Catatan Pertama Pada Tahun 2023
Selamat Tahun Baharu 2023 buat sahabat-sahabat blog yang dikasihi 😊
Terasa lama sungguh saya tak berblog. Entri terakhir saya pada 27 Disember lalu, belum pun 7 hari tapi dah rasa terlalu lama tak menulis dan tak ‘berjalan-jalan’ membaca coretan sahabat semua. Begitulah bila blog dah melekat di hati, pasti terasa rindu bila ditinggal lama
Pada 27 Disember lalu, saya dan encik suami balik ke rumah kami di NS selama satu malam. Esoknya barulah kami bertolak ke Johor, menuju kampung halaman kami berdua di daerah Pontian dan Batu Pahat (BP). Alhamdulillah dapatlah kami menginap selama dua malam di setiap kampung. Itulah sebabnya mengapa saya menyepi seketika
Insya Allah ada banyak cerita akan saya catatkan sebagai memori, rujukan dan perkongsian
1 Januari 2023 - memulakan hari pertama pada tahun 2023 dengan menempuh perjalanan selama lebih kurang 10 jam dari BP ke rumah PP. Termasuk juga exit di Putra Mahkota, Bangi dan Changkat Jering, Perak atas beberapa hal dan masuk semula lebuh raya untuk menyambung perjalanan
Secara keseluruhannya, aliran trafik lancar kecuali di beberapa tempat trafik bergerak perlahan seperti di Senawang. Tanpa kehadiran kenderaan berat yang banyak (kerana hari Ahad & cuti umum), tiada kerja-kerja pembaikan sepanjang perjalanan dari selatan ke utara dan tiada kemalangan yang menghalang laluan, semua itu menyumbang kepada kelancaran trafik. Cuaca juga menyenangkan, tidak panas terik dan tiada hujan lebat. Perjalanan jauh kali ini terasa lebih mudah dan tidak membuat saya terlampau letih. Pukul 9 malam semalam kami selamat tiba di rumah PP. Terima kasih Allah
Hari ini, 2 Januari 2023 - saya dan encik suami menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Mediviron yang terletak berhampiran rumah. Asyik bertangguh nak buat pemeriksaan kesihatan dari sehari ke sehari membawa ke tahun demi tahun, hari ini bertekad mesti buat
Maka, berulang lagi detik susah payah petugas kesihatan nak mendapatkan sampel darah saya 😅. Saya dan encik suami masuk bersama ke bilik konsultasi untuk bertemu doktor. Setelah diberi penerangan itu ini, doktor mulakan dengan mengambil sampel darah encik suami. Sekali cucuk saja di bahagian lengan kanan, sampel darah berjaya diambil dengan mudah. Encik suami kemudiannya keluar dari bilik
Tiba giliran saya, puan doktor mengambil masa yang agak lama mencari urat di lengan tangan saya. Picagari dicucuk di lengan kanan, tapi darah gagal disedut. Tukar pula di lengan kiri, masih gagal. Seterusnya doktor scan pula kedua-dua lengan demi nak melihat kedudukan urat. Hasilnya, urat memang sangat halus dan tak boleh ambil darah. Doktor minta saya buat pilihan - sama ada balik dulu dan buat senaman lengan setiap hari dan kemudian datang kembali selepas tujuh hari, atau cucuk saja di bahagian atas tangan yang lebih menyakitkan
Saya pilih cucuk saja di bahagian atas tangan, senang siap semua hari ini. Lagi pula, dah beberapa kali sampel darah saya diambil dari bahagian tersebut. Saya sedia menahan sakit. Tidak seperti cucuk di lengan, doktor menggunakan jarum yang bersambung dengan tiub halus untuk mendapatkan sampel darah saya di bahagian atas tangan kanan. Kalau tak silap faham, ia dipanggil ‘drip method’. Tiub halus tersebut kemudian disambung kepada tabung darah. Agak lama jugalah proses ambil sampel darah nak memenuhi tiga buah tabung. Perlu ambil banyak sebab saya buat bermacam ujian. Alhamdulillah selesai! Sepanjang masa saya berzikir ‘Rabbi Yassir..’ mohon Allah bantu
Doktor beri panduan untuk masa akan datang, saya perlu minum banyak air sehari sebelum prosedur ambil sampel darah dilakukan. Juga perlu melakukan senaman lengan sekitar tujuh hari sebelum prosedur dilakukan
Selesai satu hal, seterusnya debaran nak menunggu keputusan ujian kesihatan. Insya Allah dalam masa beberapa hari lagi
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2023/01/catatan-pertama-pada-tahun-2023.html