Bukit Aman Temui Wang Tunai Rm2 5 Juta
  Oleh Safeek Affendy Razali

 Polis menemui wang tunai RM2.5 juta di sebuah kediaman di Cheras. Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM KUALA  LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merampas wang tunai  berjumlah RM2.5 juta dalam serbuan ke atas sebuah kediaman di Cheras, di  sini, malam tadi.
Wang tunai berkenaan yang dipercayai disimpan untuk proses pengubahan  wang haram adalah hasil daripada kegiatan mempromosikan aktiviti  pelacuran secara dalam talian di negara China.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed,  berkata terdahulu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi,  Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menyerbu satu unit kediaman di  sebuah kondominium di Bandar Hussein Onn, Kajang, sekitar jam 2 petang  semalam.
"Hasil serbuan pertama itu, pihak polis menahan lapan warga China  termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 28 tahun selain  merampas dua komputer riba, 15 telefon bimbit dan dua kertas catatan  jadual kerja harian.
"Siasatan awal mendapati kediaman berkenaan dijadikan sebagai  'calling centre' untuk mempromosikan aktiviti pelacuran untuk pelanggan  di China," katanya malam tadi.
Beliau berkata sindiket yang turut bekerjasama dengan rakyat tempatan  itu turut dipercayai menjalankan aktiviti penipuan dalam talian atau  Macau Scam.
"Susulan dari serbuan pertama itu, polis kemudian menyerbu sebuah  kediaman di Jalan Desa Bukit Tiara, Taman Taynton View, Cheras dan  menahan lapan lagi individu.
"Dalam serbuan ini pihak polis menemui wang tunai sebanyak RM2.5 juta  yang disimpan dalam beberapa bagasi di beberapa bilik berasingan,"  katanya.
Huzir berkata pihaknya percaya wang berkenaan akan digunakan untuk  aktiviti pengubahan wang haram namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Kalau wang tunai ini adalah dari hasil yang sah mereka pastinya  menyimpannya di bank atau agensi kewangan yang sah, namun apabila mereka  menyimpannya dalam rumah ini berkemungkinan wang dari aktiviti yang  salah," katanya.
Dalam serbuan kedua itu pihak polis merampas tiga komputer riba, empat telefon bimbit serta sejumlah kecil pil dipercayai dadah.
Katanya, pihak polis juga mengesan adanya aktiviti pelaburan jenis mata wang krypto dalam komputer riba yang dirampas.
"Polis juga yakin sindiket ini menjadikan negara ini sebagai hub  panggilan serta menjadikan dua rakyat Malaysia sebagai koordinator bagi  menyediakan kelengkapan komputer, kediaman, untuk melancarkan aktiviti  promosi pelacuran, penipuan serta judi dalam talian untuk sasaran mangsa  di China," katanya.
Anggaran RM2.5 juta yang dirampas  dalam sebuah rumah mewah di Cheras, disyaki milik sindiket yang terbabit  dengan aktiviti pelacuran, penipuan dan pengubahan wang haram -  Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/bukit-aman-temui-wang-tunai-rm25-juta.html