Defisit Fiskal Belanjawan 2019 Kerana 1mdb Atau Kerana Pemansuhan Gst
Defisit fiskal negara bagi tahun 2018 bukan kerana 1MDB sebaliknya kerana PH menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan kekurangan RM50 bilion tahun ini.
"Defisit ini sebab mereka hapus GST. Apabila mereka hapus GST mereka kehilangan hasil RM44 bilion setahun dan mungkin lebih daripada itu kemudian bagi 'tax holiday' 3 bulan, RM11 bilion jadi sudah RM55 bilion."Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) cuma dapat RM5 bilion sahaja tahun ini, jadi sudah ada kelompongan sebanyak RM50 bilion. Ini sebenarnya yang menghantui Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dan ini menyebabkan beliau terpaksa mengalih isu ini kepada 1MDB dan kerajaan BN," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2019. di Dewan Rakyat, hari ini.
Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 berkata defisit fiskal pada 2018 dijangka mencapai 3.7 peratus dan peningkatan ini disebabkan komitmen perbelanjaan kerajaan terdahulu yang tidak disediakan peruntukan.
"Seperti bayaran khidmat hutang 1MDB sebanyak RM1 bilion, pengambilalihan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor RM1.3 bilion, Prasarana RM1 bilion dan projek rel Kementerian
Pengangkutan RM1.4 billion serta bayaran balik GST RM3.9 bilion.
Menurut Najib, memang jelas PH mahu menyalahkan BN dan mengaitkan isu 1MDB.
"Mereka tak sebut tentang aset 1MDB. 1MDB banyak aset, kalau kita gunakan aset itu dengan harga sebaiknya, hutang 1MDB boleh dilupuskan.
"Kalau 'settlement aggrement' dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) diteruskan, setiap ringgit kita atau yang dituntut 1MDB boleh diambil semula," katanya.
Menurut Najib, PH tidak sepatutnya lupa 1MDB memiliki aset yang boleh digunakan.
"Ini tidak bermakna yang salah guna kuasa, tindakan undang-undang tidak boleh diambil. "Cuma saya kata jangan gunakan isu 1MDB sehingga kita lupa 1MDB juga ada aset yang boleh digunakan untuk bayar balik hutang."Hutang 1MDB ada tempoh lagi, bukan esok. Sampai tahun 2022 dan bon tempatan sehingga tahun 2035," katanya.
Tegasnya, sekiranya GST tetap dilaksanakan, pelbagai projek mega boleh diteruskan.
"Termasuk MRT3 (Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa), HSR (Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura) ,ECRL (Landasn Keretapi Pantai Timur) dan bantuan seperti BR1M RM2,000 serta kenaikan khas tahunan tambahan kepada penjawat awam yang sangat bermakna.
"Sepatutnya Julai tahun ini, penjawat awam menerima kenaikan khas tambahan, itu tidak dilaksanakan," katanya.
Sinar Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://bankami.blogspot.com/2018/11/defisit-fiskal-belanjawan-2019-kerana.html