Cara Allah Swt Menerima Doa Hamba Nya
Soalan:
Bagaimanakah cara Allah SWT menerima doa kita?
Jawapan:
Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [Al-Ghafir:60]
Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya mengatakan bahawa pada ayat ini adalah dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf di antara orang islam. [Lihat: Tafsir Ibn ‘Asyur, 183/24]
Berdasarkan kepada soalan di atas, ramai daripada kalangan kita tidak mengetahui cara Allah SWT menerima doa hamba-hamba-Nya sehingga mereka menyangka bahawa Allah SWT tidak menerima doa mereka. Di sana terdapat sebuah hadith yang membicarakan berkaitan hal ini:
Daripada Abi Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara; Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.” [Riwayat Ahmad (11133), Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah hasan]
Antara yang boleh difahami daripada hadith ini adalah ada tiga cara Allah SWT menerima doa hamba-Nya iaitu:
Allah SWT akan memberikan kepada hamba-Nya di dunia sepertimana yang diingini oleh hamba tersebut. Adapun bagi cara ini boleh dibahagikan kepada kedua iaitu terus dimustajabkan permintaan tersebut dan juga ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu.Allah SWT akan menyimpan doa tersebut di Akhirat kelak kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hamba tersebut memerlukannya di sana.Allah SWT akan menjauhkan hamba tersebut daripada perkara yang buruk atau musibah yang berlaku kepadanya.
Tambahan pula, di dalam berdoa ini ada beberapa perkara yang penting sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith Nabi SAW. Antaranya ialah, kita perlu yakin bahawa Allah SWT mendengar setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya. Hal ini berpandukan kepada sebuah hadith:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ
“Doalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu yakin bahawa Allah SWT akan memustajabkannya.” [Riwayat al-Tirmizi (3479), Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif]
Penutup
Kesimpulannya, Allah SWT pasti akan memustajabkan setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya tetapi dengan cara yang berbeza. Sekiranya kita mengetahui akan hal ini, maka tidak akan timbul lagi sangkaan bahawa Allah SWT tidak menjawab atau mendengar doa-doa hamba-Nya. Tambahan pula, doa bukanlah sekadar untuk meminta, bahkan ia merupakan satu ibadah serta tanda bagi hamba itu dalam menzahirkan sifat khudhu’ (ketaatan), Tazallul (kehinaan) dan juga iftiqar (keberhajatan) kepada Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang doanya mustajab. Amin.
Wallahua’alam.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/03/cara-allah-swt-menerima-doa-hamba-nya.html