Daging Tempatan Mahal Kerana Industri Penternakan Terabai
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didesak melakukan reformasi dalam industri penternakan negara.
Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus menangani isu harga barangan keperluan, khususnya daging tempatan yang makin meningkat permintaannya secara menyeluruh dan merupakan hidangan utama pada musim perayaan Hari Raya Aidifitri dan Hari Raya AidilAdha.
“Menurut Laporan Kajian Pasaran Sektor Makanan 2019 oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), kadar sara diri daging lembu Malaysia pada 2018 pada kadar yang rendah sekitar 22% kerana kekurangan pengeluaran daging lembu tempatan. Oleh yang demikian, Malaysia terpaksa memenuhi keperluan daging lembu dalam negara melalui sumber pengimportan yang terhad.
“Keikhlasan kerajaan Muhyiddin dalam usaha ini sangat meragukan jika kita merujuk kepada Laporan Bajet MAFI 2021 mukasurat 13, di bawah Kod 22500, Projek Lembu Pedaging yang menunjukkan kerajaan hanya membelanjakan RM100 daripada baki jumlah harga projek RM 8,134,000 pada tahun 2020. Ia terbukti bahawa projek tersebut sudah terbengkalai pada tahun berkenaan.
“Kerajaan sewajarnya tidak mempunyai alasan lagi untuk melengahkan pelaksanaan reformasi dalam sektor ruminan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mantan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu lagi, kerajaan Muhyiddin perlu mengambil kira cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam laporan yang sama iaitu memecahkan oligopoli dalam kalangan pengeksport daging lembu dengan memperbanyak pusat sembelih yang layak supaya meningkatkan persaingan pengusaha, sekaligus memastikan kualiti daging terjamin.
“Pada masa yang sama, kerajaan Muhyiddin harus mengaktifkan kembali tanah ternakan kerajaan dan kemudahan jabatan yang terbiar atau yang tidak dioptimakan penggunaanya bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan.
“Contohnya, kerajaan mempunyai beribu ekar tanah di Projek Pertanian Moden Kluang dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan seluruh negara yang belum mencapai tahap penggunaan yang optimum.
“Demi menggalakkan industri ternakan ruminan tempatan, kerajaan juga boleh menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri atau pembekal perkhidmatan utiliti dengan menawarkan tanah seperti rizab rintis TNB, tanah rizab di permukaan laluan paip gas dan rizab JPS tepi sungai bagi kegunaan tanaman makanan ternakan (napier atau jagung),” katanya lagi.
Sehubungan itu menggesa agar Kerajaan Muhyiddin melaksanakan reformasi besar-besaran dalam sektor ruminan yang telah dicadangkan sejak sekian lama.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/32025