Cuti Bersalin Swasta Jumlah Cuti Kelayakan Hak Pekerja
Selain daripada pekerja di perkhidmatan awam, pekerja swasta juga berhak mendapat cuti bersalin swasta bagi wanita yang ingin melahirkan anak.
Cuti tersebut adalah termaktub di dalam Akta Kerja 1955 dan para majikan wajib memberikan cuti kepada pekerja wanita yang bersalin dan melahirkan anak.
Mengenai Cuti Bersalin
Menurut kamus Oxford, cuti bersalin ialah “A period of time when a woman is allowed to be away from work before and after having a baby”.
Secara umumnya, cuti bersalin adalah cuti yang diberikan kepada pegawai atau pekerja wanita untuk bersedia dan pulih daripada bersalin.
Cuti ini diberikan kepada pekerja wanita yang bekerja di dalam organisasi mengikut tempoh masa tertentu selepas kelahiran anaknya dan berhak mendapat elaun/gaji semasa cuti tersebut.
Pada asasnya cuti ini diberikan untuk meningkatkan kualiti kesihatan selepas melahirkan anak, mengelak kemurungan dan mengeratkan kasih sayang di antara ibu dan anak.
Tempoh Cuti Bersalin Swasta
Sebelum pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, tempoh cuti bersalin bagi sektor swasta telah ditetapkan pada 60 hari.
Namun, selepas pindaan akta tersebut dilakukan, tempoh cuti bersalin dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari.
Ini adalah selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (Maternity Protection Convention, 2000 – No. 183), yang menetapkan tempoh cuti bersalin tidak kurang daripada 14 minggu (98 hari).
Langkah ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam memastikan perlindungan yang lebih baik untuk pekerja wanita.

Kelayakan Cuti Bersalin
Kelayakan cuti bersalin adalah seperti berikut:
Semua pekerja wanita tanpa mengira had gaji.
Cuti tidak kurang 98 hari berturut – turut bagi setiap kelahiran.
Boleh diambil 30 hari sebelum bersalin dengan perakuan Pengamal Perubatan Berdaftar.

Hak Pekerja Semasa Cuti Bersalin
Bagi pekerja yang sedang cuti bersalin, terdapat beberapa hak pekerja yang dijamin iaitu:
Setiap pekerja berhak menerima elaun bersalin berdasarkan purata gaji bulanan mereka dan kebiasaannya elaun ini dibayar oleh majikan atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Namun, pekerja hanya layak menerima elaun bersalin kepada lima anak pertama sahaja.
Majikan tidak dibenarkan untuk memberhentikan, memberikan notis penamatan khidmat kepada pekerja yang hamil atau mengalami penyakit yang berpunca daripada kehamilannya kecuali:
– Penamatan disebabkan perlanggaran kontrak perkhidmatan yang disengajakan di bawah seksyen 13(2)
– Penamatan disebabkan salah laku di bawah seksyen 14(1)
– Penamatan disebabkan penutupan perniagaan majikan.
Majikan juga tidak dibenarkan untuk menolak cuti bersalin atau paterniti kerana ia adalah hak yang dilindungi bagi membantu menyokong kesejahteraan pekerja.
Pekerja wanita boleh mula bekerja pada bila-bila masa semasa cuti bersalin dengan persetujuan majikan sekiranya disahkan layak untuk menyambung kerja oleh pengamal perubatan berdaftar.
Soalan Lazim
Mengapa melalui pindaan ini, cuti bersalin dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, bukan kepada 90 hari atau 100? Tempoh cuti bersalin 98 hari yang ditetapkan melalui pindaan akta ini adalah selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai Maternity Protection Convention, 2000 (No. 183) yang menetapkan tempoh cuti tidak kurang daripada 14 minggu (98 hari).
Pekerja wanita yang sedang cuti bersalin dibenarkan untuk masuk bekerja awal sebelum habis tempoh cuti bersalin 98 hari. Adakah ini bermakna majikan juga boleh mengarahkan pekerja wanita yang sedang cuti bersalin untuk masuk kerja awal sebelum habis tempoh cuti bersalin 98 hari? Tidak boleh kecuali dengan permohonan pekerja wanita itu sendiri dan dengan persetujuan majikan serta disahkan sihat untuk bekerja oleh pengamal perubatan berdaftar.
Sekiranya pekerja wanita yang layak elaun bersalin bersetuju untuk masuk bekerja sebelum tamat tempoh cuti bersalin, adakah majikan perlu memberikan bayaran tambahan selain elaun bersalin tersebut? Tidak. Walau bagaimanapun, majikan digalakkan untuk memberi bayaran tambahan.
Bolehkah majikan menamatkan perkhidmatan pekerja wanita yang sedang hamil? Melalui pindaan akta ini, majikan tidak boleh menamatkan perkhidmatan pekerja wanita yang sedang hamil atau sakit yang berbangkit daripada kehamilan kecuali dalam keadaan-keadaan berikut :
– Penamatan disebabkan perlanggaran kontrak perkhidmatan yang disengajakan di bawah seksyen 13(2)
– Penamatan disebabkan salah laku di bawah seksyen 14(1)
– Penamatan disebabkan penutupan perniagaan majikan.
Apakah perbezaan di antara cuti bersalin dan cuti paterniti? Cuti bersalin adalah hanya untuk ibu yang baru melahirkan anak manakala cuti paterniti adalah cuti yang diberikan kepada pekerja lelaki untuk menjaga isteri dan bayi yang baru dilahirkan.
Sumber: https://jtksm.mohr.gov.my/
Baca juga: Kiraan Hamil: Ketahui Kalkulator Bersalin dan Tarikh Jangkaan Bersalin EDD
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/cuti-bersalin-swasta/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=cuti-bersalin-swasta