Dewan Rakyat Dewan Negara Perlu Capai Persetujuan Had Umur Calon Pru Gerakan
Manzaidi Mohd Amin        

Dr. Dominic Lau Hoe Chai. KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan  kerajaan meminda Enakmen Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan agar  selaras dengan persejutuan Dewan Rakyat untuk membenarkan calon Pilihan  Raya Umum (PRU) akan datang berusia seawal 18 tahun.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pindaan itu  perlu kerana berlaku percanggahan keputusan antara Dewan Rakyat dengan  Dewan Negara dalam had umur calon yang bakal bertanding pada PRU ini.
“Dewan Rakyat boleh terima cadangan Undi-18 dan boleh terima  calon wakil rakyat berumur 18 tahun, tetapi Dewan Negara masih tetap  dengan keputusan bahawa umur calon wakil rakyat tidak lebih daripada 30  tahun.
“Jadi, Gerakan cadangkan kepada kerajaan dan semua Ahli Parlimen  meminda Enakmen Perkara 47 mengenai kelayakan menjadi Ahli Parlimen.
“Perkara 47 mengatakan tiap-tiap warganegara yang bermastautin di  Persekutuan layak menjadi Ahli Dewan Negara jika dia berumur tidak  kurang daripada 30 tahun, tetapi Dewan Rakyat boleh meminda kepada 18  tahun sebagaimana dipersetujui sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara atas talian selepas  mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Dominic Lau berharap, mesyuarat jawatankuasa  pusat itu dapat diadakan secara fizikal bulan depan memandangkan SOP  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dilonggarkan mengikut fasa Pelan  Pemulihan Negara (PPN).
Menurut beliau, dalam mesyuarat itu juga, Gerakan memberi perhatian  serius kepada generasi muda yang akan menjadi pengundi berdaftar dan  layak mengundi ketika berumur 18 tahun pada PRU 15 ini.
Katanya, parti itu memang menyokong penuh pelaksanaan umur 18 tahun  sebagai pengundi yang dipinda di Parlimen mengikut Perkara 119  Perlembagaan Persekutuan dan mendapat persetujuan sebulat suara pada  2019.
“Kita memang sokong kerana pindaan ini bakal menyaksikan pada PRU 15  akan datang berlaku penambahan pengundi kira-kira 50 peratus daripada  14.9 juta pengundi pada PRU 14.
“Dengan kata lain, jumlah pengundi pada PRU 15 akan memecah 32.5 juta  orang selepas mengambil kira penambahan pengundi 18 tahun dan  pendaftaran automatik yang akan diadakan.
“Memang besar harapan kami agar semua anak muda berusia 18 tahun ke  atas dapat menjalankan hak dan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRU  akan datang dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan  hasrat ini,” kata beliau.
Namun, kata beliau, sebagai pengundi muda, mereka harus bergerak  seiring dengan pendidikan politik kea rah meningkatkan kesedaran  mengenai pentingnya sistem politik negara bagi menjamin kelangsungan  pemerintahan serta sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Ini penting, kata Dr. Dominic Lau bahawa pendidikan itu mesti  diadakan agar golongan muda perlu bebas dari elemen politik kepartian,  kempen atau penyebaran sentimen kebencian bagi meraikan manfaat politik  mana-mana pihak.
“Memang kita faham semasa kempen PRU, kemungkinan besar ada kemasukan  isu politik kotor, tetapi kena mesti elakkannya, jangan bagi generasi  baru terlibat dengannya.
“Justeru, tanggungjawab besar dan berat ini bukan saja harus  ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi juga semua pihak  terutama yang berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan  golongan muda ini.
“Oleh itu, keterlibatan dalam politik ini tidak seharusnya  disempitkan skopnya kepada persoalan parti semata-mata, tetapi merupakan  tanggungjawab setiap warganegara untuk kelangsungan pemerintahan dan  pentadbitran negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/dewan-rakyat-dewan-negara-perlu-capai.html