Catatan Hari Pertama Tahun 2025
Catatan pertama pada tahun 2025
Kalau ikut kalendar, semalam iaitu hari pertama pada tahun 2025 bukanlah hari cuti umum bagi negeri Perlis. Tapi sejajar dengan pengumuman mengejut oleh Menteri Besar Perlis pada hari Selasa lalu, maka dapatlah Encik Suami cuti kerja sempena 1 Januari 2025 dan 1 Rejab 1446
ORANG MEMBERI KITA MERASA | Sebelah pagi, seorang jiran lelaki datang ke rumah menghulur hasil tanaman dan ternakannya sendiri - sebiji timun dan empat butir telur ayam. Jiran kami yang seorang ni memang sangat rajin, sebelum ini dah beberapa kali menghulur bungkusan jagung hasil tanaman sendiri.
Semoga usaha pertanian dan penternakan jiran kami ini terus berhasil. Saya ni tumpang seronok jelah menikmati hasil orang, sebab diri sendiri belum rajin bertani dan menternak 😄
Sebelah petangnya selepas solat Asar, saya dan Encik Suami ke bandar Kangar. Ada beberapa urusan nak diselesaikan
PAWAGAM | Cerita foto di atas - bangunan bekas pawagam yang kini bertukar menjadi pasaraya Borong Din AS. Lokasinya di pusat bandar Kangar. Bagi yang belum tahu, negeri Perlis tidak mempunyai pawagam. Menurut info, Perlis sebelum ini mempunyai beberapa buah pawagam seperti Capitol dan Cathay tetapi menutup operasi sekitar tahun 2000
Kebetulan pula, saya tak gemar menonton di pawagam jadinya tak ada masalah bila berhijrah ke negeri yang tiada pawagam. Seumur hidup - saya cuma pernah sekali saja pergi menonton di pawagam iaitu ketika zaman belajar di UPM Serdang, itulah yang pertama dan mungkin yang terakhir 😅
BUNGKUSAN SHOPEE | Kami bergerak balik ke rumah selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Alwi, Kangar. Sebelum bergerak, Encik Suami terima mesej WhatsApp dari seorang individu berkenaan bungkusan pembelian Shopee
Katanya bungkusan tak dapat dihantar dan boleh ambil di lokasi yang dinyatakan (nama sebuah kedai makan dan foto kedai disertakan). Kami rasa pelik sebab tak pernah terima mesej begini, terfikir mungkinkah scammer? Tapi bila check di Shopee memang ada satu bungkusan sedang dalam penghantaran
Kebetulan kedai makan tersebut memang dalam laluan kami untuk balik rumah, jadi kami singgahlah nak pastikan apa kisah sebenarnya. Rupa-rupanya, penghantar barang tadi ada masalah untuk menghantar bungkusan ke rumah-rumah. Macam rumah kami, dia dah pergi ke kawasan rumah tapi tak jumpa mana satu rumahnya. Katanya, hari ini (baca : semalam) dia rugi banyak sebab gagal menghantar bungkusan. Memang kasihan melihat lelaki tersebut sebab nampak penuh bungkusan dalam keretanya. Mungkin baru mencuba jadi penghantar barang, masih belum mahir mencari alamat rumah di kawasan kampung. Semoga Allah permudahkan urusannya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2025/01/catatan-hari-pertama-tahun-2025.html