakan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK).
Berbanding kit PCR, jelas mereka, RTK mampu menghasilkan keputusan dalam tempoh kurang 24 jam.
Selain itu, mereka juga menyarankan supaya individu positif Covid-19 yang tidak mengalami gejala dikuarantinkan di rumah.
“Kita perlu melindungi sumbangan anggota perubatan profesional di hospital Covid-19 dengan mengalihkan kesemua pesakit bukan Covid-19 ke hospital-hospital bukan khusus untuk Covid-19 serta hospital swasta.
“Ini membenarkan mereka untuk fokus kepada kes-kes yang paling parah,” tegas pakar-pakar dalam surat itu.
Antara pakar yang menandatangani surat itu termasuk Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan dan Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Profesor Perubatan Universiti Malaya.
Pada masa sama, mereka juga menuntut agar proses meluluskan vaksin Covid-19 dipercepatkan di samping maklumat berhubung vaksin disampaikan kepada rakyat.
“Sebuah Jawatankuasa Covid-19 yang merentasi sektor dan memperkasakan pakar-pakar subjek tertentu harus dibentuk dengan segera untuk menyampaikan nasihat berasaskan bukti,” kata mereka.
Akhir sekali, mereka terbabit turut mengingatkan supaya pandemik ini tidak dipolitikkan mana-mana pihak.
“Sebaliknya, bentukkan konsensus bipartisan serta kata sepakat untuk pendekatan bagi meratakan keluk jangkitan dan mencapai kelompok imuniti sebagai perlindungan masyarakat untuk hidup bersama virus ini.
“PRU15 di tengah-tengah pandemik yang tidak terkawal ini adalah satu bencana yang hanya menunggu masa untuk berlaku, seperti yang dibuktikan dengan PRN Sabah,” tegas kumpulan pakar berkenaan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/07/pm-terlalu-lewat-ambil-tindakan-walau.html