Denda Jika Guna Telefon Bimbit Pakai Perhiasan Ketika Berniaga Di Bazar Ramadan
                             Dewi Nur Harasha Alias, Astro Awani                                                                                                 

                                Ku  Nafisah berkata, seramai 52 penganjur bazar Ramadan di Pulau Pinang  sudah mengikuti taklimat berhubung pengendalian makanan dan penjagaan  kebersihan. - BERNAMA/Fail                                                                                                                       
KEPALA BATAS : Peniaga bazar  Ramadan yang menggunakan telefon bimbit, memakai jam tangan dan  perhiasan diri ketika mengendalikan makanan boleh dikenakan denda.
 Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan  Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Ku Nafisah Ku Ariffin berkata,  tindakan itu adalah kerana mereka gagal mematuhi peraturan berkaitan  aspek pemakaian dan penjagaan kebersihan yang ditetapkan.
  Katanya, sepanjang operasi yang dijalankan di bazar Ramadan tahun lepas,  sebanyak 128 notis membabitkan nilai kompaun berjumlah RM18,200  dikeluarkan kepada peniaga yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan  dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
 Antara  kesalahan yang sering ditemui adalah berkaitan kebersihan premis,  pekerja tidak mendapat suntikan anti-tifoid dan masalah pakaian  pengendali makanan.
"Keseluruhan kutipan dari kompaun yang kita dapat adalah RM18,200, agak  banyak. Kita lihat banyak berlaku ketidakpatuhan kepada peraturan  kebersihan makanan yang telah kita tetapkan, jumlah kutipan tu agak  besar.
 "Kita harap tahun ini tak lah sebanyak ini, sebab kita  dah beri taklimat, sepatunya mereka ikut apa yang diberikan," katanya  ketika mengadakan lawatan ke Tapak Bazar Ramadan Bertam Putra bersama  Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul  Rahman di Kepala Batas.
 Dalam lawatan itu, JKNPP turut menyampaikan topi dan apron kepada peniaga di bazar berkenaan.
 Ku Nafisah berkata, seramai 52 penganjur bazar Ramadan di negeri ini  sudah mengikuti taklimat berhubung pengendalian makanan dan penjagaan  kebersihan.
 Katanya, kebanyakan peniaga mengetahui peraturan  yang ditetapkan namun masih ada yang mengambil sikap sambil lewa dengan  mengabaikan peraturan.
 Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata,  dia mahu setiap peniaga mengikut syarat dalam mengendalikan makanan  kerana ia penting supaya pengguna mendapat sumber yang bersih dan sihat  untuk dimakan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/denda-jika-guna-telefon-bimbit-pakai.html