Dari Mana Datangnya Khayalan Ahli Politik Melayu Dap Sudah Berubah
ismaweb.net
zuhayati
2.9.2023
DAP mahu Malaysia jadi negara sekular sepenuhnya, takkan terima langkah perkukuh institusi Islam
BANGI, 16 Safar 1445H, Sabtu – Hasrat pemimpin Melayu yang mengharapkan DAP mengubah dasar ‘Malaysian Malaysia’ boleh dianggap khayalan semata-mata
Ini kerana, dasar itulah yang menjadi asbab kepada kewujudan parti tersebut.
Malah, dasar itu jugalah yang menjadikan mereka parti paling didukung masyarakat Cina.
Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, DAP adalah parti ideologi dan bukan parti kebajikan atau parti kebebasan bersuara mahupun parti antirasuah sebagaimana yang dilaungkan oleh ahli politik Melayu.
“Pemimpin parti politik Melayu yang merasakan antara parti-parti Melayu dan DAP ada persamaan agenda, lupa bahawa DAP ada ideologi dan tak akan kompromi.
“Secara mudahnya ideologi DAP yang mereka tidak akan kompromi adalah mahu menjadikan Malaysia sebagai negara sekular sepenuhnya.
“Mereka tidak akan menerima apa juga langkah kecil atau besar yang memberikan pengukuhan kepada Islam dan institusi Islam.
“Kerana itu mereka sentiasa menyokong dan muncul di sebalik apa-apa isu yang akan merendahkan bidang kuasa mahkamah syariah atau institusi agama yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penjelasan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mendakwa tiada keperluan parti itu menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan ‘Malaysian Malaysia’ kerana parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional telah membuat perjanjian sebelum kerajaan Madani dibentuk.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan menyarankan DAP menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan ‘Malaysia Malaysian’ dalam perlembagaan partinya jika mahu diterima orang Melayu di negara ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, DAP mahu persamaan hak antara Melayu dan Bumiputera dengan kaum lain melibatkan bidang kuasa politik, ekonomi, sosial, pendidikan, budaya, imej serta etos negara serta segala-galanya.
Beliau turut memberikan contoh MARA yang menjadi institusi yang cukup mereka tidak gemari parti tersebut kerana ia mengutamakan hak dan kedudukan orang Melayu.
“Begitu juga isu kuota di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), malah ada usaha daripada mereka menamakan Pulau Jerejak dengan nama Pulau Mazu.
“Mereka juga secara halus menaikkan perayaan Wangkang sebagai budaya nasional,” katanya.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, parti itu mahu naratif sejarah negara difahamkan dengan naratif mereka dan bukan naratif yang sebenarnya berlaku.
“Kerana itu mereka mengangkat Yap Ah Loy sebagai pembuka Kuala Lumpur dan menenggelamkan nama lain seperti Sultan Puasa selain berusaha mengangkat Chin Peng sebagai hero kemerdekaan negara.
“Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk merasmikan segala naratif sejarah mereka dalam silibus rasmi Kementerian Pendidikan (KPM).
“Mereka juga berjaya membawa silibus sejarah dari Taiwan untuk diajar di sekolah-sekolah vernakular di sini,” katanya.
Muhammad Fauzi turut mengingatkan betapa berpegang teguhnya DAP pada agenda mereka sehinggakan ketika parti itu bersama PAS sebelum ini, ia sama sekali tidak mengubah ideologinya.
“Adakah ketika DAP bersama PAS menentang UMNO mereka ubah ideologi mereka? Sudah tentu tidak. Adakah sekarang semasa mereka bersama UMNO menentang PAS, mereka mengubah ideologi mereka? Pun tidak juga.
“Jadi dari mana datangnya asas kepercayaan ahli politik Melayu bahawa DAP telah berubah? Janganlah jadi Melayu yang menang sorak kampung tergadai. Lemah,” katanya.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/09/dari-mana-datangnya-khayalan-ahli.html