Cara Menentukan Arah Kiblat
Bagaimana cara untuk menentukan arah kiblat?
Artikel ini akan menerangkan secara lengkap bagaimana kaedah untuk menentukan arah kiblat betul dan tepat.
Oleh itu, panduan ini akan membimbing anda secara mudah, lengkap dan boleh difahami oleh semua orang.
Maka tanpa buang masa mari kita ikuti panduan ini..
Isi Kandungan:
Pengenalan
Kaedah menentukan arah kiblat
Bagaimana jika tersilap kiblat?
Solat yang dikecualikan menghadap kiblat
Rujukan & penutup
Pengenalan
Salah satu syarat sah solat adalah kewajipan menghadap kiblat ketika bersolat.
Dalam keadaan biasa seperti di rumah, surau, ataupun masjid, kita tidak mempunyai masalah dalam menentukan arah kiblat.
Namun apabila kita berada di lapangan atau di atas kenderaan, penentuan arah kiblat merupakan antara masalah yang sangat sukar untuk diselesaikan.
Orang yang hendak menunaikan solat, wajib mengetahui arah kiblat dengan yakin sebelum menunaikan solat.
Maka jika berada dalam keadaan sedemikian, kita hendaklah menunaikan solat dengan menghadap ke arah kiblat yang diyakini semasa berniat solat tersebut.
Kaedah Menentukan Arah Kiblat
Terdapat beberapa kaedah untuk menentukan arah kiblat, antaranya:
Kaedah tradisional
Kaedah menggunakan kompas kiblat
Kaedah menggunakan telefon pintar
¤ Kaedah Tradisional
Satu kaedah yang tepat untuk menentukan arah kiblat ialah ketika matahari berada tepat di atas Kaabah.
Ketika ini, bayang objek di seluruh dunia akan menunjukkan arah kiblat yang tepat.
Fenomena ini berlaku dua kali setiap tahun iaitu pada 28 Mei, jam 5.19 petang dan 16 julai, jam 5.28 petang waktu Malaysia.
Maka dengan itu, arah kiblat dapat ditentukan dengan tepat di Malaysia pada waktu tersebut.
¤ Kaedah Menggunakan Kompas Kiblat
Penentuan arah kiblat menggunakan kompas khas adalah kaedah yang mudah dan berkesan.
Kompas arah kiblat tersebut mudah didapati di pasaran dalam kos yang rendah.
Saya mengesyorkan supaya orang yang sering bekerja di lapangan perlu mempunyai satu kompas sebagai kemudahan menentukan arah kiblat.
Mengikut kaedah ini, arah kiblat ditentukan berdasarkan pengiraan saintifik daripada maklumat geofizikal dan geodetik yang terkini.
Dengan merujuk kepada nombor indeks negara, kita dapat menentukan arah kiblat di mana sahaja kita berada.
¤ Kaedah Menggunakan Telefon Pintar
Dengan kemajuan teknologi, penentuan arah kiblat turut menjadi lebih mudah dengan adanya telefon pintar yang mempunyai sistem GPS dan akses internet.
Terdapat aplikasi seperti MySolat yang dapat dimuat turun secara percuma daripada Google Play ke dalam telefon pintar.
Aplikasi ini menggunakan data kedudukan GPS daripada pengguna telefon untuk menentukan arah kiblat di samping waktu solat.
Bagaimana Jika Kita Tersilap Kiblat Sebelum Ini?
Sekiranya seseorang bersolat dalam keadaan yakin sudah menghadap kiblat berdasarkan ijtihadnya, tetapi kemudian mendapati arah kiblat tersasar..
… maka solatnya tetap sah dan tidak perlu diulang.
Demikian juga dengan pembinaan masjid yang tersilap kiblat, lalu jemaah bersolat menghadap kiblat itu sehinggalah ada jemaah yang tersedar dan membetulkan arah kiblat yang sebenar.
Solat menghadap kiblat pertama dikira sah.
Akan tetapi untuk orang yang solat dengan menghadap kiblat yang salah sedangkan dia sebenarnya boleh berusaha memastikan arah kiblat yang betul, maka dia wajib mengulang solat apabila mengetahui arah kiblat sebenar kerana tidak bersungguh-sungguh mencari arah kiblat.
Pengecualian Menghadap Kiblat
Golongan berikut terkecuali daripada mengadap kiblat:
1. Mereka yang solat khauf iaitu solat dalam ketakutan kerana mengawal musuh.
Seseorang yang dalam keadaan perang yang genting, dibolehkan bersolat sambil berjalan disamping mengawal keselamatan.
2. Solat sunat di atas kenderaan yang sedang bergerak.
Bagaimanapun ketika takbiratul ihram wajib menghadap kiblat.
Bagi solat fardu, wajib menghadap kiblat dari awal hingga akhir solat.
Tetapi, apabila arah kiblat berubah-ubah sepanjang perjalanan dan tidak ada cara lain untuk mengadap kiblat serta tidak dapat dijamak, maka solat itu sah iaitu sesudah sedaya upaya dilakukan dengan memenuhi syarat-syarat sah solat.
3. Tidak dapat dipastikan arah kiblat dengan yakin.
Contohnya ketika berada dalam keadaan gelap-gelita, dalam hutan, ketika hujan lebat, ketika dalam penerbangan atau ketika mengharung badai di laut sehingga tidak dapat dipastikan arah kiblat.
Dalam keadaan ini dibolehkan menghadap ke mana-mana sahaja.
4. Orang sakit yang tidak mampu menghadap kiblat dan tidak ada sesiapa yang dapat membantunya mendapat kiblat.
Maka ke arah mana pun dia menghadap, solatnya sah dan tidak perlu diulang.
Rujukan & Penutup
Sumber rujukan saya untuk panduan ini adalah buku praktik solat waktu kritikal, yang ditulis Dr. Haji Ahmad Nasir Mohd Yusoff dan Ensiklopedia Solat karangan Dr. Nik Yusri Musa.
Semoga panduan ini dapat membantu anda dalam menentukan arah kiblat.
Jika anda ada sebarang soalan atau kemusykilan, anda boleh nyatakan perkara tersebut pada ruangan komen di bawah.
The post Cara Menentukan Arah Kiblat (Panduan Lengkap) appeared first on AKU ISLAM.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://akuislam.com/blog/ibadah/menentukan-arah-kiblat/