Dbp Sokong Keputusan Kerajaan Jadikan Jumaat Hari Jawi

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) menyokong penuh  keputusan kerajaan menjadikan Jumaat sebagai Hari Jawi, kata Pengerusi  Lembaga Pengelolanya, Awang Sariyan.
Katanya, keputusan kerajaan itu memberikan ruang untuk tulisan Jawi  diletakkan pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu  selama hampir 1,000 tahun sebelum tulisan Rumi diterima sebagai tulisan  rasmi bagi bahasa kebangsaan.
Beliau berkata, pada zaman Kesultanan Melayu selama ratusan tahun,  tulisan Jawi menjadi tulisan bagi semua bidang, seperti agama,  undang-undang, ketatanegaraan, sejarah, perubatan, persenjataan, hikayat  dan susastera (prosa dan puisi), serta dalam bidang diplomasi.
“Surat dan perjanjian antara kerajaan dengan kuasa asing seperti  Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris ditulis dengan Jawi. Tulisan  Jawi dan bahasa Melayu diterima semua bangsa, hatta semasa penjajahan  Inggeris.
     “Oleh itu, tiada asas untuk mana-mana pihak yang mewakili kaum  tertentu untuk menolak usaha mengembangkan tulisan Jawi,” katanya dalam  kenyataan kepada Bernama semalam.
Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris itu  berkata, sebagai usaha awal untuk memasyarakatkannya, tulisan Jawi perlu  digunakan untuk peragaan maklumat di tempat awam, premis perniagaan dan  pejabat serta dokumen, di samping tulisan Rumi.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad  Al-Bakri dalam kenyataannya mengumumkan Jumaat sebagai Hari Jawi bermula  semalam dalam usaha mengekal dan memperkasakan sebahagian tradisi serta  kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.
Katanya, tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan  sebagaimana termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. 
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/07/dbp-sokong-keputusan-kerajaan-jadikan.html