Bukit Aman Ambil Alih Siasatan Kes Najib Lhdn
 Oleh Nor Azizah Mokhtar

 Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto fail NSTP KUALA  LUMPUR: Siasatan berhubung laporan polis oleh bekas Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Razak terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan  mendakwa tuntutan cukai terhadapnya bermotifkan politik kini sedang  dijalankan Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata  siasatan berhubung kes itu kini dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah  Komersial (JSJK) Bukit Aman.
"Siasatan diambil alih sepenuhnya oleh JSK Bukit Aman," katanya kepada BH, hari ini.
Pada 8 September lalu, Eng Lai mengesahkan pihaknya menerima satu  laporan polis daripada Najib berhubung perkara itu, bagaimanapun masih  memerlukan beberapa dokumen penting daripada Najib untuk menentukan  klasifikasi kes.
Laporan itu, katanya, dirujuk kepada Bukit Aman untuk arahan tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din, pada  10 September lalu dipetik sebagai berkata, pihaknya sudah meminta Ahli  Parlimen Pekan itu mengumpulkan segala dokumen yang dimilikinya sebagai  bukti untuk melakukan siasatan.
Bagaimanapun, katanya, tiada tempoh masa diberikan kepada Najib untuk menyerahkan segala dokumen kepada pihak polis.
Kamarudin berkata, siasatan sedang dijalankan dan pihak polis juga sedang berusaha mendapatkan segala butiran dan maklumat lain.
Terdahulu, media melaporkan Najib membuat laporan polis terhadap LHDN  pada 8 September lalu, selepas menerima maklumat pegawai LHDN menerima  tekanan daripada ahli politik mahu dirinya dikenakan tindakan  undang-undang termasuk penalti cukai.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa mempunyai maklumat dan bukti  berlaku pelanggaran kuasa mengikut Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen  196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan  penggunaan dokumen palsu.
Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa menerima maklumat mengenai denda cukai tambahan yang dikenakan terhadap dirinya.
Dakwanya, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan supaya penalti  cukai diteruskan terhadapnya atas arahan ahli politik tertentu.
Pada 25 Jun 2019, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi  menuntut Najib membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih  terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.
Ekoran itu, pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini  memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai pendapatan  tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada kerajaan Malaysia.  
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/bukit-aman-ambil-alih-siasatan-kes.html